February 4, 2014

Nekad redah api


Kota Bharu: Seorang pemilik kilang nekad cuba menyelamatkan stor kilang perabotnya daripada hangus terbakar dalam kejadian di Kampung Lapang Pari, Banggol, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa Abdul Aziz Sulaiman, 55, dikatakan cuba masuk ke dalam kilang itu untuk memadamkan kebakaran di kilangnya daripada terus merebak.

Bagaimanapun, tindakan itu dihalang penduduk kampung untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Anggota bomba dan penyelamat yang tiba 10 minit kemudian berjaya mengawal api daripada terus merebak ke seluruh kilang dan rumah mangsa yang terletak bersebelahan dengan lokasi kejadian.

Mangsa dikatakan kerugian dianggarkan lebih RM80,000 apabila stor yang menempatkan mesin dan perabot hangus terbakar.

Isteri mangsa, Roshani Mohd Noor, 53, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama dua anaknya, Aisyah, 17, dan Asmat yang berusia enam tahun manakala suaminya berada di Masjid Padang Pak Amat yang terletak 500 meter dari rumahnya.

Katanya, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi letupan dari kilang sebelum bergegas keluar dan mendapati api mula marak di bahagian stor kilang.

“Tidak lama kemudian suami saya tiba dan terus bergegas masuk ke dalam kilang itu untuk memadamkan api.

“Penduduk kampung di kawasan berhampiran terus menghalangnya daripada berbuat demikian.

Saya tidak tahu apa akan jadi jika dia terus masuk ke dalam kilang yang sedang terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Mohd Azlan Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.33 malam sebelum tiga jentera dengan kekuatan 20 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, kita dapati 30 peratus daripada kilang terbabit sudah terbakar.

Kita berjaya mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran kilang itu,” katanya.

myMetro 4 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment