April 24, 2014

Pemandu van maut dirempuh bas

KEMALANGAN sebuah bas kilang dan van di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram menyebabkan seorang maut dan dua orang cedera parah. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin

BAS yang terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah van di persimpangan Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam.

Johor Bahru: Seorang pemandu van maut manakala dua penumpangnya cedera selepas kenderaan yang mereka naiki dirempuh sebuah bas kilang di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Samkani Nordin, 63, maut di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan; Hamiah Hanafi, 45, cedera parah manakala seorang lagi penumpang dikenali sebagai Banniah, 40, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila bas kilang tanpa penumpang itu terbabas ketika keluar simpang sebelum melanggar van berkenaan.

Menurutnya, pemandu bas berusia 33 tahun itu tidak mengalami kecederaan. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan untuk dibedah siasat manakala kedua-dua penumpang yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan kecemasan.

“Siasatan lanjut diteruskan dengan merekod keterangan pemandu bas itu selain mengesan saksi bebas yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

myMetro 24 Apr 2014


Maut tersepit

Keadaan van yang remuk dan bas yang terlibat dalam kemalangan semalam.

SENAI - Seorang pemandu van maut, manakala dua cedera apabila kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas kilang di Sungai Tiram berhampiran sebuah bengkel kereta, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketiga-tiga mangsa tersepit dalam van dinaiki sebelum berjaya dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat Balai Johor Jaya.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Samkani Nordin, 63, manakala penumpang, Hamiah Hanafi, 45, mengalami cedera parah, sementara Baniah, 40, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu berlaku apabila van dalam perjalanan ke Pekan Tiram dilanggar bas kilang dipercayai terbabas.

"Hasil siasatan mendapati, bas berkenaan terbabas keluar dari simpang dan melanggar van yang datang dari arah Sungai Tiram.

"Kejadian menyebabkan pemandu van meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua penumpangnya cedera. Semua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, pemandu bas kilang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balai Johor Jaya, Syed Nasir Syed Abu Bakar berkata, lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dalam anggaran 20 minit.

"Kami terima panggilan pada jam 6 pagi dan sebaik tiba di tempat kejadian, dua mangsa yang berada di tempat duduk belakang berjaya dikeluarkan.

"Anggota penyelamat bagaimanapun mengambil masa iaitu kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan pemandu van kerana terpaksa melakukan kerja pemotongan kenderaan yang rosak teruk di bahagian tempat duduk mangsa," katanya.

Sinar Harian 24 Apr 2014


0 comments:

Post a Comment