December 31, 2012

Jururawat maut, dua daripada tiga anaknya cedera


Kereta Perodua Alza dinaiki mangsa remuk akibat melanggar besi pengadang jalan.

Ilustrasi kemalangan di Kilometer 431.4 Lebuh Raya Utara Selatan

KUALA KUBU BHARU - Seorang jururawat dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) maut dalam kemalangan di Kilometer 431.4 Lebuh Raya Utara Selatan awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, kereta Perodua Alza dinaiki mangsa bersama suami dan tiga anaknya terbabas serta melanggar besi pengadang jalan.

“Siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada tayar depan sebelah kiri kereta dinaiki sekeluarga itu pecah menyebabkan pemandunya, Binorizam Basri, 34, gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar besi pengadang jalan sebelah kiri.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa, Norhamiza Abd Rani, 34, maut di tempat kejadian manakala dua daripada tiga anaknya cedera,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, anak mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).

Sementara itu, ibu mangsa, Rahmah Itam, 55, bersama suami tiba di Unit Forensik HKKB untuk menuntut jenazah anaknya.

Turut menziarahi mangsa, rakan sekerja serta pegawai dan kakitangan Perodua yang juga rakan sekerja suami Norhamiza yang bekerja sebagai eksekutif di bahagian pengedaran di Kilang Perodua, Sungai Choh.

Rahmah berkata, ketika kejadian anaknya dalam perjalanan kembali ke kediaman mereka di Cheras, Kuala Lumpur setelah menghabiskan cuti seminggu di kampung halaman di Jitra, Kedah.

“Mereka bertolak kira-kira jam 10 malam tadi (kelmarin) kerana bercadang berehat seketika sebelum memulakan kerja malam nanti (semalam).

“Tapi kami terkejut apabila mendapat panggilan mengatakan mereka terbabit kemalangan,” katanya.

Menurutnya, jenazah anaknya akan dibawa pulang ke Jitra untuk dikebumikan.

Sinar Harian 31 Dis 2012



Hilang ibu

KUALA LUMPUR: Akibat tayar depan sebelah kiri kereta dinaiki pecah, seorang wanita terbunuh manakala dua anaknya cedera dalam kemalangan di Kilometer 431.4 Lebuh raya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur selepas susur ke Bukit Beruntung, semalam.

Norhamiza Abd Rani, 34, yang duduk di belakang Perodua Alza terkorban akibat kecederaan di kepala, namun suaminya Binorizam Basri, 34, yang memandu dan seorang lagi anaknya terselamat.

Menurut jurucakap polis trafik, dalam kemalangan jam 7.30 pagi itu dua lagi anak pasangan berkenaan terselamat.

“Anak mereka berusia antara setahun dan enam tahun,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas tayar depan sebelah kiri kereta berkenaan pecah dan menyebabkan pemandunya hilang kawalan.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan yang hilang kawalan itu kemudian merempuh tepat penjuru besi pembahagi jalan mengakibatkan sebelah kiri kereta itu remuk.

“Penumpang belakang iaitu isteri mangsa maut di tempat kejadian akibat tersepit di antara kerusi depan dan belakang selepas terjatuh di atas lantai kereta,” katanya.

Difahamkan, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Cheras selepas menghabiskan cuti selama seminggu di kampung halaman di Jitra, Kedah.

Jurucakap polis trafik berkata, anggota bomba dan penyelamat dari Balai Rawang mengambil masa setengah jam mengeluarkan mayat Norhamiza yang juga jururawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norell Azmi Yahya Afendy ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dua kanak-kanak yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh manakala mayat Norhamiza dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Pada 29 Januari tahun lalu, tiga sekeluarga termasuk bayi berusia dua bulan nyaris maut selepas Proton Iswara yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik jam 9.30 pagi di lokasi sama.

Akibatnya, kereta berkenaan merempuh tiang papan tanda sebelum terbalik di tepi longkang lebuh raya terbabit dan hampir menjunam ke dalam Sungai Guntong.

Bagaimanapun, ketiga-tiganya bernasib baik kerana diselamatkan pemandu yang kebetulan melalui jalan berkenaan selepas ternampak kesan kerosakan pada tiang papan tanda dan tebing jalan.

myMetro 31 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment