March 21, 2011

Maut ketika berbual di warung

SEORANG kanak-kanak Azuan Azizan menunjukkan lokasi Limah dan Aminah tercampak selepas dirempuh sebuah kereta di Kampung Gaung, Pasir Mas semalam.

PASIR MAS - Seorang suami hanya mampu mengalirkan air mata selepas tidak sanggup melihat keadaan jenazah isterinya yang menemui ajal dalam keadaan mengerikan selepas dirempuh sebuah kereta semalam.

Limah Yusof, 74, ditemui mati dengan kedua-dua kaki dan tangannya hancur manakala kepala serta tengkoknya pula parah dalam kejadian pukul 8 pagi di Kampung Gaung, Tendong dekat sini itu.

Kemalangan itu turut mengakibatkan sepupu Limah, Aminah Hassan, 58, cedera parah. Dia kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) Kota Bharu.

Kosmo
21 Mac 2011


Putus dua kaki dirempuh kereta

PASIR MAS: “Saya sangkakan emak sudah tiba di kedai kopi untuk bersarapan, rupa-rupanya dia sempat berbual dengan anak sepupunya di hadapan sebuah kedai tinggal sebelum pertemuan itu berakhir dengan tragedi,” kata Roslan Mohamad, 45, anak kepada Limah Yusof, 74, yang terbunuh dalam kemalangan, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, Limah meninggal dunia di tempat kejadian akibat putus kedua-dua kakinya, manakala anak sepupunya, Siti Aminah Hassan, 58, cedera di kepala dan kaki akibat dilanggar sebuah Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki di Kampung Gaung, Tendong, dekat sini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat, manakala Siti Aminah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II), Kota Bharu, untuk rawatan.

Menurut Roslan, kebiasaannya Limah berjalan kaki ke kedai kopi di seberang jalan berhampiran rumah mereka untuk bersarapan.

“Saya tak sangka pula dia (emak) singgah berbual bersama anak sepupunya itu sambil berdiri di kedai yang tidak beroperasi, sebelum mereka dirempuh kereta terbabit yang dipandu seorang lelaki.

“Kebiasaannya, emak tidak akan singgah di situ dan terus ke kedai kopi, sebaliknya pagi tadi (semalam) dia sempat berbual dengan anak sepupunya mungkin bertanya mengenai hal berkaitan pokok bunga,” katanya.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan jiran, dia bersama keluarga bergegas ke tempat kejadian dan hatinya pilu apabila dimaklumkan Limah sudah meninggal dunia.

“Sebelum kejadian, ayah (Mohamad Daud, 74,) yang berada di kedai kopi berhampiran turut terkejut dengan kemalangan itu sebelum meluru melihat keadaan emak.

“Jenazah emak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan jam 5.30 petang semalam,” katanya.

Menurut Roslan, arwah tidak menunjukkan sikap pelik atau sebaliknya, cuma dia sempat memberi beberapa barangan berharga kepada anak-anaknya tiga bulan lalu.

Sementara itu, Mohamad berkata, setiap pagi dia keluar dulu untuk bersarapan di kedai kopi berdekatan, manakala isterinya menyusul kemudian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kejadian berlaku ketika warga emas terbabit sedang berbual di hadapan sebuah kedai sebelum dirempuh sebuah Perodua Kancil yang dipandu seorang pemuda berusia 20-an.

myMetro
21 Mac 2011

0 comments:

Post a Comment