April 26, 2013

Madrasah musnah sekelip mata


KUALA KETIL: Lima belas pelajar Madrasah Nurul Islah, Pondok Ustaz Bakar, Parit Panjang, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas pondok mereka musnah dalam kebakaran, kira-kira 8.15 malam tadi.

Kejadian dikatakan berlaku ketika semua pelajar terbabit sedang membaca Yasin di surau madrasah berkenaan.

Pengetuanya, Mohamad Fadzil Abd Hamid, 34, berkata kebanyakan pelajar yang mendiami pondok itu adalah mereka yang berusia antara 13 hingga 18 tahun.

Menurutnya, wang tabungan RM3,000 yang disimpan dalam pondok bendahari madrasah berkenaan turut hangus selain kitab mengaji.

myMetro 26 Apr 2013


15 pondok Madrasah Nurul Islah di Baling musnah terbakar

BALING - Lima belas pondok yang dijadikan kediaman pelajar Madrasah Nurul Islah, Kampung Parit Panjang di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Dalam kejadian 8.15 malam itu, seorang pelajar berusia 16 tahun luka akibat terkena kayu ketika membantu rakannya menyelamatkan kitab-kitab pengajian mereka.

Mudir Madrasah Nurul Islah Mohd Fadhil Abd Hamid, 34, berkata sewaktu kejadian pelajar yang mendiami pondok yang terbakar bersama pelajar lain seramai 90 orang sedang membaca surah Yasin di surau madrasah itu.

"Seorang pelajar yang terbatal wuduknya turun dari surau (untuk mengambil wuduk) dan terpandang api sedang marak membakar beberapa buah pondok," katanya.

Beliau berkata 15 pondok tidak dapat diselamatkan tetapi tindakan cepat pelajar itu dapat membantu menyelamatkan pondok-pondok berdekatan daripada turut musnah.

"Kami terpaksa mengunakan getah paip untuk menyalurkan air bagi memadamkan kebakaran sementara menunggu anggota Bomba Dan Penyelamat sampai," katanya.

Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling dan Sik dengan 14 anggota tiba untuk mengawal kebakaran daripada merebak.

Seorang pelajar yang pondoknya musnah, Mohd Shahmil Mohd Ridzuan, 17, berkata dia terpaksa mengingatkan rakan-rakan lain supaya tidak masuk ke kawasan api yang sedang marak.

"Walaupun kami gagal menyelamatkan banyak kitab yang berharga serta pakaian dan kad pengenalan namun kami semua bersyukur kerana tiada seorang pun rakan kami yang cedera teruk," katanya.

Madrasah Nurul Islah yang mempunyai pelajar dari seluruh negara diasaskan pada 1968 dan masih mengekalkan sistem pondok untuk pelajarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau kewangan bagi meringankan beban pengurusan madrasah ini boleh membuat sumbangan melalui akaun Pondok Nurul Islah 02048010050907 (Bank Islam Malaysia Berhad) atau menghubungi Mohd Fadhil di talian 019-4616368.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba Baling ketika dihubungi berkata punca kebakaran masih disiasat. - Bernama

26 Apr 2013


Pondok Ustaz Bakar hangus


Baling: Lebih 90 pelajar Madrasah Nurul Islah atau lebih dikenali Pondok Ustaz Bakar di Parit Panjang, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas premis terbabit musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 15 pondok yang menjadi kediaman pelajar madrasah itu hangus dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada lampu minyak tanah digunakan pelajar.


Ketika kejadian, semua pelajar berada di surau kerana menghadiri majlis bacaan Yasin selepas solat Maghrib, jam 8.15 malam.

Ambil wuduk 

Kejadian disedari seorang pelajar yang kebetulan terpandang api sedang marak di sebuah pondok ketika keluar mengambil wuduk dan memaklumkannya kepada pihak pengurusan madrasah.

Pengetua madrasah, Mohamad Fadhil Abd Hamid, 34, mengakui api marak dari pondok yang didiami pelajar berusia 13 hingga 18 tahun.

Kami tidak sempat menghabiskan bacaan Yasin lalu bergegas turun untuk memadamkan api menggunakan air paip dan kolah, namun tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.

Keadaan juga kelam-kabut kerana kebakaran itu berlaku pada waktu malam. Kami bimbang berlaku kemalangan terutama kepada pelajar, tetapi syukur semuanya selamat walaupun pondok kediaman banyak yang musnah, katanya.

Mohamad Fadhil berkata, 90 pelajar lelaki yang menuntut ilmu agama di madrasah itu dibuka sejak 45 tahun lalu dan tempat tinggal pelajar dibina menggunakan papan.

Tiga kali terbakar 

Beliau berkata, ini kali ketiga pondok di madrasah itu terbakar, tetapi ini paling teruk.

Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Baling berkata, 13 anggota dengan dua jentera dari Baling dan Sik mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan api dan punca kejadian sedang disiasat.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pembangunan Rakyat Baling (YPRB), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya memberi bantuan tilam, selimut dan barangan makanan bagi meringankan bebanan mangsa.

Berita Harian 27 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment