March 14, 2013

Pemandu, lima penumpang cedera, bas rempuh lori


NIBONG TEBAL 13 Mac - Seorang pemandu bas ekspres dan lima penumpangnya cedera selepas kenderaan itu hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 159. 3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3.20 pagi itu, pemandu bas terbabit, Fazli Harun, 45, dari Kulim, Kedah tersepit dalam bas yang remuk di bahagian depan manakala lima penumpang yang cedera terdiri daripada empat warga Thailand dan seorang rakyat negara ini.

Empat warga Thailand yang cedera ialah Mayakoh Awal, 35; Soontorn Wong, 38; Phacharagon, 29; dan Tisranoi, 32, manakala rakyat negara ini ialah Lam Woi Keat, 33.

Kesemua mereka yang cedera dirawat di Hospital Seberang Jaya dekat Bukit Mertajam dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Semasa kejadian, bas ekspres Alisan Golden Coach itu yang membawa 25 orang penumpang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth/Haatyai.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, siasatan awal polis percaya bas itu dipandu laju selain pemandunya dalam keadaan mengantuk.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan bas dan lori membawa muatan kayu tersebut yang berada di lorong kiri terbabas ke lorong kanan sebelum melanggar besi tengah pembahagi jalan.

"Pemandu lori itu, N. Moneymaran, 45, dari Kuala Kangsar, Perak, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shafien berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan 13 Mac 2013

0 comments:

Post a Comment