July 14, 2013

Rumah siap pasang 7 hari untuk keluarga miskin

Guna teknologi Jepun bina kediaman rakyat miskin, mangsa bencana

Jertih: Kerajaan memperkenalkan pembinaan rumah pasang siap menggunakan sistem Iris Koto bagi membantu keluarga miskin berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan dan mangsa bencana termasuk kebakaran.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata inisiatif baru diperkenalkan kerajaan itu hanya mengambil kos antara RM60,000 hingga RM70,000 bergantung kepada keluasan dan lokasi tapak digunakan.

Katanya, pembinaan rumah itu hanya memakan masa tujuh hari untuk siap, hasil kepakaran tempatan dan teknologi dari Jepun. Ia dilaksana sepenuhnya Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Buat pertama kali, pembinaan rumah berkenaan akan dilaksana di Kampung Pok Kolok, Kuala Besut. Ia mula dibina hari ini (semalam) oleh bomba dan dijangka siap sepenuhnya Selasa depan dengan kos RM37,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program turun padang melihat pembinaan rumah berkenaan di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Pok Kolok, di sini, semalam. Hadir sama calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Perluas konsep

Abdul Rahman juga bercadang memperluaskan konsep rumah itu ke seluruh negara khusus bagi membantu golongan miskin yang tidak mempunyai kediaman selesa kerana pembinaannya terbukti selamat dan menjimatkan kos.

“Pembinaan rumah seperti ini memang menjadi komitmen berterusan kerajaan, dilaksana melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Ia sebahagian usaha bagi mencapai sasaran kerajaan membina satu juta rumah dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Sistem Iris Koto menggunakan rangka binaan ringan dengan simen dimasukkan ke dalam polisterin.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, kerajaan bersetuju cadangan menubuhkan pasukan bomba laut bagi membantu usaha dan aktiviti menyelamat di kawasan laut atau pulau.

“Kita lihat cadangan itu baik dan boleh dilaksana di kawasan seperti Pulau Perhentian (di Kuala Besut).

“Sehingga kini, kementerian hanya membekalkan jaket keselamatan kepada nelayan dan mungkin satu hari nanti inisiatif seperti itu boleh dilaksana (penubuhan pasukan bomba laut),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Terengganu, Md Salleh Sarbini, berkata 10 anggotanya dari balai Besut dan Jertih akan terbabit dalam menyiapkan rumah berkenaan.

Katanya, rumah yang akan dibina itu berkeluasan 83.6 meter persegi dan mempunyai tiga bilik tidur.

Tengku Zaihan pula berharap pembinaan rumah murah seperti itu dapat diperbanyakkan lagi di Kuala Besut khusus bagi membantu nelayan.

Berita Harian 14 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment