April 21, 2014

12 pelajar hilang di Taman Negara Bako ditemui, seorang maut

ANGGOTA bomba dan JPAM membantu mengangkat mayat mangsa..

Ekspedisi duka

Santubong: Kegembiraan 12 bekas penuntut sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur bercuti ke Taman Negara Bako, di sini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mengalami sesak nafas dan meninggal dunia, kelmarin.

Mangsa, Low Xie Yann, 20, berasal dari Taman Bukit Permata, Selangor, dikatakan pengsan selepas mengalami sesak nafas ketika menuruni Bukit Timah di Taman Negara Bako kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.

Salah seorang bekas pelajar terbabit menghubungi bapa mangsa memaklumkan mengenai kejadian itu dan memintanya membuat laporan polis supaya bantuan dapat disalurkan segera.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, sebaik menerima laporan itu, sembilan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan lima renjer Taman Negara Bako bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati sudah meninggal dunia menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa meminta bantuan bomba untuk membawa semua mangsa keluar dari kawasan itu.

myMetro 22 Apr 2014


Ekspedisi ke Bako bertukar tragedi

Gadis meninggal selepas pengsan, operasi dihalang keadaan gelap

KUCHING: Ekspedisi bekas pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) Kuala Lumpur ke Taman Negara Bako bertukar tragedi apabila seorang gadis yang mengikuti rombongan itu meninggal dunia, kelmarin.

Mangsa dikenal pasti sebagai Low Xie Yann, 20, berasal dari Taman Bukit Permata, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan insiden itu memberitahu, polis menerima laporan daripada bapa salah seorang peserta yang menghubunginya untuk memaklumkan seorang daripada ahli rombongan telah pengsan dan memohon bantuan bagi membawanya keluar.

Sebaik menerima laporan, katanya, sembilan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), bersama lima renjer Taman Negara Bako dikejarkan ke tempat kejadian untuk memberi bantuan.

Pasukan JPAM yang terdiri daripada sembilan anggota, bersama empat renjer Taman Negara Bako berjaya menjumpai mangsa kira-kira lapan kilometer dari Pusat Taman Negara.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Gerakan membawa mangsa keluar dari Bukit Timah di Taman Negara tersebut berhadapan kesukaran memandangkan keadaan yang gelap-gelita.

Mereka kemudiannya menghubungi pasukan polis dan bomba untuk mendapatkan bantuan tambahan bagi mengangkat keluar mayat tersebut dari hutan tersebut.

Namun, operasi tidak dapat diteruskan memandangkan keadaan air sungai yang surut dan hanya dapat tiba di Teluk Lima pada jam 3.35 pagi menggunakan dua buah bot.

Operasi melibatkan pasukan bomba, polis serta anggota bomba sukarela Bako mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mangsa dari hutan.

Mereka selamat tiba di jeti Taman Negara Bako bersama mangsa serta 11 ahli rombongan lain pada jam 6.36 pagi semalam.

“Mayat berjaya dibawa keluar dibawa ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
“Hasil siasatan awal melalui temu bual dengan rakan-rakan si mati mendapati si mati mempunyai masalah tekanan darah rendah dan berat badan 110 kilogram,” katanya.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Keluarga mangsa yang dimaklumkan mengenai insiden itu tiba di Kuching petang semalam untuk menuntut mayat gadis berkenaan bagi dikebumikan.

Utusan Borneo 22 Apr 2014



0 comments:

Post a Comment