August 4, 2011

Timbalan Pengarah Veterinar Perak ditemui mati

Dr. Rohani Kassim. Foto mStar

ORANG RAMAI mengusung jenazah Rohani yang mati disyaki dibunuh tiga lelaki dalam kejadian di tingkat dua Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun, Ipoh semalam.


Cekik, balut, seret mayat wanita

IPOH - Kebimbangan seorang Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak mengenai rumahnya yang dipecah masuk hingga mengakibatkannya kerugian RM15,000 sampai ke kemuncaknya apabila dia ditemui mati dicekik semalam.

Mayat Dr. Rohani Kasim, 38, yang masih bujang ditemui dibalut dengan selimut tebal dan ditinggalkan oleh tiga lelaki dipercayai jirannya di atas tangga di tingkat dua Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun dekat sini.

Difahamkan, tiga penjenayah terbabit bertindak meninggalkan mayat anak ketujuh daripada 10 beradik itu di situ pada pukul 3 pagi selepas terserempak dengan beberapa penghuni ketika mereka disyaki hendak mengangkat mayat tersebut untuk dilupuskan.

Mangsa sebelum ini menjawat jawatan Pendaftar Kolej Pertanian Malaysia, Sintok, Kedah. Dia kemudian dinaikkan pangkat ke jawatan sekarang dan berpindah ke situ bulan lalu.

Kakak mangsa, Ruzaina, 41, memberitahu, sebelum kejadian, adiknya ada mengadu yang dia bimbang mengenai keselamatan dirinya yang tinggal bersendirian di rumah baharu tersebut berikutan premis itu telah dipecah masuk kira-kira seminggu sebelum Ramadan.

"Ketika kami bertemu di kampung di Parit Haji Ali, Bagan Serai Isnin lalu, dia mengadu kerugian RM15,000 apabila barang kemasnya telah dilarikan penjenayah.

"Selain itu, dia juga tertekan berikutan pejabatnya diserbu ramai penternak lembu yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak mengharamkan penyembelihan lembu betina baru-baru ini," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, tukang kebun apartmen tersebut, Mohd. Faisal Mat Ghani, 28, berkata, dia bergegas ke blok tersebut sebaik terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi riuh-rendah.

Kosmo
5 Ogos 2011


Sempat pesan ikan bakar sebelum ditemui mati

IPOH 4 Ogos - Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr. Rohani Kasim, sempat memesan ikan bakar sebagai juadah berbuka puasa semalam, sebelum ditemui mati dipercayai dibunuh di pangsapuri miliknya, awal pagi tadi.

Seorang bekas rakan sekerjanya, Roslizan Nikmat, 45, berkata, Rohani, 38, memesan kepadanya agar membelikan juadah tersebut untuk berbuka puasa semalam.

Menurut Roslizan, kali terakhir dia menerima panggilan daripada mangsa adalah pukul 4.15 petang sebelum gagal menghubunginya sekitar pukul 7.30 petang ke 8.30 malam.

"Saya ke rumahnya dalam pukul 7.15 petang untuk menghantar juadah itu tetapi apabila pintu diketuk, tidak berjawab. Saya kemudian menyangkutkan makanan itu di pintu di luar rumah mangsa.

"Tetapi, saya tidak sedap hati apabila melihat tingkap di luar dalam keadaan terbuka. Saya ada bertanyakan dua lelaki yang lalu di situ dan mereka kata mungkin dia (Rohani) keluar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, kakak mangsa, Ruzaina Kasim, 41, berkata, kali terakhir Rohani pulang ke kampung iaitu di Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai, ketika menyambut hari pertama berpuasa iaitu Isnin lalu.

Menurut Ruzaina, ketika itu, anak ketujuh daripada 10 beradik itu ada menceritakan bahawa rumahnya dipecah masuk kira-kira dua minggu lalu dan mengakibatkan kerugian sebanyak RM15,000.

"Dia (Rohani) memang tinggal seorang, kami memang hendak menjenguknya tetapi tidak sempat lagi kerana dia kata mempunyai banyak kerja dan jarang bersembang mengenai hal peribadi.

"Dia ada mengatakan sibuk menguruskan kes bantahan kumpulan penternak daging segar di Taiping berikutan notis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri yang menguat kuasa larangan penyembelihan lembu bunting dan masih produktif," katanya.

Ibunya, Sharifah Razali, 72, pula berkata, Rohani tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga kembali ke Ipoh pada Isnin lepas selepas sahur bersama.

Menurut Sharifah, dia yang diberitahu mengenai kematian anaknya pagi ini, bergegas ke Ipoh untuk menuntut jenazah Rohani tanpa ditemani suaminya, Kasim Idris, 76, yang mengalami sakit usus.

Utusan
5 Ogos 2011


Kaki terjulur atas tangga

IPOH: “Saya mengucap panjang melihat kaki manusia terjulur dari gulungan selimut ‘toto’ ditinggalkan di atas tangga bertentangan pintu rumah,” kata Azlina Abu Talib, 33.

Azlina jiran kepada Dr Rohani Kasim, 38, ditemui mati dicekik di kediamannya di tingkat satu Pangsapuri Permai Lake View di Tambun, dekat sini, awal pagi semalam.

Azlina berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 3 pagi semalam, selepas kecoh di luar rumahnya di tingkat bawah ketika bangun untuk bersahur.

“Saya terkejut mendengar bunyi bising dari arah tangga bertentangan pintu rumah saya dan keluar untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Saya seperti tidak percaya apabila diberitahu pengawal keselamatan di pangsapuri terdapat mayat di atas lantai tangga menuju ke tingkat bawah, betul-betul di hadapan kediaman saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia memberanikan diri naik ke tangga untuk melihat balutan tilam didakwa mengandungi mayat wanita itu dan terkejut apabila mendapati kaki manusia terjulur dari dalam tilam itu.

“Saya diberitahu pengawal keselamatan bertugas ternampak kelibat dua lelaki mengusung balutan tilam berkenaan ketika melakukan rondaan.

“Namun, suspek mencampak tilam itu ke lantai tangga sebaik menyedari kehadiran pengawal berkenaan. Dua lelaki itu melarikan diri melalui tingkap rumah berhampiran yang tidak berjeriji sebelum menuju ke arah sebuah kereta dipandu seorang lelaki tidak dikenali,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui seorang lelaki menetap di pangsapuri itu ditahan sejurus polis dimaklumkan kejadian itu. Azlina berkata, dia baru mengenali mangsa yang berpindah ke pangsapuri ini awal bulan lalu dan tidak sangka kejadian ngeri itu menimpanya.

Dia berharap polis memberkas segera penjenayah itu bagi mengelakkan penduduk dihantui ketakutan.

myMetro
5 Ogos 2011


Sahur terakhir

IPOH: “Saya tidak sedap hati sejak dia pulang ke kampung untuk bersahur bersama keluarga pada sambutan satu Ramadan di Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai, Isnin lalu.

“Namun langsung tidak menduga ia pertemuan kami yang terakhir,” kata Ahmad Azam, 51, abang sulung Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, yang ditemui mati di kediamannya di Pangsapuri Permai Lake View Tambun, awal pagi semalam.

Ahmad berkata, dalam pertemuan terakhir dengan adik perempuannya yang juga anak ketujuh daripada 10 beradik itu, arwah beberapa kali mengadu mengenai soal keselamatan di kediaman barunya ini.

“Adik saya mula bertugas di Ipoh pada 1 Julai lalu selepas dinaikkan pangkat. Dia sebelum ini bertugas sebagai pendaftar di Kolej Pertanian Sintok, Kedah.

“Namun, baru dua minggu mendiami rumah sewa barunya itu, dia sudah kerugian hampir RM15,000 apabila barang kemasnya dilarikan penjenayah yang memecah masuk ketika dia tiada di rumah pertengahan Julai lalu,” katanya sebak.

Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian jenayah itu berulang sekali lagi apabila adiknya dibunuh kejam awal pagi semalam.

Ibu mangsa, Sharifah Razali, 72, ketika ditemui berkata, dia menemui Allahyarhamah ketika sahur Ramadan pertama di Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai.

“Saya tidak nampak sebarang perubahan pada diri arwah. Cuma, dia sempat membeli barang keperluan harian sebelum pulang ke Ipoh pada pertemuan terakhir kami Isnin lalu.

“Walaupun arwah tegas, dia penyeri di dalam keluarga kami dan disenangi semua ahli keluarga,” katanya ketika ditemui selepas membuat pengecaman mayat mangsa di Bahagian Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Sementara itu, kakak arwah, Ruzaina Kasim, 41, berkata adiknya pernah mengadu tertekan hingga migrain berhubung isu protes penyembelihan lembu betina bunting di Taiping baru-baru ini.

“Dia juga kerap mengadu mempunyai banyak kerja dan tidak dapat pulang selalu ke kampung untuk berbuka bersama. “Saya pernah menasihatkan dia yang tinggal bersendirian supaya menukar kunci rumahnya berikutan kejadian pecah sebelum ini. Tetapi tidak sangka dalam tempoh tidak sampai tiga minggu, rumahnya sekali lagi dipecah masuk tetapi kali ini berakhir dengan tragedi ngeri,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, mayat Rohani ditemui pengawal keselamatan pangsapuri dibalut dengan tilam di atas lantai tangga tingkat satu pangsapuri selepas dipercayai dicekik sampai mati oleh penjenayah yang memecah masuk rumahnya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengarah Jabatan Khidmat Veterinar Perak, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam turut hadir menziarahi keluarga mangsa di bilik mayat HRPB.

Zambry yang mewakili kerajaan negeri memberi sumbangan RM8,000 kepada keluarga Allahyarhamah iaitu RM5,000 atas dasar tragedi dan RM3,000 bagi bantuan pengurusan jenazah pegawai awam.

“Saya harap semua pihak jangan membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini dan serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” kata Zambry.

myMetro
5 Ogos 2011


2 lelaki ditahan bantu kes bunuh Rohani Kassim

IPOH 4 Ogos - Polis menahan dua lelaki berusia 26 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, siasatan awal polis mendapati terdapat unsur jenayah.

Katanya, mayat Rohani, 38, ditemui dalam gulungan tilam oleh pengawal keselamatan di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun, kira-kira pukul 4.30 pagi.

"Mangsa dipercayai mati dicekik dan polis masih menyiasat kes ini dengan teliti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Dzuraidi ketika ditemui pemberita di pekarangan bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berkata, motif kes masih disiasat memandangkan tiada sebarang kerugian yang dialami mangsa sekiranya ia melibatkan kes samun.

Beliau turut menolak kemungkinan kes itu bersangkut paut dengan bantahan kumpulan penternak daging segar di Taiping berikutan notis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri yang menguat kuasa larangan penyembelihan lembu bunting dan masih produktif.

Mangsa yang masih bujang ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar di sini bermula 1 Julai lalu selepas berkhidmat sebagai pegawai pendaftar di Kolej Pertanian Sintok, Kedah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Supritendan A. Nirmala di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2531500.

Utusan
5 Ogos 2011


Pertukaran Kerja Yang Berakhir Dengan Tragedi

IPOH: Pada minggu lalu, Timbalan Pengarah, Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kassim berasa amat tertekan.

Selepas sebulan ditukarkan dari Kolej Veterinar Sintok ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, pangsapuri Permai Lake View yang dihuninya dipecah masuk.

Beliau kerugian dan kehilangan barangan bernilai RM15,000.

Dr Rohani turut memberitahu kakaknya, Ruzaina pada Sabtu lalu bahawa dia berasa tertekan dengan arahan terbaru jabatan yang melarang penyembelihan haiwan yang sedang bunting.

Pada awal semalam, segala-galanya berakhir dengan tragis apabila wanita berumur 38 tahun yang belum berkahwin itu ditemui mati dibunuh di luar rumah sewanya di sini.

Pengawal keselamatan menemui mayat wanita itu dibalut dengan selimut tebal pada jam 4.30 pagi di tepi tangga pangsapurinya itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, tiga lelaki telah ditangkap untuk membantu dalam penyiasatan kes tersebut.

Katanya, lelaki berumur dalam lingkungan 21 dan 26 tahun itu ditahan di Tambun dan Tanjung Malim. Mereka dikenakan tahanan reman.

Dr Rohani yang sebelum ini merupakan pendaftar di Kolej Veterinar Sintok di Kedah, ditukarkan ke jabatan itu pada 1 Julai lalu.

Ruzaina, 41, ketika ditemui di rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun berkata, mangsa berpindah ke pangsapuri tersebut pada bulan lalu susulan pertukarannya ke situ.

"Seminggu sebelum permulaan Ramadan, rumahnya dipecah masuk dan dia kehilangan kira-kira RM15,000," katanya.

Ruzaina berkata, kali terakhir mereka bertemu ialah di rumah keluarga di Bagan Serai.

Menurutnya, Dr Rohani mengadu dirinya tertekan ekoran arahan terbaru tentang penyembelihan haiwan bunting di negeri itu.

Ibunya, Sharifah Razali, 72, berkata, Dr Rohani meninggalkan rumah keluarganya selepas sahur pada Isnin.

Bekas rakan kerja Dr Rohani, Roslizan Nekmat pula memberitahu, mangsa masih berada di pejabat ketika dia menghubunginya pada pukul 4.15 petang Rabu.

Roslizan, 45, berkata, Dr Rohani memintanya membeli ikan bakar untuk berbuka puasa.

"Saya tiba di pangsapurinya pada pukul 7.15 malam tetapi tiada respons walaupun saya mengetuk pintu berulang-ulang kali.

"Selepas beberapa ketika, saya membuat keputusan meninggalkan ikan di tombol pintu dan beredar dari situ," katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon menemui keluarga mangsa di rumah mayat itu.

Dr Zambry menyerahkan derma peribadi sebanyak RM8,000 kepada keluarga mangsa.

Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung dengan kes itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Supritendan, A. Nirmala di talian 05-253 1500.

mStar
5 Ogos 2011


Bunuh Tim. Pengarah Veterinar: Empat Suspek Ditahan Bersama Barangan Milik Mangsa

IPOH: Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Pengarah Veterinar Perak, Dr Rohani Kassim, 38, yang dijumpai mati di rumahnya di Ulu Kinta di sini Khamis ekoran penangkapan empat lelaki.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof berkata dua suspek ditangkap kira-kira sejam selepas penemuan mayat Dr Rohani pada kira-kira 3.30 pagi Khamis tidak jauh dari rumahnya manakala suspek ketiga ditahan pada 4.30 petang di Tanjung Malim dan suspek keempat ditahan pada 10.30 malam tadi di Slim River.

"Mereka yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 26 tahun dan polis turut menemui barang-barang kemas dan telefon bimbit dipercayai milik mangsa," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Jumaat.

Zakaria berkata dua daripada suspek adalah penganggur, seorang lagi pekerja Pos Malaysia manakala seorang lagi adalah askar yang melarikan diri daripada tugas.

"Seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah bersabit kes rogol di Slim River tahun lalu," katanya.

Beliau berkata dua daripada mereka direman empat hari manakala dua lagi direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat Dr Rohani ditemui oleh seorang pengawal keselamatan di Pangsapuri Permai Lake View yang terserempak dengan seorang lelaki yang sedang membawa bungkusan menuruni tangga pangsapuri itu pada kira-kira jam 3.30 pagi.

Selepas disiasat, pengawal itu mendapati bungkusan yang ditinggalkan itu adalah cadar tebal yang membalut mayat mangsa yang terikat kedua-dua tangan dan kakinya.

Pengawal keselamatan berkenaan terus menghubungi polis.

Semalam, ibu mangsa Sharifah Razali, 72, berkata anaknya baru sebulan bertugas di Ipoh dan kali terakhir beliau menemui anaknya ialah pada hari pertama berpuasa Isnin lepas di kampung mereka di Bagan Serai.

Zakaria sementara itu berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mengetahui punca kematian. -BERNAMA

5 Ogos 2011


Empat suspek bunuh direman

EMPAT suspek kes bunuh Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.

IPOH: Polis percaya kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, yang ditemui mati di pangsapurinya, Permai Lake View, Tambun, dekat sini, kelmarin, selesai berikutan tertangkapnya empat suspek selain penemuan beberapa barang dipercayai milik mangsa daripada mereka.

Polis turut menyiasat kemungkinan mangsa yang mayatnya ditemui dengan tangan dan kaki berikat sebelum dibalut tilam dan ditinggalkan di atas tangga di pangsapurinya, turut dirogol atau berdepan serangan seksual berikutan seorang daripada suspek didapati tersenarai sebagai orang paling dikehendaki untuk satu kes rogol di Slim River, baru-baru ini.

Empat suspek terbabit adalah rakan serumah berusia antara 20 hingga 26 tahun dengan dua daripadanya adalah penganggur, seorang anggota tentera yang lari tugas dan seorang posmen.

Selain dua yang ditahan di sekitar tempat kejadian dan suspek ketiga berusia 20 tahun yang dipercayai lelaki bertanggungjawab meninggalkan mayat mangsa di tangga ditahan pada 4.30 petang di Tanjung Malim, suspek keempat berusia 22 tahun pula ditahan di Slim River pada jam 10.30 malam kelmarin.

Seorang daripada suspek yang ditahan di tempat kejadian direman selama empat hari sehingga Isnin ini, manakala tiga lagi direman tujuh hari sehingga Khamis dengan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis juga sedang mengenal pasti sama ada suspek berada di bawah pengaruh dadah terutama syabu ketika kejadian yang kebiasaannya boleh mempengaruhi seseorang untuk bertindak nekad kerana sumber perubatan memberitahu laporan menunjukkan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia antara tujuh hingga 10 jam sebelum mayatnya ditemui di tangga pangsapuri berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata siasatan polis mengenal pasti motif kejadian sebagai samun selepas menemui telefon bimbit dan barang kemas dipercayai milik mangsa pada suspek.
Katanya, polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat manakala pasukan forensik polis sudah menghantar beberapa sampel termasuk yang ditemui pada tubuh mangsa ke Jabatan Kimia untuk dianalisis serta mendapatkan padanan asid deoksiribonukleik (DNA).

"Polis sudah melakukan ujian air kencing terhadap semua suspek, tetapi belum mendapat keputusan sama ada mereka positif dadah atau tidak tetapi keadaan mereka (ketika ditangkap) kelihatan menjurus ke arah itu (di bawah pengaruh dadah)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, semalam.

Mayat Rohani ditemui seorang pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan yang terserempak dengan seorang lelaki yang sedang membawa bungkusan menuruni tangga pangsapuri itu kira-kira jam 3.30 pagi.

Berita Harian
6 Ogos 2011


Kes bunuh Rohani: 1 bebas, 3 sambung reman

IPOH 11 Ogos - Seorang suspek yang ditahan berhubung kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, 4 Ogos lalu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini, manakala tiga suspek lain disambung reman sehingga Rabu ini.

Perintah lanjutan reman selama tujuh hari itu dikeluarkan oleh Majistret Fauziah Hanim selepas tempoh tahanan reman keempat-empat suspek tamat hari ini.

Keempat-empat suspek itu sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari.

Semua suspek ditahan kurang 24 jam selepas mayat mangsa ditemui di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun di sini. Dua suspek ditahan tidak jauh dari tempat kejadian, manakala dua lagi ditahan di Tanjung Malim dan Slim River.

Dalam kejadian pada 4 Ogos lalu, mayat Rohani ditemui seorang pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan selepas terserempak dengan seorang lelaki sedang memikul satu bungkusan menuruni tangga dari tingkat satu kira-kira pukul 3.30 pagi.

Hasil pemeriksaan pengawal keselamatan itu mendapati bungkusan yang dicampakkan oleh suspek selepas terkejut melihatnya itu adalah sehelai gebar yang membalut mayat seorang wanita dengan kedua-dua tangan dan kakinya diikat.

Utusan
15 Ogos 2011


Pengawal 'mohawk' didakwa

SYAHMIE (kanan) dan Nurhisyam (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.

Lelaki dituduh penyebab kematian Timbalan Pengarah Veterinar Perak

IPOH: Seorang pengawal keselamatan berambut ala ‘mohawk’ didakwa di Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, pada hari ketiga umat Islam berpuasa 3 Ogos lalu.

Syahmie Hassan, 20, dituduh membunuh mangsa berusia 38 tahun di Tingkat 1, Blok F, Unit 9, Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Tambun dekat sini antara jam 6 petang dan 7.30 malam.

Tertuduh yang tinggal di kediaman bernombor F-1-2 blok pangsapuri sama, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dia mengangguk tanda memahami pertuduhan ketika ditanya jurubahasa mahkamah dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal kemudian menetapkan 17 Oktober ini untuk kes itu disebut semula sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa.

Sementara itu, rakan serumah tertuduh, Nurhisyam Shukor, 23, mengaku tidak bersalah atas tuduhan melupuskan harta curi gelang emas berbentuk sembilan urat rantai bernilai RM6,000 milik mangsa sama di Kedai Jam Tangan Kam Seng di Jalan Besar, Tanjung Malim, lebih kurang 150 kilometer dari sini, antara jam 3 hingga 6 petang 4 Ogos lalu.

Tertuduh yang juga bekas anggota tentera didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Nurul Akmal membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes itu juga disebut semula pada 17 Oktober ini. Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nor Abdurrahim menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.

Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun meminta agar ia dikurangkan dengan alasan masih belum berkahwin, manakala tiada ahli keluarganya yang hadir pada prosiding semalam.

Mayat Rohani yang dibalut dengan tilam ditemui pengawal keselamatan pangsapuri itu selepas terserempak dengan seorang lelaki yang sedang membawa bungkusan menuruni tangga pangsapuri pada 3.30 pagi, 4 Ogos lalu.

Mangsa, anak ketujuh daripada 10 beradik dinaikkan pangkat ke jawatan timbalan pengarah pada 1 Julai lalu dan sebelum itu Rohani bertugas sebagai Pendaftar Kolej Pertanian di Sintok, Kedah.

Polis menahan empat lelaki berusia 20 hingga 26 tahun tidak sampai 24 jam selepas penemuan mayat Rohani tetapi seorang dibebaskan dengan jaminan polis, manakala seorang lagi tamat reman hari ini.

Berita Harian
17 Ogos 2011


Bekas tentera dipenjara 26 bulan

IPOH – Seorang bekas anggota tentera dijatuhi hukuman penjara 26 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah melupuskan barang curi milik Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim yang mati dibunuh Ogos lalu.

Nuurhisyam Shukor, 22, yang juga rakan serumah suspek utama kes pembunuhan itu, Syahmie Hassan, 20, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Rabiatul Adawiyyah Che Khalid.

Dia didakwa melupuskan gelang emas curi berbentuk sembilan urat rantai bernilai RM6,000 milik mangsa sehari selepas kejadian pembunuhan tersebut.

Kosmo
18 Okt 2011


Terkilan dengan sikap majikan

BAGAN SERAI – Syawal bagai tiada erti buat keluarga bekas Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Allahyarhamah Dr Rohani Kassim kerana kejadian pembunuhan anak kesayangan mereka dua tahun lalu masih segar dalam ingatan.

Tarikh 3 Ogos lalu, genap dua tahun peristiwa hitam yang menimpa Allahyarhamah Dr Rohani dan ia menambah pilu kepada bapanya, Kassim Idris, 77 serta ahli keluarga lain.

Kassim ketika ditemui turut menyuarakan kekesalan terhadap majikan Allahyarhamah kerana menolak permohonan anaknya itu untuk ditempatkan di kuarters kerajaan.

"Setiap kali terkenang arwah, saya rasa terkilan dengan sikap majikannya. Sepatutnya dia (Dr Rohani) dipertimbangkan untuk tinggal di kuarters kerajaan kerana belum berkeluarga dan tinggal berseorangan.

"Bukan niat untuk menyalahkan mana-mana pihak atas kejadian yang menimpa arwah, namun sepatutnya pihak jabatan ambil kira aspek keselamatan anak saya sebagai seorang perempuan yang tinggal sendirian," katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Haji Ali, di sini.

Sehubungan itu, Kassim sekeluarga turut mempertimbangkan hasrat untuk menyaman pihak majikan Allahyarhamah Dr Rohani sekiranya berkemampuan dan perkara itu turut disuarakan beberapa rakan sekerja Dr Rohani yang mempersoalkan tindakan jabatan terbabit.

"Setiap kali teringatkan arwah, saya benar-benar sebak. Pernah terfikir keselamatannya mungkin lebih terjamin jika tinggal di kuarters kerajaan," katanya.

Kassim turut menggesa pihak berkuasa mempercepatkan perbicaraan kes terhadap salah seorang suspek pembunuhan anaknya yang belum bermula walaupun kejadian telah berlalu sejak dua tahun lalu.

Beliau berharap pihak berkenaan mempertimbangkan perasaan ahli keluarga yang benar-benar kesal dengan kejadian yang menimpa arwah serta menuntut pembunuh Dr Rohani dikenakan hukuman setimpal.

"Sebelum ini saya dimaklumkan perbicaraan melibatkan salah seorang suspek sepatutnya bermula pada 3 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Ipoh, iaitu bersamaan tarikh kematian arwah dua tahun lalu.

"Tetapi sampai sekarang saya belum dengar sebarang khabar berita mengenai perbicaraan itu. Saya harap suspek dibicarakan segera," katanya.

Bagi Kassim, pemergian Allahyarhamah Dr Rohani merupakan kehilangan besar buat keluarganya kerana arwah merupakan individu paling disenangi ahli keluarga serta anak-anak saudara.

Menurutnya, setiap kali menjelang hari raya, Allahyarhamah merupakan orang paling sibuk membuat persiapan Aidilfitri di rumah mereka dan boleh dikatakan hampir seluruh perbelanjaan hari raya dibiayainya.

Sinar Harian pernah melaporkan Dr Rohani ditemui mati dalam keadaan tangan serta kaki berikat dalam gulungan tilam di atas tangga Pangsapuri Permai Lake View, Tambun pada kira-kira jam 3 pagi, 3 Ogos 2011.

Mangsa dipercayai dicekik sehingga mati dan seminggu sebelum ketibaan Ramadan, rumah mangsa dicerobohi ketika mangsa pulang menyambut hari pertama puasa di kampung, menyebabkan mangsa kehilangan barang kemas bernilai RM15,000.

Berikutan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki yang mana dua daripadanya berusia 26 tahun termasuk seorang jiran mangsa di sekitar kawasan Tambun, setengah jam selepas penemuan mayatnya, manakala seorang lagi lelaki berusia 21 tahun ditahan di Tanjung Rambutan dalam tempoh 24 jam dari waktu kejadian.

Sinar Harian 14 Ogos 2013


0 comments:

Post a Comment