December 31, 2015

Penjual telefon hilang rupanya dibunuh

Anggota polis melakukan pemeriksaan di lokasi mayat Mohd Ali Baba (gambar kecil) ditemui berhampiran semak di Jalan Teluk Likas, Kota Kinabalu. - Foto MOHD ADAM ARININ

Kota Kinabalu: Misteri kehilangan seorang penjual telefon bimbit sejak Ahad lalu, terjawab selepas penemuan mayatnya dalam keadaan hampir berbogel dipercayai dibunuh di kawasan semak berhampiran Masjid Bandaraya, Jalan Teluk Likas, dekat sini, malam tadi.

Mayat Mohd Ali Baba Kirim Abdullah, 24, ditemui jam 7 petang tadi oleh sepasukan anggota polis berdasarkan petunjuk daripada suspek lelaki yang ditahan di sekitar bandar raya ini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra yang ditemui di tempat kejadian berkata, siasatan awal mendapati mayat mangsa ditinggalkan di kawasan semak oleh suspek yang berusia 27 tahun itu.

"Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian, terdapat dua kesan lebam di bahagian kepala mangsa dan mayatnya ditemui kawasan semak.

"Kita masih melakukan siasatan lanjut mengenai kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, " katanya.

myMetro 30 Disember 2015


Dibunuh kerana hutang

Kota Kinabalu: Hutang dipercayai motif dalam kes pembunuhan penjual telefon bimbit oleh rakannya sebelum mayatnya ditemui di kawasan semak berhampiran Masjid Bandaraya, Jalan Teluk Likas, Kota Kinabalu, malam tadi

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, hasil siasatan polis mendapati motif kejadian dipercayai suspek berhutang dengan mangsa yang juga rakannya.

"Siasatan mendapati suspek adalah orang terakhir yang melihat mangsa dan soal siasat ke atas suspek mendapati mangsa dipukul menggunakan benda tumpul di kawasan tempat letak kenderaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum mayat mangsa dibuang ke kawasan semak berhampiran Masjid Bandaraya dengan kenderaan suspek.

"Bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas kenderaan milik suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan hukuman mati mendatori (gantung sampai mati), katanya.

Ahad lalu, mangsa, Mohd Ali Baba Kirim Abdullah, 23, dilaporkan hilang dan kira-kira 7 malam tadi mayatnya ditemui di kawasan semak berhampiran Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dalam keadaan hampir bogel.

myMetro 31 Disember 2015


0 comments:

Post a Comment