April 26, 2013

Timbalan KP Kastam ditembak mati

Shaharuddin Ibrahim. - Foto Ihsan Jabatan Kastam Diraja Malaysia

Ilustrasi kejadian tembak Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim.

Maut ditembak tepat di leher

PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, mati ditembak ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Dengkil ke pejabatnya di Putrajaya, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa parah selepas salah seorang daripada suspek yang merupakan pembonceng motosikal melepaskan tiga das tembakan ke arah arwah yang berada di hadapan sebelah kiri tempat duduk penumpang, ketika keretanya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa dikejarkan pemandunya ke Hospital Putrajaya sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi.

"Penjenayah dipercayai menggunakan pistol jenis automatik berikutan tembakan tepat mengenai leher mangsa," katanya.

“Kami masih menyiasat motif kejadian dan sedang meneliti kamera litar tertutup di lokasi kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Roslan Ibrahim, 51, percaya Shaharuddin mungkin mempunyai banyak musuh disebabkan tugasannya dalam jabatan kastam.

“Saya dan Shaharuddin kerap bertemu dan minum bersama dan saya percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kerjanya,” katanya kepada pemberita ketika menemani isteri dan keluarga Allahyarham Shaharuddin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

Kesemua anggota keluarga Shaharuddin hadir di hospital itu untuk menunggu proses bedah siasat.

Roslan berkata, kali terakhir beliau bertemu Allahyarham Ahad lalu dan mereka berbual sambil minum bersama.

“Allahyarham mempunyai lima anak. Dia seorang yang peramah dan tidak sombong serta mempunyai hobi bermain golf. Dia selalu main golf di Seremban,” katanya.

KRONOLOGI

7.55 pagi – Kereta Nissan Murano dinaiki Datuk Shaharuddin Ibrahim bergerak dari rumahnya
di Kondominium Intan, Dengkil untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

8.15 pagi – Kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan ke Presint 2, Putrajaya. Seorang pembonceng motosikal melepaskan tembakan ke arah arwah yang berada di hadapan sebelah kiri tempat duduk penumpang. Pemandu terus bawa mangsa ke Hospital Putrajaya.

9.20 pagi - Mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 20, Putrajaya.

Sinar Harian 27 Apr 2013


Rebah atas bahu drebar

Putrajaya: Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak semalam, rebah ke atas bahu kiri pemandunya sebaik terkena tembakan.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, Shaharuddin, 58, sedang membaca akhbar dan duduk di bahagian penumpang hadapan ketika kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Murano dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat menghala Lebuh Wawasan, di sini. Menurut sumber, ketika itu Shaharuddin dalam perjalanan ke pejabatnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian dan pemandunya, Ahmadi Mohamed Jusoh, 45, memberhentikan kenderaan apabila lampu isyarat warna merah.

“Ketika kejadian, mangsa (Shaharuddin) dilaporkan sedang membaca surat khabar sebelum pemandunya mendengar dentuman kuat. Mangsa kena tembakan di leher terus rebah di bahu kiri pemandunya.

“Pemandu mangsa sempat melihat sebuah motosikal dinaiki dua lelaki bergegas meninggalkan lokasi kejadian, namun dia gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal itu.

“Malah, wajah kedua-dua suspek juga gagal dilihat jelas kerana mereka memakai topi keledar,” katanya.

Sumber itu berkata, Ahmadi memanggil Shaharuddin beberapa kali namun ketuanya itu sudah tidak sedarkan diri.

Katanya, Ahmadi membawa mangsa ke Hospital Putrajaya (HPJ) sebelum menghubungi ibu pejabat dan isteri mangsa serta membuat laporan di Balai Polis Presint 7, di sini, jam 12.40 tengah hari, semalam.

Menurutnya, polis percaya penjenayah terbabit dipercayai profesional berdasarkan cara tindakan mereka yang menembak mangsa tepat pada sasaran.

“Polis juga percaya mereka sudah mengekori mangsa sejak beberapa hari lalu sebelum melakukan serangan,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang ditemui di lokasi kejadian berkata, Shaharuddin ditembak tiga das dari jarak dekat dan tembakan itu kena di lehernya.

“Mangsa dipercayai ditembak menggunakan senjata jenis automatik. Polis perlu menunggu hasil bedah siasat sebelum boleh memberi maklumat lanjut.

“Selain itu, polis akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan pembunuhan Shaharuddin mungkin mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai pegawai kanan kastam.

Anak saudara Allahyarham, Roslan Ibrahim, 51, percaya Shaharuddin mungkin mempunyai banyak musuh disebabkan tugasannya di jabatan kastam.

“Saya dan Shaharuddin kerap bertemu dan minum bersama dan saya percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kerjanya,” katanya yang ditemui ketika menemani isteri dan keluarga Allahyarham Shaharuddin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

Semua anggota keluarga Shaharuddin hadir di hospital itu untuk menunggu proses bedah siasat. Allahyarham meninggal dunia di HPJ pada jam 9.20 pagi.

myMetro 27 Apr 2013


‘Dia tergesa-gesa’

Putrajaya: “Saya tidak sempat bersalaman dengan bapa pagi ini,” kata Suhana Shaharuddin, 34, anak sulung Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang maut ditembak semalam.

Menurutnya, pada sebelah pagi sebelum kejadian, dia melihat bapanya tergesa-gesa keluar dari rumah untuk ke pejabat.

“Saya akan bersalaman dengan ayah setiap hari sebelum dia keluar bekerja namun hari ini dia amat tergesa-gesa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini, semalam.

Suhana yang masih berpantang selepas melahirkan anak keempatnya berkata, dia duduk di rumah keluarganya sejak sebulan lalu.

“Sepanjang tinggal di sini, saya tidak pernah terlepas untuk bersalaman dengan bapa setiap pagi sebelum dia keluar bekerja,” katanya yang menyifatkan Allahyarham bapa yang tegas namun penyayang.

Sementara itu, kakak keempat arwah, Zaleha Ibrahim, 70, berkata kali terakhir beliau berjumpa arwah dua minggu lalu di rumahnya di Kuala Selangor selepas adik lelakinya itu mahu benar berjumpa dengannya.

“Shaharuddin memberitahu sangat rindukan saya dan mahu berjumpa kerana sudah lama kami tidak berjumpa. Saya dan arwah sangat rapat kerana saya yang menjaganya ketika dia melanjutkan pengajian di universiti.

“Saya tidak menyangka itu pertemuan terakhir dan arwah pergi selepas dia beriya-iya mahu berjumpa,” katanya memberitahu Allahyarham anak kelapan daripada sembilan beradik.

Menurutnya, arwah tinggal bersama isteri dan seorang anak lelakinya di Dengkil, Selangor.

“Seorang lagi anak perempuan arwah bekerja sebagai pegawai perubatan di sebuah hospital dekat Kuantan,” katanya.

Arwah meninggalkan balu, Datin Rahimah Ibrahim, 58, sepasang anak dan empat cucu.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 selepas disembahyangkan.

myMetro 27 Apr 2013


Arwah tiada musuh

Putrajaya: “Sepanjang empat hari bermesyuarat di Lumut, Perak, arwah seperti biasa, tak ada perubahan atau apa yang ganjil padanya,” kata Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia, Mohd Noor Yusoff, 54.

Mohd Noor berkata, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri , Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, dikenalinya sejak 30 tahun lalu dan menyifatkan Allahyarham sangat berdedikasi dan komited dengan tugas.

“Sepanjang mengenali beliau, saya tidak pernah dengar beliau ada musuh. Dia berkawan baik dengan semua orang dan kami baru balik dari Lumut tengah hari semalam (kelmarin) kerana menghadiri mesyuarat bersama 40 pegawai dan kakitangan lain,” katanya ditemui di Hospital Putrajaya (HPJ), semalam.

Mohd Noor yang juga Timbalan Pengarah Kastam Kedah juga mengakui terasa kehilangan arwah kerana beliau seorang yang fokus ketika menjalankan tugas.

myMetro 27 Apr 2013


TKP Kastam ditembak mati


GAMBAR CCTV menunjukkan SUV jenis Nissan Murano (dalam bulatan) yang dinaiki Shaharuddin melintasi sebatang jalan di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA 26 April - Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim mati ditembak dalam perjalanan ke tempat kerja berhampiran persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu, pegawai kanan berumur 58 tahun itu terkena tiga das tembakan di leher dari jarak dekat oleh dua lelaki menunggang motosikal.

Kejadian itu berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Murano berwarna hitam yang dinaiki mangsa bersama pemandunya sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk menghala ke Lebuh Wawasan.

"Mangsa duduk bersebelahan dengan pemandunya dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Dengkil, Selangor tiba-tiba didatangi sebuah motosikal dari arah belakang yang dinaiki dua lelaki.

''Secara tiba-tiba mereka melepaskan tiga das tembakan mengenai leher mangsa dan terus memecut melarikan diri," katanya kepada pemberita semasa ditemui di lokasi kejadian di Presint 9, di sini hari ini.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Putrajaya oleh pemandunya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.20 pagi.

Jarak lokasi kejadian kurang daripada satu kilometer dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Hospital Putrajaya, Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya serta Putrajaya Sentral.

Beliau berkata, mangsa dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis automatik.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kita sedang menunggu keputusannya, sebarang maklumat lanjut akan menyusul kemudian," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak polis akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian untuk membantu siasatan.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu, penembak dipercayai menggunakan alat penyenyap kerana kejadian itu hanya disedari selepas Allahyarham rebah berlumuran darah.

Pemandu berkenaan kemudian terus membuat pusingan U untuk ke Hospital Putrajaya.

Kejadian menyebabkan kesesakan teruk di persimpangan lampu isyarat tersebut kerana polis melakukan siasatan dipercayai untuk mencari kelongsong peluru dan bahan bukti lain.

Seorang lagi saksi yang enggan dikenali berkata, dia melihat dua lelaki berkulit gelap menaiki sebuah motosikal melepaskan tembakan ke arah mangsa.

Katanya yang semasa kejadian hendak menuju ke tempat kerja, kereta mangsa berada di hadapan kenderaannya.

Utusan 27 Apr 2013


Rampasan dadah dipercayai motif pembunuhan


Lakaran kenderaan mangsa ditembak ditempat kejadian.

ISTERI Datuk Shaharudin Ibrahim (gambar kecil), Rahimah bersama anak, Mohd Akhtar menyiram air mawar selepas pengkebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KESAN tembakan pada kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang maut akibat terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Putrajaya: Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (Pekastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharudin Ibrahim, 58, mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Presint 3 di sini, jam 8.15 pagi semalam.

Mangsa yang duduk di bahagian depan penumpang kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das dari jarak dekat oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa menghala ke Lebuh Wawasan di sini.

Kejadian berlaku ketika kereta mangsa yang dibawa pemandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal tiba-tiba muncul dari belakang dan melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa.

Mangsa yang cedera parah di leher dan kepala disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya (HPJ) jam 9.20 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sebaik melihat mangsa cedera parah ditembak, pemandunya membawanya terus ke Unit Kecemasan HPJ tetapi disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.

Chin Wah berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumah anaknya di Dengkil menuju ke pejabat beliau di Putrajaya.

Beliau berkata, siasatan mendapati Shaharuddin ditembak menggunakan pistol automatik dan polis masih menyiasat punca dan motif sebenar kejadian selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasat.

Sementara itu, sumber memberitahu BH, pembunuhan Shaharuddin dipercayai ada kaitan dengan beberapa kes rampasan dadah oleh KDRM sejak awal tahun ini antaranya 73 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM14 juta yang cuba diseludup ke negara ini melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari India pada 15 Mac lalu.

Katanya, mangsa yang disifatkan pegawai yang jujur, amanah dan beretika dianggap ancaman besar oleh sindiket penyeludupan bahan larangan ke negara ini.

Menurutnya, sebaik mengetuai Bahagian Cukai Dalam Negeri (CDN) import/eksport dalam Perkhidmatan Teknik (PERTEK), Shaharuddin menerima pelbagai ancaman termasuk ugutan bunuh.

“Berikutan penguatkuasaan undang-undang yang begitu ketat, kumpulan atau sindiket tempatan dan antarabangsa yang menyeludup dadah, rokok, mercun, minuman keras dan senjata api mulai berasa terancam.

“Bukan hanya ancaman daripada sindiket, kumpulan yang cuba menyeludup masuk barang yang tidak diisytiharkan atau lari dari cukai turut mengancam nyawa setiap kakitangan KDRM,” katanya semalam.

Sebelum dilantik Timbalan Ketua Pengarah KDRM pada 18 Ogos 2011, Allahyarham yang juga anak kelahiran Rantau, Negeri Sembilan adalah Pengarah KDRM Kelantan.

Berita Harian 27 Apr 2013


Kerap sebut pasal mati

Dengkil: “Sebelum ini beliau (arwah) kerap sebut mengenai mati, (dan) selalu berpesan kepada anak lelaki supaya menjaga mak (Rahimah) dan keluarga, tahun ini kerap, tapi saya ingat biasa saja,” luah Datin Rahimah Ibrahim, 58, balu kepada Allahyarham Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim.

Allahyarham yang maut ditembak penjenayah ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa menghala ke Lebuh Wawasan di sini, di Jumaat lalu.

Bekas pengetua itu berkata, sepanjang pengetahuannya, arwah suaminya tidak pernah memaklumkan menerima ugutan bunuh atau sebarang ancaman daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau berkata, Allahyarham Shaharuddin menganggap ancaman satu perkara biasa dalam bidang kerja beliau.

Menurutnya, pada malam sebelum kejadian arwah kelihatan sangat gembira dan berbual dengan ahli keluarga sambil menikmati makanan ringan yang dibawa pulang dari Lumut, Perak.

“Malam itu kami makan, berbual dan seronok menikmati saat bersama keluarga sambil makan keropok ikan yang dibawa pulang.

“Rutin pagi pun macam biasa, tetapi dia dalam keadaan terburu-buru hinggakan saya tak sempat bersalam dengan beliau, saya tak tahu kenapa nak cepat sangat... itu yang membuatkan saya tertanya-tanya sampai sekarang, mungkin sudah terlewat sebab pagi itu arwah keluar jam 7.55 sedangkan sebelum ini jam 7.50 sudah keluar untuk mengelakkan kelewatan,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di kediamannya di sini, semalam.

Rahimah berkata, walaupun arwah seorang yang tegas, tetapi amat penyayang terutama terhadap kedua anaknya dan sentiasa memastikan semua kelengkapan serta keperluan anak dari segi pelajaran lengkap dan mencukupi.

“Arwah mahu kehidupan anaknya sempurna sebab anak kami dua saja, arwah juga sering mengucapkan syukur kerana tugasan sebagai ayah selesai apabila kedua-dua anak berjaya dalam karier dan hidup.

“Arwah sangat gembira bila anak saya yang kedua (Mohd Akthar) sudah dapat kerja, sebelum ini arwah risau kerana anak belum dapat kerja walaupun sudah tamat belajar, bila anak dapat kerja tiga minggu lalu dia nampak sangat gembira.

“Setiap pagi arwah duduk dengan anak lelaki sebelum pergi kerja,” katanya.

Menurutnya, arwah juga sering mengingatkan dirinya mengenai risiko yang dihadapi sepanjang menjalankan tugas kerana bidang tugasannya dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

Malah, katanya beliau sering menasihatkan arwah suaminya sentiasa berhati-hati kerana kebelakangan ini banyak kejadian seumpama itu berlaku dalam negara.

“Tetapi saya tak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku kepada suami saya, dalam kastam ini kejadian pertama berlaku biasanya ahli perniagaan atau ahli politik, itu sebab saya tak sangka ia berlaku kepada suami,” katanya.

myMetro 29 Apr 2013


Arwah dinaikkan pangkat

Dengkil: Semua pegawai dan anggota penguatkuasa diminta sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran pihak berniat jahat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, mereka boleh menggunakan beberapa kaedah yang dianggap sesuai untuk mengelakkan kejadian yang menimpa Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim berulang.

“Saya berharap mereka berhati-hati dalam menjalankan tugas dan mungkin ada beberapa kaedah yang mereka boleh gunakan untuk mengelak daripada menjadi sasaran mereka yang berniat jahat,” katanya pada media selepas melawat keluarga Allahyarham Shaharuddin di sini, semalam.

Hadir sama, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Dr Irwan Serigar Abdullah.

Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sepang; Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed dan calon BN Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta ketiga-tiga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sepang, iaitu Shahrum Mohd Shariff (DUN Dengkil), Ng Chok Sin (DUN Sungai Pelek) dan Nisman Yusof (DUN Tanjung Sepat) Pada majlis sama, Najib turut mengumumkan Allahyarham Shaharuddin dinaikkan pangkat dari Jusa B kepada Jusa A sebagai pengiktirafan kerajaan memandangkan arwah meninggal dunia ketika menjalankan tugas demi kepentingan negara.

Katanya, kenaikan pangkat secara ‘posthumous' itu membolehkan faedah gratuiti dan pencen kepada balu Allahyarham Datin Rahimah Ibrahim lebih tinggi, sekali gus mengurangkan bebanan yang ditanggung keluarga.

Berikutan itu, Najib menyerahkan cek Ganjaran Terbitan (GT) atau bayaran graduiti bernilai lebih RM473,371.00 kepada Rahimah.

“Ini pengiktirafan kerajaan terhadap pengorbanan mutlak seorang pegawai tinggi kerajaan yang sangat berdedikasi, komited dan gigih dalam menjalankan tugas untuk negara,” katanya.

myMetro 29 Apr 2013


Polis mohon bantuan orang ramai

Kuala Lumpur: Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian menembak mati Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, Shaharuddin, 58, yang membaca akhbar dan duduk di bahagian penumpang hadapan ketika kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Murano dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat menghala Lebuh Wawasan, di sini sebelum didatangi sebuah motosikal dinaiki dua lelaki yang melepaskan tembakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, setakat ini tiada perkembangan terbaru berkaitan kejadian itu, namun siasatan lanjut dijalankan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

Akhbar ini Sabtu lalu melaporkan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri Datuk Shaharuddin mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabat.

Menurut sumber, ketika tiba di lokasi kejadian, Shaharuddin dan pemandunya, Ahmadi Mohamed Jusoh, 45, memberhentikan kenderaan apabila lampu isyarat warna merah.

“Pemandu mangsa sempat melihat motosikal dinaiki dua lelaki bergegas meninggalkan lokasi kejadian, namun dia gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal itu,” katanya.

myMetro 29 Apr 2013


Pembunuhan ala mafia bawa mesej besar

ALOR SETAR - Pembunuhan nekad ala mafia di lokasi pusat pentadbiran negara Putrajaya membawa mesej yang besar mengenai tahap keselamatan serta jenayah di negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid, insiden yang membabitkan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, mati ditembak sangat mengejut serta menyedihkan.

Menurutnya, walaupun negara ini sering disebut sebagai negara selamat namun tidak hanya boleh diyakini dengan retorik semata-mata.

“Ini bukan pertama kali pembunuhan seperti itu dilakukan. Jika statistik dikatakan menurun namun tidak dapat dinafikan jenayah berat seperti membunuh tetap tidak menurun.

“Cara membunuh nekad di hari dan waktu kerja dengan suspek hanya membonceng motosikal bermakna sudah wujud ala mafia bertapak di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sambil mengutuk keras pembunuhan itu, beliau berharap individu terbabit dibawa ke pengadilan.

“Penyiasatan terperinci tidak boleh dilengahkan lagi, walaupun setakat ini belum ada bukti motif pembunuhan ditemui. Namun jika tidak diambil tindakan segera kami bimbang soal keselamatan di negara ini.

