November 12, 2010

Penjual emas mati ditembak

ALOR SETAR: Seorang penjual emas bergerak hanya sempat melarikan diri sejauh kira-kira empat meter sebelum rebah akibat ditembak dua lelaki bertopeng yang menyamun dua beg berisi barangan kemas di kawasan tempat letak kereta di Jalan Masjid Nagore, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu, mangsa dikenali sebagai Fong Chung Sing, 50, yang berasal dari Ayer Hitam, Pulau Pinang mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Difahamkan, mangsa menjual barang kemas secara bergerak dengan mengunjungi beberapa kedai emas di sekitar pusat bandar itu sejak setahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, sebelum kejadian itu, mangsa sedang menjual barangan kemas di beberapa kedai emas di Pekan Cina.

Beliau berkata, selepas berurusan dengan beberapa peniaga kedai emas di situ, mangsa menuju ke tempat keretanya di lorong ini sebelum dihampiri dua lelaki bertopeng yang menaiki kereta Proton Waja berwarna emas.

“Ketika mangsa berjalan kaki menuju ke keretanya, seorang daripada suspek terbabit melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa menyebabkan dia terjatuh.

“Mangsa masih mampu bergerak dan cuba melarikan diri, bagaimanapun tidak kurang empat meter daripada tempat kejadian dia rebah dan mati di situ,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, penyamun terbabit melarikan dua beg berisi barangan kemas yang dibawa mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Waja menuju ke arah pusat bandar.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang pergelutan berlaku kerana tubuh mangsa tidak mengalami kecederaan dan polis percaya suspek sudah lama memerhatikan mangsa yang sering berurusan menjual emas di kawasan itu selain mengetahui selok-belok perniagaannya.

“Setakat ini, kami tidak tahu berapa nilai dua beg barang kemas yang dibawa mangsa dan masih menjalankan siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Zakaria berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Saksi yang melihat kejadian diminta tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

myMetro
12 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment