March 11, 2013

Tedung selar mengganas jaga 40 telur ular

Mohd Hamdan menunjukkan tedung selar berjaya ditangkap dan telur reptilia itu di Kampung Bukit Sireh, dekat Kuala Krai, kelmarin.

KUALA KRAI - Operasi menangkap ular tedung selar di Kampung Bukit Sireh, dekat sini, kelmarin, dikejutkan dengan penemuan 40 telur haiwan itu, sekali gus menjelaskan tindakan agresif reptilia berbisa itu termasuk mengejar penduduk beberapa hari lalu.

Ular sepanjang tiga meter itu ditangkap penjinak ular, Mohd Hamdan Mahadi bersama tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai di sebuah kebun getah di kampung itu, jam 10.30 pagi.

Mohd Hamdan berkata, dia terima panggilan daripada penduduk mengenai kehadiran ular di kebun getah berhampiran Sekolah Kebangsaan Kampung Bedal itu kira-kira jam 10.15 pagi.

“Pemanggil beritahu takut nak keluar menoreh kerana ular sama pernah kejar dia beberapa hari lalu. Saya minta bantuan bomba untuk kepung ular ini di kawasan kebun getah supaya tidak terlepas lari,” katanya, kelmarin.

Mohd Hamdan berkata, selepas reptilia berbisa itu berjaya dijinakkan, pemeriksaan di kawasan sekitar menemui 40 telur ular dipercayai hampir menetas di pangkal sebatang pokok getah dalam kebun berkenaan.

“Ada 40 biji semua tetapi enam pecah dan selebihnya saya bawa balik. Saya akan letak telur ini dalam bekas sesuai dan biarkan sehingga menetas, mungkin dalam dua hingga tiga minggu lagi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hamdan berkata, tedung selar antara segelintir spesies ular yang membina sarang, bertelur dan mengeram sehingga telur hampir menetas.

“Tedung selar antara ular paling ganas, liar dan agresif ketika menjaga sarangnya. Selalunya tedung selar akan tinggalkan sarang sebelum telur menetas untuk elak daripada makan anaknya sendiri,” katanya.

Sinar Harian 11 Mac 2013

0 comments:

Post a Comment