"Tahap keselamatan sosial negara juga perlu dinilai semula,” katanya.

Sinar Harian 29 Apr 2013


Ejen kastam disiasat kes bunuh

KUALA LUMPUR – Siasatan polis berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim menunjukkan perkembangan positif dengan penahanan seorang lelaki kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh mengesahkan penahanan suspek berusia 56 tahun itu yang ditahan pada pukul 8.30 pagi di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam pada itu, sumber memberitahu, lelaki yang ditahan itu bekerja sebagai ejen kastam iaitu individu yang dilantik oleh pengimport untuk berurusan dengan pihak kastam.

Lelaki tersebut direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan sejak semalam.

Pada 26 April lalu, Shaharuddin, 58, maut akibat terkena tiga das tembakan di kepala dan leher yang dilepaskan dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal ketika mangsa dalam perjalanan ke pejabatnya di Presint 2, Putrajaya.

Kejadian pada pukul 8.15 pagi itu berlaku ketika kenderaan jenis Nissan Murano yang dinaiki mangsa dihampiri oleh suspek disyaki pembunuh upahan ketika berhenti dekat persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa. Mangsa disahkan meninggal dunia sejam kemudian di Hospital Putrajaya.

Kosmo 13 Mei 2013


Polis Rekod Kenyataan Anak Timbalan Ketua Pengarah Kastam Yang Ditembak Mati

PUTRAJAYA: Pihak polis, pada Isnin merekod kenyataan anak kepada Timbalan Ketua Pengarah Kastam II Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak mati.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Majid berkata, polis telah memanggil Mohd Akhtar untuk memberi keterangan berkaitan dengan pembunuhan bapanya.

"Kami menyedari tentang kenyataan yang dibuat oleh beliau (Mohd Akhtar) baru-baru ini dalam media. "Beliau telah bekerjasama sepenuhnya dan mengesahkan kenyataan beliau dalam media," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata polis akan menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Mohd Akhtar.

"Kes ini masih dalam siasatan tetapi kita mengikuti semua petunjuk," katanya.

Mohd Akhtar sebelum ini dilaporkan berkata bahawa bapanya telah ditembak mati selepas menyiasat sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

Mohd Akhtar juga mendakwa bapanya telah memberi amaran kepada pegawai atasan mengenai rasuah sambil menambah Shaharuddin menerima surat pemindahan selepas tindakannya itu.

Presiden Persatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia Ibrahim Ahmad juga mengesahkan bahawa Shaharuddin dijadualkan akan dipindahkan sebulan sebelum beliau dibunuh.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata persatuan itu tidak terlibat di sebalik perintah pemindahan.

Sharuddin, 58, yang dilahirkan di Negeri Sembilan yang mengetuai Unit Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, hanya akan bersara dalam tempoh setahun ketika beliau ditembak mati pada 26 April.

Shaharuddin duduk di tempat duduk penumpang hadapan kenderaan rasmi beliau apabila ia berhenti di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Wawasan, Putrajaya .

Sebuah pembonceng motosikal menembak tiga kali ke arahnya.

mStar 26 Ogos 2013


Gengster disyaki bunuh bos Kastam ditangkap di Ampang

KUALA LUMPUR – Usaha polis memburu pembunuh yang menembak mati Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim dalam kejadian di Putrajaya pada 26 April tahun lalu membuahkan hasil apabila pihak berkuasa berjaya menahan seorang lelaki yang merupakan suspek utama kes tersebut kelmarin.

Suspek utama yang berusia 30-an itu ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota polis daripada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dekat Bukit Indah, Ampang pada pukul 5 pagi kelmarin.

Menurut sumber, polis turut menahan tiga lagi suspek berusia berusia 30-an dan 40-an dalam serbuan berasingan di Batu Caves, Gombak.

“Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Rawang dan menunjukkan pakaian yang dipercayai digunakan oleh lelaki yang menembak Shaharuddin.

“Keempat-empat suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam (kelmarin) bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Kosmo 4 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment