April 21, 2016

Pelajar dipukul sekumpulan remaja

JEMPOL - Seorang pelajar tingkatan tiga cedera di beberapa anggota badan selepas dipercayai dipukul sekumpulan remaja di hadapan sebuah tadika di Felda Palong, di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku Ahad lalu ketika mangsa berada di kawasan tadika berkenaan sekitar jam 1 pagi sebelum didatangi empat lelaki yang dikenalinya.

"Berlaku pergaduhan mulut dan akhirnya pelajar itu dipukul sehingga mengalami kecederaan.

"Terkejut melihat keadaan mangsa, empat remaja berusia antara 17 hingga 19 tahun terus meninggalkan mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada neneknya sebelum neneknya menghubungi ibu mangsa mengenai perkara itu.

"Mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut dan satu laporan polis dibuat ibu mangsa," katanya.

Noorzainy berkata, kesemua remaja terbabit ditahan ketika mereka hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol kira-kira jam 5.25 petang, Isnin lalu.

Sinar Harian 21 April 2016

0 comments:

Post a Comment