October 13, 2013

Ibu maut anak lelaki parah kereta bertembung bas

Keadaan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang mengakibatkan seorang wanita maut di kilometer 115, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di Temerloh, semalam. - Utusan/AHMAD ZAKKI JILAN

TEMERLOH 13 Okt. - Seorang wanita terbunuh manakala anak lelakinya parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 115, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Kampung Sungai Gau di sini malam tadi.

Dalam nahas pukul 8 malam itu, Ridzuna Mohd. Haluwi, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, anak lelaki Ridzuana, Mohamad Ameer Nazreen Rohaimi, 12, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini.

Beliau berkata, sebuah bas ekspres dari arah Temerloh ke bandar Jengka cuba memotong sebuah kereta di hadapannya selepas memberi isyarat memotong.

"Tiba-tiba muncul sebuah kereta dari arah bertentangan yang tidak memasang lampu kereta dalam keadaan gelap dan pemandu bas cuba mengelak ke kiri, tetapi bertembung dengan kereta dipandu wanita terbabit," katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, semasa kejadian bas ekspres tersebut membawa sebanyak 34 penumpang namun kesemua mereka tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Setia Jasa yang hanya dikenali sebagai Osman berkata, mangsa berasal dari Kampung Kuala Sanggang menyewa di taman perumahan itu dan bekerja sebagai pembantu kedai runcit.

Utusan 13 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment