October 13, 2013

Guru OKU ditemui mati lemas di bawah jambatan

KOTA BHARU 13 Okt. - Mayat seorang guru lelaki yang juga orang kelainan upaya (OKU) ditemui terdampar di dalam air di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra di sini hari ini.

Mayat Wee Tiong Meng, 51, ditemui oleh seorang penyelia keselamatan jambatan itu Roslan Ismail pada pukul 9.15 pagi selepas beliau diberitahu tentang penemuan objek hanyut.

Roslan berkata, beliau terkejut apabila mendapati objek berkenaan adalah mayat dan terus menariknya ke tebing sungai.

"Saya menarik mayat itu ke tebing dengan menggunakan batang pancing dan kemudiannya menghubungi pihak polis," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supritendan Idris Abd Rafar berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mati lemas.

"Pihak polis mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa dan dilaporkan bahawa mangsa adalah seorang guru di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Cheng.

"Mangsa merupakan seorang OKU sejak kecil berdasarkan keadaan kedua-dua belah kaki mangsa yang kecil," katanya. - BERNAMA

13 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment