August 21, 2012

Perompak tebuk 3 premis, larikan emas RM350,000


MELAKA - Seorang pemilik kedai emas kerugian RM350,000 selepas kedai emasnya dipecah masuk perompak di Jalan PMS1, Plaza Melaka Sentral di sini, awal hari ini.
 
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt P.R. Gunarajan berkata, dalam kejadian antara jam 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi, penjenayah memecah masuk kedai emas tersebut melalui pintu belakang kedai andaman yang menghubungkan tiga lagi kedai bersebelahan menggunakan pemotong besi.
 
Beliau memberitahu pemberita, pemeriksaan polis mendapati suspek kemudiannya memecahkan papan lapis yang berfungsi sebagai dinding pemisah antara keempat-empat kedai berkenaan untuk ke kedai emas tersebut.
 
Beliau berkata, perompak kemudiannya menebuk lubang pada peti besi empat tingkat yang menyimpan barang kemas kira-kira 15 dulang serta wang tunai berjumlah RM10,000.
 
Bagaimanapun katanya, perompak tersebut hanya dapat melarikan barang kemas di tingkat pertama peti besi itu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM350,000.
 
Gunarajan berkata perompak tersebut, dipercayai lebih daripada dua orang, juga melarikan perakam kamera litar tertutup yang dipasang di kedai emas itu.

Sementara itu pemilik kedai emas tersebut, Tan Teng Leong, 50, berkata, dia dimaklumkan berita rompakan tersebut melalui panggilan telefon dari pemilik bangunan yang disewanya kira-kira jam 8 pagi.
 
Beliau berkata, pada awalnya dia tidak menyangka kedainya dirompak kerana menyangka hanya kedai andaman itu dipecah masuk.
 
"Saya berasa amat terkejut apabila tiba di kedai dan melihat kedai dipecah masuk. Ini kali pertama berlaku sepanjang tujuh tahun saya berniaga di sini," katanya. - Bernama

21 Ogos 2012

Susulan tebuk 3 kedai: Modus operandi luar biasa


MELAKA - Penjenayah yang terlibat dalam rompakan di sebuah kedai emas di Plaza Melaka Sentral, kelmarin dipercayai tidak kurang daripada tiga orang.

Ini berikutan peti besi seberat 1 tan yang terletak dalam kedai emas berkenaan sudah beralih kedudukan dan hanya boleh dilakukan lebih daripada dua individu.

Perkara itu disahkan pembekal peti besi, Loh Kok Hau ketika membuat pemeriksaan di kedai emas yang telah beroperasi di Jalan PMS 1, di situ sejak tujuh tahun lalu.

Kok Hau berkata, kira-kira tiga jam tempoh diperlukan untuk melakukan kerja-kerja penebukan lubang pada peti yang diperbuat daripada tiga lapisan besi dan konkrit.

“Peti besi begini kebanyakannya digunakan oleh peniaga emas dan bukan mudah mengalihkannya.

“Peti ini mempunyai tiga lapisan pada sisinya iaitu besi pada lapisan pertama dan ketiga sementara konkrit setebal empat inci berada di tengah-tengah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedai berkenaan, semalam.

Menurut Kok Hau, peti yang menyimpan 15 dulang emas oleh pemilik kedai terbabit juga boleh memuatkan sehingga 18 dulang.

Sementara itu, pemilik kedai emas, Tan Teng Leong, 50, berkata, premisnya itu ditutup sementara waktu untuk kerja-kerja pembersihan dan pembaikan.

“Mungkin memakan masa seminggu atau lebih untuk kami membersihkan kedai selain perlu membuat pembaikan terhadap dinding yang sudah dipecah dan ditebuk penjenayah,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana wang berjumlah kira-kira RM10,000 yang diletakkan di bahagian bawah peti besi itu tidak diambil penjenayah terbabit.

Sinar Harian 23 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment