July 14, 2013

Pelajar terbunuh ketika buat pusingan U

KEADAAN motosikal Mohd. Shafiq yang dilanggar dua buah kereta ketika membuat pusingan U di Jalan Kubang Kerian-Pasir Tumboh dekat Kota Bharu kelmarin.

Keadaan mayat Mohd Shafiq yang maut dalam kemalangan di Chica, malam kelmarin. Gambar Sinar Harian

KOTA BHARU - Seorang remaja lelaki terbunuh selepas motosikal yang ditunggang dilanggar oleh dua buah kenderaan ketika membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 11.30 malam dekat Kubang Kerian itu menyebabkan Mohd. Shafiq Che Huhaimi, 19, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian tersebut berlaku ketika pelajar Institut Teknikal Jepun Malaysia, Pulau Pinang itu menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari Kubang Kerian menghala ke Pasir Tumboh.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, ketika mangsa membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan, motosikalnya dilanggar oleh sebuah Nissan Sentra dan Proton Saga yang datang dari arah bertentangan.

"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk dibedah siasat," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 14 Jul 2013


Tak sempat makan colek dengan kawan

Kota Bharu: Hasrat lima sekawan untuk menikmati makanan tradisi colek berakhir dengan kesedihan apabila seorang maut dalam kemalangan di Jalan Chicha-Kuban Kerian, Kota Bharu, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, pelajar tahun kedua Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) Pulau Pinang Mohd Shafiq Suhaimi, 19, dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ bersendirian dari arah Kubang Kerian menghala ke Pasir Tumboh sebelum cuba membuat pusingan U.

Bagaimanapun, dia dirempuh oleh dua kereta jenis Nissan Sentra dan Proton Saga yang datang dari arah Pasir Tumboh menyebabkannya maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Rakannya, Mohd Azim Mohmed, 19, berkata, mereka bersama tiga lagi rakan seusia, Mohd Hafiz Mohd Arifin, Mohd Amirul Ashraf Abdullah, dan Faizal Adam Azhar dalam perjalanan untuk mencari gerai colek kira-kira jam 10 malam.

Katanya, mereka menunggang motosikal masing-masing sebelum menyedari arwah berada di belakang sekali namun kemudian tidak muncul di tempat dijanjikan.

myMetro 14 Jul 2013


Arwah nak 'tunggu' di Chicha

Tinggal kenangan arwah Mohd Shafiq (kanan) bersama rakan- rakannya pada majlis perkahwinan Mohd Faizal tiga minggu lalu.

BACHOK – Mangsa kemalangan maut lewat malam Sabtu lalu dikatakan tidak sempat ‘makan colek’ dan berbuka puasa bersama rakannya seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Mohd Shafiq Suhaimi, 19, meninggal dunia akibat cedera para di kepala selepas terlibat dalam kemalangan kira- kira jam 11.30 malam di Chicha, Kubang Kerian.

Sebelum kejadian, mangsa bersama empat lagi rakannya, Mohd Hafiz Mohd Arifin, 19; Mohd Azim Mohamed, 19; Mohad Faizal Adam Adha, 19; Mohd Amirul Asyraf Abdullah, 19, dalam perjalanan dari Wakaf Stan ke Kota Bharu untuk ‘makan colek’.

Makan colek sebelum pulang ke Pulau Pinang

Rakannya, Mohd Hafiz berkata, sebelum itu mereka berkumpul di jalan belakang istana Kubang Kerian sebelum ke Kota Bharu.

“Kami ingat nak makan colek bersama ke tempat yang agak jauh sikit sebab keesokan harinya (Ahad) dia dah nak balik ke Institusi Teknikal Jepun Malaysia (JMT) di Pulau Pinang.

“Selepas lampu isyarat di Kubang Kerian, kami terus menghala ke Kota Bharu untuk singgah di Pasir Hor ke rumah Mohd Faizal. Sebaliknya dia ke kiri menghala ke Kampung Chicha,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hafiz berkata, selepas tiba di rumah Mohd Faizal di Pasir Hor, mereka cuba menghubungi telefon bimbit arwah tetapi tiada jawapan.

Beberapa minit kemudian, mangsa menelefon seorang lagi rakan mereka, Mohd Azim Mohamed, 19, memberitahu dia berada di Kampung Chicha.

“Saya tak tahu macam mana dia boleh menghala ke situ sebab dia berada paling belakang antara kami.

“Bila dia telefon Azim, dia hanya beritahu dia tunggu di Chicha. Lepas tu dia terus letak telefon,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, arwah seorang yang tidak lokek untuk membantu rakan dan bukan seorang yang mudah berkecil hati dengan gurauan rakan-rakan.

“Malam tu arwah tak banyak cakap. Masa berkumpul di belakang istana, dia cuma tepuk atas topi saya dua tiga kali.

“Hari tu kebetulannya ulang tahun kelahiran saya. Saya syak mereka ada rancangan untuk kenakan saya. Saya tak sangka kejutan ulang tahun kelahiran saya berakhir dengan kehilangan dia salah seorang rakan sejak kami di sekolah menengah teknik lagi,” katanya.

Dimaklumkan abang Mohd Azim

Bagi rakan karibnya, Mohd Azim berkata, mereka hanya mengetahui kejadian itu 10 minit selepas tiba di rumah Mohd Faizal, apabila abangnya, Mohd Hanif, 24, menghubunginya untuk memberitahu arwah terlibat dalam kemalangan.

“Kebetulan abang saya lalu di situ dan tengok arwah terlibat dalam kemalangan. Kalau abang tak telefon beritahu, kami memang tak tahu sebab lepas tu dia tak dapat dihubungi.

“Mulanya saya ingatkan dia hanya terlibat dalam kemalangan kecil saja, tetapi tak sangka bila dia kata nak tunggu di situ, rupanya memang ajal dia di situ,” kata Mohd Azim yang menuntut di kolej yang sama bersama arwah.

Rancang buka puasa bersama

Mohd Azim berkata, sepatutnya mereka berlima berbuka puasa bersama-sama sebelum arwah pulang ke Pulau Pinang keesokan hari.

“Kami rapat sejak tingkatan empat di sekolah. Kami rancang nak berbuka bersama sebelum pulang ke kampus.

“Di JMT, saya dah semester empat, dia semester ketiga. Tiga minggu lepas dia sempat hadir majlis perkahwinan Mohd Faizal,” katanya.

Mayat arwah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia sebelum dibawa pulang keluarganya jam 3.30 pagi.

Jenazahnya disemadikan pada jam 12 tengah hari di Tanah Perkuburan Beris Kubur Besar. Arwah adalah anak kedua daripada sembilan beradik. Bapanya, Suhaimi Husin, 50, dan ibunya, Zaiton Roni, 46, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Mentera.

Sinar Harian 16 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment