May 23, 2016

Dipanah petir ketika mencandat sotong

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Lima lelaki termasuk seorang tekong yang sedang mencandat sotong di perairan Kemaman di sini mengalami pengalaman mengerikan apabila bot yang mereka naiki hampir karam dipanah petir dan dilambung ombak besar pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, tekong bot tersebut, Suhaimi Zaki, 28,dan seorang rakannya, Mohd. Azrin Mohd Ariffin, 28, sedang membawa tiga pelancong berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an untuk merasai pengalaman mencandat sotong kira-kira tujuh batu nautika dari Kuala Kemasik dekat sini.

Mengimbas kembali kejadian tersebut, Suhaimi berkata, hujan turun sebaik sahaja dia mahu melempar sauh bagi melabuhkan bot berkenaan sebaik tiba di kawasan lubuk sotong terbabit.

"Tiba-tiba kami terdengar percikan api menyambar dari bumbung bot yang diikuti bunyi dentuman kuat seperti bom.

"Petir yang menyambar itu menyebabkan bumbung bot kami bocor dan kesemua mentol lampu yang terdapat di dalam bot pecah," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini hari ini.

Suhaimi berkata, pemeriksaan kemudiannya mendapati sistem pendawaian juga telah rosak dan mereka kemudiannya membuat keputusan untuk pulang semula ke jeti Kuala Kemasik dekat sini dalam keadaan hujan lebat.

Menurut beliau yang mengalami sakit telinga berikutan kejadian itu, walaupun menghampiri kawasan jeti berkenaan pada pukul 9 malam namun tidak dapat berlabuh ekoran ombak besar.

"Bot kami dipukul ombak besar dan kami berlindung di dalam kabin dan berdoa agar bot tidak karam.

"Alhamdulillah, kami dapat juga berlabuh di jeti tersebut pada kira-kira pukul 12 tengah malam selepas ombak mula reda," katanya.

Suhaimi berkata, walaupun kecewa tidak dapat menunaikan hajat tiga pelancong tempatan terbabit sotong namun dia bersyukur kesemuanya selamat.

Beliau memberitahu, mereka yang bertolak pada pukul 4.30 petang sepatutnya pulang dari mencandat sotong pada waktu subuh keesokan harinya. - K! ONLINE

23 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment