April 22, 2016

Dua maut, tiga cedera kemalangan tiga kenderaan

KEADAAN kereta mangsa yang remuk merempuh belakang lori muatan biji kelapa sawit. FOTO ihsan Bomba

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Bukit Merah: Dua lelaki maut manakala tiga cedera termasuk dua wanita dalam kemalangan membabitkan dua lori dan satu kereta di Kilometer 196.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Gantang di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, berdasarkan maklumat awal pemandu kereta, Lee Seok Guan, 61, dan penumpang di bahagian belakang, Thau Pat Kim, 57, meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, dua penumpang kereta sama dan pemandu lori cedera.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Mohd Rodzi Che Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.47 pagi dan sepasukan anggotanya ke lokasi kejadian.

"Maklumat awal yang kami peroleh kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang membawa muatan biji sawit dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar bahagian belakang lori kontena.

"Dalam masa sama, kereta yang berada di belakang lori itu gagal mengelak dan merempuh bahagian belakang lori yang membawa biji sawit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu turut mengakibatkan muatan biji kelapa sawit yang dibawa lori berkenaan tumpah di atas laluan.

"Mayat mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

 myMetro 22 April 2016


Dua sahabat karib maut rempuh lori

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

GUNUNG SEMANGGOL - Hajat dua sahabat karib bersama isteri bercuti di Kuala Lumpur sambil melawat anak tidak kesampaian apabila kedua-dua mereka maut dalam nahas di Kilometer 196.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan, di sini, semalam.

Mangsa merupakan pemandu kereta, Khau Pit Kim, 57, dan sahabatnya, Lee Seok Guan, 61, yang menaiki kereta jenis Toyota Camry, difahamkan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari rumah mereka di Kepala Batas, Pulau Pinang bersama-sama pasangan masing-masing sebelum ditemui maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian kira-kira jam jam 6 pagi itu, sebuah lori muatan biji sawit dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian sisi sebuah lori kontena yang berada di hadapannya.

Menurutnya, kesan pelanggaran itu menyebabkan lori muatan biji sawit terbabas dan merempuh pengadang jalan.

“Perlanggaran itu turut menyebabkan biji sawit bertaburan di atas lebuh raya sepanjang enam meter.

“Pada masa sama, kereta dinaiki mangsa dari arah belakang cuba untuk membrek bagi mengelak merempuh sisi lori muatan biji sawit itu, namun gagal,” katanya di sini semalam.

Omar Bakhtiar berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa pertama yang memandu kereta dan rakannya yang duduk di tempat duduk penumpang maut di tempat kejadian dan tersepit dalam kereta.

Bagaimanapun, Omar Bakhtiar menegaskan isteri kedua-dua mangsa hanya cedera ringan.

“Pemandu lori muatan sawit itu cedera dan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan kecemasan,” katanya.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendekati keluarga kedua-dua mangsa di pekarangan Hospital Parit Buntar gagal setelah wakil keluarga enggan ditemu ramah.

Sinar Harian 23 Apr 2016



0 comments:

Post a Comment