March 14, 2013

Buruh maut tertimbus tanah di tapak binaan

ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengangkat mayat Muhamad Hasan yang maut selepas tertimbus dalam kejadian di sebuah tapak binaan di Taman Cempaka, Johor Bahru hari ini. - UTUSAN

JOHOR BAHRU 14 Mac - Seorang buruh binaan warga Indonesia maut selepas tertimbus tanah sedalam kira-kira dua meter di sebuah tapak pembinaan rumah kedai di Taman Cempaka, Tampoi di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Supritendan Beng Eng Lai berkata, kejadian berlaku pukul 1 petang ketika mangsa, Muhamad Hasan, 36, sedang memasang paip di kawasan berkenaan.

“Tanah di kawasan itu tiba-tiba runtuh menyebabkan mangsa tertimbus sedalam kira-kira dua meter.

“Beberapa pekerja lain yang menyedari kejadian cuba mengorek tanah tersebut menggunakan jengkaut namun mangsa didapati sudah tidak bernyawa sebaik sahaja diangkat keluar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Eng Lai berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, seorang pekerja tapak pembinaan yang enggan dikenali berkata, dia yang terdengar kekecohan tidak jauh daripada tempatnya bekerja bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi, saya lihat beberapa rakan cuba mengeluarkan mangsa dengan jengkaut, namun dia sudah meninggal dunia," katanya. - UTUSAN

14 Mac 2013

0 comments:

Post a Comment