November 12, 2010

Lelaki hidap penyakit lupa gagal pulang rumah sejak 2 bulan lalu

IPOH: “Perasaan saya tidak pernah tenang memikirkan keselamatan dirinya kerana dia belum pandai menjaga diri sendiri sejak sakit setahun lalu,” kata Tijah Mat, 78, ibu kepada Tarmizi Harudin (gambar) 40, yang gagal dikesan sejak dua bulan lalu.

Tarmizi yang juga seorang duda, dilaporkan hilang sejak kali terakhir dilihat keluar rumah menaiki motosikal dengan memakai seluar jean warna biru tanpa baju kira-kira jam 8 pagi pada 15 September lalu.

Tijah berkata, anaknya tidak sihat dan daya ingatan belum pulih sepenuhnya sejak insiden kepalanya diketuk pekerja di bawah jagaannya apabila cuba meleraikan pergaduhan sewaktu menjadi penyelia sebuah kilang di Taiping kira-kira setahun lalu.

Namun, apa yang menghairankan Tijah, anak ketiga daripada empat beradik itu turut membawa bersamanya kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya yang dipercayai disimpan dalam poket seluarnya.

Beliau difahamkan Tarmizi yang tidak mempunyai anak masih mempunyai simpanan wang yang agak banyak dalam bank hasil pekerjaannya sebagai penyelia kilang selama beberapa tahun.

“Dia sebenarnya dalam perhatian doktor kerana masih lagi dalam keadaan trauma selepas kejadian kepalanya diketuk itu dan tinggal bersama saya bersama seorang lagi anak orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Sementara itu, anak saudara Tarmizi, Madian Abdul Rahim, 33, berkata mereka sudah melakukan pelbagai ikhtiar bagi menjejaki bapa saudaranya itu termasuk mengadakan beberapa kali solat hajat dan membaca surah Yasin beramai-ramai, tetapi masih gagal tidak ditemui sehingga kini.

Katanya, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Changkat Jering pada jam 6.24 petang 18 September lalu iaitu kira-kira tiga hari selepas usaha mereka menjejaki Tarmizi sekitar kampung dan Taiping menemui jalan buntu.

Orang ramai yang mengetahui di mana lelaki itu berada diminta menghubungi talian Nizam Mat Nawi 017-5344450 atau Monaliza Abdullah 017-5712661.

myMetro
12 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment