July 25, 2014

Amukan ribut lepas sahur


KEDIAMAN yang musnah selapas kejadian ribut di Durian Tunggal.

Alor Gajah: “Serpihan batu melayang dan mengenai kenderaan selain bumbung rumah penduduk diterbangkan angin berpusar.

"Lebih cemas apabila beberapa pokok tumbang dan menghempap kenderaan,” kata pengawal keselamatan Klinik Kesihatan Durian Tunggal Ramli Harun, 60, saksi kejadian ribut di sekitar Durian Tunggal, di sini, pagi semalam.

Ramli berkata, dia yang meronda di sekitar kawasan klinik itu menyedari angin mula bertiup kencang sebelum berlari menyelamatkan diri di dalam pondok pengawal.

“Kerana terlalu takut saya menyorok dalam tandas, saya tidak sanggup hendak melihat angin berpusar itu menerbangkan serpihan batu dan bumbung rumah penduduk berdekatan selain kenderaan dihempap pokok tumbang.

“Kejadian berlaku dalam masa tiga minit dan kesan kerosakannya teruk. Nasib baik tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi, lebih 100 rumah, tiga sekolah dan 10 kenderaan pelbagai jenis rosak teruk selepas ribut melanda tiga kampung iaitu Kampung Pulau, Kampung Belimbing dan Kampung Padang Keladi serta pekan Durian Tunggal.

Sementara itu, jururawat di Klinik Kesihatan Durian Tunggal Norma Alias, 36, berkata, suami dan dua anaknya nyaris maut apabila kereta Perodua Kancil yang hendak dinaiki dihempap pokok sebesar pemeluk yang tumbang.

“Selepas bersahur, suami (Mohd Fauzi Abdullah, 40-an) dan dua anak bersiap hendak ke masjid untuk solat Subuh, namun berpatah balik selepas pokok tumbang menghempap kenderaan.

“Nasib baik suami dan dua anak lelaki saya berusia enam dan lapan tahun baru hendak sampai ke kereta itu kalau tidak entah apa nasib mereka apabila pokok menghempap kereta yang diletakkan di luar rumah,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga merancang bercuti awal sempena Aidilfitri terpaksa membatalkan hasrat itu kerana selain Perodua Kancil, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova milik mereka yang diparkir bersebelahan turut rosak dalam kejadian itu.

Seorang lagi mangsa Liau Ah heng, 71, berkata, dia sempat mengejutkan dua cucunya yang tidur selepas terdengar bunyi angin kencang di luar rumah.

“Saya sedang memasak di dapur sebelum hujan lebat disusuli bunyi angin kuat lalu berlari ke bilik dan mengejutkan dua cucu berusia 10 dan 12 tahun.

“Kami berlari keluar rumah sambil melihat bumbung rumah terkopak satu persatu sebelum sebatang pokok tumbang menghempap dua kereta berdekatan rumah,” katanya.

“Nasib menyebelahi saya dan cucu kerana tidak dihempap pokok itu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, kejadian berlaku ketika kebanyakan penghuni rumah menunggu azan Subuh selepas bersahur.

“Beberapa pokok besar tumbang di sepanjang jalan di Kampung Pulau, Kampung Belimbing dan Kampung Padang Keladi selain banyak bumbung diterbangkan di sekitar Durian Tunggal hingga berlaku kesesakan lalu-lintas,” katanya.

“Difahamkan, setakat ini lebih 100 rumah dan beberapa sekolah di sekitar pekan Durian Tunggal terjejas dan mengalami kerosakan agak teruk manakala beberapa kenderaan turut rosak,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menunggu laporan penuh mengenai kejadian dan sehingga tengah hari semalam tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah kerugian belum ditafsirkan lagi.

myMetro 24 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment