December 31, 2012

Kecewa hospital tidak serius


BANDARAYA MELAKA - Seorang penuntut universiti kecewa dengan kakitangan sebuah hospital di negeri ini kerana tidak serius mengambil tindakan segera terhadap dirinya yang dirujuk dari sebuah klinik kesihatan untuk rawatan lanjut, bulan lalu.

Lebih mengejutkan apabila penuntut tahun dua sebuah universiti di Shah Alam, Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Ika, 25, disahkan mempunyai tumor di dalam organ perutnya, Selasa lalu selepas membuat pemeriksaan di sebuah hospital swasta di negeri ini.

Kakak Ika, Rashidah Abd Rahim, 27, berkata, tindakan kakitangan di dua unit hospital terbabit amat mengecewakan mereka sekeluarga, apatah lagi adiknya yang terpaksa menahan derita sakit selama sebulan tanpa mengetahui keadaan sebenar dirinya menghidap tumor.

Rashidah berkata, semuanya bermula apabila adiknya bertemu doktor di Shah Alam, 27 November lalu sebelum merujuknya ke hospital di negeri ini akibat kesakitan dialaminya di bahagian perut dan dada.

“Adik saya minta dirujukkan ke Melaka kerana lebih dekat dengan rumah sebelum saya membawanya ke Unit Pembedahan (SOPD) hospital berkenaan pada hari sama dan kakitangan unit terbabit menetapkan temujanji pada 18 Disember untuk bertemu doktor.

“Pada tarikh temujanji, doktor hanya memegang perut dan mengakui perut adik bengkak selepas adik memberitahu badannya turut berangin, selain bahagian belakang badan dan dada kiri sakit seperti susah bernafas.

“Adik yang diberikan ubat gastrik kemudian diarahkan membuat X-ray, ultrasound dan ujian darah pada 5 Februari tahun depan dan bertemu doktor pula pada 26 Februari,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Lorong Pandan, di sini.

Menurutnya, dia kemudian memutuskan membawa Ika membuat pemeriksaan di hospital swasta di negeri ini pada 26 Disember lalu selepas adiknya mengadu demam, selalu berpeluh, sukar tidur dan sakit di perut.

“Di sana, adik saya diarahkan untuk membuat CT Scan, Ultrasound sebelum doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan sebesar dua penumbuk dalam organ perutnya.

“Betapa kecewa kami dengan hospital kerajaan tersebut seolah-olah ambil mudah dan tidak serius memeriksa pesakit yang dirujuk dari klinik," katanya.

Rashidah berkata, dia dan Ika kemudian ke hospital terbabit dengan membawa laporan serta hasil X-ray yang diterima dari hospital swasta berkenaan pada hari sama, namun sekali lagi kecewa apabila pegawai perubatan di situ enggan melihat laporan itu.

“Doktor di unit kecemasan hanya meminta kami memberitahu perkara sebenar sebelum saya menceritakan dari A sampai Z. Selepas itu baru doktor berkenaan membaca dan menyalin laporan berkenaan dan turut mencadangkan adik saya menjalani X-ray paru-paru, dikhuatiri terdapat air di dalam hingga menyebabkan adik susah bernafas,” katanya.

Menurut Rashidah, dia mula berang kerana tidak berpuas hati dengan kakitangan hospital yang melengah-lengahkan tindakan segera yang patut diambil.

Sinar Harian 31 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment