August 5, 2014

Bekas Adun Batu Rakit meninggal dunia

KUALA TERENGGANU – Bekas Adun Batu Rakit, Datuk Mansor Mohamad, 81, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Kampung Kubang Parit, di sini, petang kelmarin.

Setiausaha Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Terengganu, Datuk Harun Hassan berkata, pemergian Mansor merupakan satu kehilangan besar lebih-lebih lagi arwah adalah ahli jawatankuasa Mubarak yang aktif dan komited.

Menurutnya, Allahyarham Mansor yang merupakan usahawan hartanah adalah ahli ke-54 meninggal dunia sejak Mubarak ditubuhkan pada 2002, dan ahli kedua tertua dalam pertubuhan peringkat negeri.

“Walaupun bertongkat, beliau sanggup berjalan menaiki tangga untuk hadir mesyuarat di Pejabat Mubarak Terengganu di Jalan Sultan Ismail. Cuma dia kurang aktif sejak tiga bulan lalu mungkin kerana sakit,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Allahyarham Mansor meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang kelmarin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Parit, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Harun berkata, Mansor merupakan tokoh lama dalam Umno setia kepada parti walaupun tidak lagi aktif dalam Umno.

Mengulas pembabitan Mansor dalam politik, katanya, arwah melakukan pengorbanan besar apabila meletak jawatan sebagai Adun Batu Rakit bagi memberi laluan kepada Datuk Nik Hassan A Rahman bertanding di kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil, sedangkan pada waktu itu beliau merupakan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Ketika itu berlaku krisis politik di Terengganu dan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien melihat Datuk Nik Hassan layak diangkat menjadi Menteri Besar bagi menggantikan Menteri Besar sedia ada, Datuk Mahmood Sulaiman ketika itu.

“Jadi, Datuk Mansor meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat untuk memberi laluan kepada Nik Hassan bertanding dalam pilihan raya kecil di Batu Rakit pada Ogos 1971 dan arwah kemudian dilantik sebagai senator,” katanya.

Sinar Harian 2 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment