June 15, 2013

Mati tak berhenti di simpang

Tawau: Gara-gara tidak berhenti ketika melalui persimpangan jalan, seorang buruh warga Indonesia maut dalam keadaan mengerikan apabila motosikal ditungganginya dirempuh lori sebelum dia digilis dalam kejadian di Kilometer 28, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi berhampiran persimpangan masuk ke Lapangan Terbang Tawau, Ferdi Judin, 25, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari arah Jalan Lapangan Terbang Tawau menuju Balung.

Bagaimanapun, katanya, ketika keluar dari persimpangan itu, mangsa dirempuh lori tanah (tipper) yang dalam perjalanan dari Balung ke pusat bandar.

“Pemandu lori berkenaan gagal mengelak mangsa yang keluar secara tiba-tiba dari persimpangan berkenaan. Akibatnya, mangsa digilis dan mati di tempat kejadian,” katanya.

Awang berkata, pemandu lori Hasruddin Halimin, 25, tidak cedera.

“Mangsa bekerja sebagai buruh di Ladang Sawit Sungai Kawa,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. “Polis menasihati pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal supaya berhati-hati ketika berada di jalan raya bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

myMetro 15 Jun 2013


Penunggang motosikal maut dalam kemalangan

TAWAU: Satu kes kemalangan maut dilaporkan berlaku di daerah ini melibatkan seorang penunggang motosikal akibat berlanggar dengan sebuah lori di kawasan simpang masuk ke Lapangan Terbang Tawau, Batu 18 di sini sekitar jam 9.15 pagi kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, berdasarkan dokumen pengenalan diri (pasport Indonesia) mangsa, identiti penunggang motosikal itu dikenal-pasti sebagai Ferdi Judin dan berusia 25 tahun.

“Alamat terakhir mangsa adalah di Ladang Sg Kawa,” katanya serta menyatakan punca kematian mangsa dipercayai akibat kecederaan parah yang dialaminya di bahagian kepala dan badan dalam kemalangan ngeri itu.

Mengulas lanjut, Awang berkata pemandu lori jenis Tipper yang terlibat dalam kemalangan berkenaan dikenali sebagai Hasruddin Halimin, 25, dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan kemalangan itu berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda hendak bergerak keluar menuju ke arah Balung dari Jalan Lapangan Terbang Tawau.

“Bagaimanapun, mangsa bertembung dengan lori terbabit pada masa itu,” katanya sambil mengesahkan bahawa lori berkenaan datang dari arah Balung dan menuju ke Apas sebelum insiden itu berlaku.

Ekoran itu, beliau berkata pihak polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diharap supaya menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

Menyentuh mengenai kekerapan kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dan jentera berat seperti lori di daerah ini, Awang mengingatkan para pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan masing-masing.

“Jangan abaikan peraturan-peraturan keselamatan di jalan raya dan pastikan segala aspek keselamatan kenderaan sentiasa dititik-beratkan untuk mengelak kejadian-kejadian sebegini daripada terus berlaku,” katanya.

Utusan Borneo 14 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment