May 12, 2014

Majikan sebak lihat pekerja parah

Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar bagi rawatan lanjut, bagaimanapun kelindan lori disahkan meninggal dunia.

REMBAU - Seorang majikan tidak dapat menahan sedih apabila  pekerjanya terbabit dalam kemalangan ngeri merempuh tembok batu tebing jalan di Bukit Miku, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.05 pagi itu, pemandu lori dikatakan sempat melompat keluar dari kenderaannya sebelum merempuh tembok batu tebing jalan. Bagaimanapun, kelindannya tersepit di dalam lori.

Pemandu lori kemudian dibawa orang awam ke klinik berdekatan, manakala kelindan lori dikenali sebagai Khairul Nizam Othman, 37, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban dan disahkan meninggal dunia.

Ketika di lokasi kejadian, majikan kedua-dua pekerja itu sebak sambil beristighfar beberapa kali, malah tidak mampu melihat muka pekerjanya yang cedera parah ketika menunggu bantuan ambulans tiba.

Malah, majikan yang dikenali sebagai RJ itu sempat menghampiri pekerjanya yang terlantar sakit dan menyentuh muka serta badan mangsa, sambil memohon maaf  berulang kali.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Yusof Samad bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan.

“Kita sampai di lokasi kejadian kira-kira jam 11.15 pagi dan melihat bahagian hadapan lori sudah remuk teruk.

"Mangsa masih lagi berada di dalam lori dan kami mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk hadapan," katanya.

Sinar Harian 11 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment