July 25, 2014

Bom mercun bola, 2 parah, 4 cedera

Kuala Terengganu: Empat warga Indonesia dari Lombok cedera parah manakala dua lagi cedera selepas 100 mercun bola yang diasingkan belerangnya meletup di kediaman mereka di Kampung FELDA Jerangau, Dungun, kelmarin.

Kejadian jam 2 petang itu menyebabkan empat daripada enam warga asing yang berehat selepas bekerja di ladang sawit berkenaan patah tangan serta kaki selain melecur dan putus jari apabila tidak sempat melarikan diri ketika mercun berkenaan meletup di ruang tamu kediaman mereka.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca apabila seorang rakan mereka dikenali sebagai Hairi, 30, yang membeli mercun berkenaan mengeluarkan belerangnya dan memasukkan dalam balang paip plastik untuk diletupkan di ladang sawit.

Sebaik selesai mengasingkan belerang mercun itu, dia kemudian membersihkan sisa mercun (sumbu dan bekas mercun) dengan membakarnya menggunakan pemetik api hingga menjadi abu.

Hairi yang menyangkakan sisa mercun itu sudah menjadi abu kemudian mencampurkannya dalam balang plastik yang dipenuhi serbuk belerang itu dan meletakkannya di lantai ruang tamu yang menjadi tempat berehat mereka berenam.

Rakannya, Salman Johari, 25, berkata, balang plastik yang berada berdekatan dia dan lima rakan itu terus meletup sebaik sisa mercun itu dicampur menyebabkan enam rakan terbabit tercampak dan cedera parah.

Katanya, dia yang berada hampir dengan mercun itu patah tangan dan kaki kanan selain melecur di muka serta dada akibat terkena letupan mercun daripada balang paip berkenaan.

“Sebaik membuka mata, saya lihat semua rakan bergelimpangan dan meraung kesakitan selepas letupan.

myMetro 23 Jul 2014


‘Dah nak jadi’

Kuala Terengganu: “Perkara sudah terjadi, tiada guna saya menyimpan dendam,” kata Irawan, 26, mangsa letupan mercun yang mencederakan enam warga Lombok, Indonesia di Kampung FELDA Jerangau, Ahad lalu.

Menurut Irawan, dia dan rakan lain menganggap kejadian yang menimpa mereka adalah ujian daripada Tuhan dan menerimanya dengan hati terbuka.

Katanya, walaupun ada antara mereka terpaksa berehat panjang dan mengalami kecacatan kekal pada anggota badan, tidak sedikitpun timbul rasa marah atau dendam terhadap rakannya, Hairi, 30, yang menyebabkan letupan mercun itu.

“Dia (Hairi) langsung tidak berniat untuk mencederakan dan tidak terfikir insiden itu boleh menimpa kami berenam.

Walaupun dia yang menyebabkan insiden ini, saya yakin dia amat menyesal dengan kejadian yang berlaku.

“Kami semua satu kampung dan perkara ini tidak sesekali memutuskan persahabatan kami semua,” katanya ketika ditemui di Wad Ortopedik HSNZ, di sini, semalam.

Irawan berkata, dia bersyukur kerana dia dibenarkan pulang semalam berikutan kesan lecur pada kedua belah kakinya beransur pulih.

Katanya, dia berharap rakan lain yang masih mendapatkan rawatan itu lebih tabah dan sabar menerima dugaan itu.

Sementara itu Salman Johari, 25, berkata, dia masih trauma dan tidak mampu melupakan kejadian yang hampir meragut nyawanya itu.

“Setiap kali terdengar bunyi letupan mercun, hati saya terganggu dan terbayang kejadian itu.

Buat sementara waktu, biarlah saya berehat dulu di wad dan mungkin akan berfikir sama ada mahu pulang ke kampung halaman atau tidak selepas ini,” katanya.

myMetro 24 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment