March 8, 2014

OKU kayuh 30km jaja sayur

Tumpat: Kecacatan dialami dua beradik orang kelainan upaya (OKU) tidak mematahkan semangat mereka mencari rezeki halal, dengan mengayuh basikal sejauh 30 kilometer setiap hari.

Mohamad Yusof, 64, yang buta kedua-dua mata sejak berusia tujuh tahun dan adik iparnya, Hasnah Ngoh, 40, seorang yang kerdil sejak lahir, tetap gigih mengelilingi kampung untuk menjual buah-buahan dan sayuran.

Menariknya, Mohamad bertindak sebagai pengayuh basikal, manakala adik iparnya itu akan menjadi pemandu dengan memegang stereng basikal yang sudah diubah menjadi roda tiga, bagi memudahkan mereka.

"Saya tidak malu dan segan berdepan masyarakat walaupun kami insan buta dan kerdil demi mencari rezeki halal. Ia dianggap lebih memalukan sekiranya duduk di tepi jalan meminta sedekah.

"Setiap hari kami akan keluar rumah seawal jam 7 pagi dengan mengayuh basikal sejak 10 tahun lalu ke kampung berhampiran untuk menjaja buah-buahan dan sayur-sayuran, sebelum pulang ke rumah jam 12 tengah hari," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendak Pak Yong.

Mohamad yang mempunyai tujuh anak berkata, hasil pendapatannya setiap hari tidak menentu diantara RM15 hingga RM30, namun sudah memadai untuk menampung kehidupan seharian sekeluarga.

"Saya berbangga dengan kecacatan diri dan pendapatan hasil menjaja, sekurang-kurangnya saya mampu membina dua buah rumah hasil dari titik peluh sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

"Selain berniaga, saya juga membuat kerja lain iaitu membuat wau sekiranya terdapat tempahan. Saya akan membuat rangka wau, manakala, bahagian menampal diserahkan kepada adik ipar," katanya.

Berita Harian 8 Mac 2014

0 comments:

Post a Comment