April 24, 2010

Tiga sahabat maut, dua parah kereta bertembung dengan lori

KLANG 24 April - Tiga sahabat maut manakala dua lagi rakan mereka cedera parah selepas kereta yang dinaiki merempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Sirat, Kapar di sini hari ini.

Tan Ming Sing, 20, berasal dari Telok Pulai di sini, Loh Jas Son, 19, dan Yap Wai Ken, 19, masing-masing dari Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritenden Che Hussin Omar berkata, ketika kejadian kesemua dikatakan sedang menuju ke tempat kerja di sebuah kedai menjual telefon bimbit berdekatan, selepas baru pulang dari bersarapan pagi.

Beliau berkata, kereta yang dinaiki mereka yang menghala ke arah Meru dikatakan gagal berhenti di satu persimpangan lampu isyarat mengakibatkan ia merempuh sebuah lori yang sedang memasuki persimpangan menghala ke Kapar.

"Dua rakan mereka yang cedera, yang identitinya masih belum dipastikan, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan mayat tiga rakan itu juga sudah dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya lagi, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Che Hussin berkata, anggota bomba dan penyelamat dari balai berhampiran turut membantu mengeluarkan mayat dari kereta dan membersihkan kawasan kejadian akibat tumpahan petrol dari kedua-dua kenderaan terbabit. - Bernama

24 April 2010

0 comments:

Post a Comment