September 28, 2012

Legenda bola sepak negara Ghani Minhat meninggal dunia

Tan Sri Ghani Minhat - Foto Ehsan: sukanmalaya.my

SHAH ALAM - Legenda bola sepak negara, Tan Sri Ghani Minhat meninggal dunia akibat komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur hari ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.34 pagi tadi. Allahyarham berusia 77 tahun dan meninggalkan balu, Puan Sri Tuan Aishah Tuan Ibrahim dan empat anak.

Pengurus Perhubungan Media Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Muhamad Aiman Aminul memberitahu Sinar Harian Online, jenazah akan dibawa ke kediamannya di 62A Pantai Indah 9/2 Putra Height dan dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21 selepas solat Jumaat.

"Sebenarnya selepas menjalani pintasan jantung pada Ahad lepas, keadaan Allahyarham kritikal dan berada dalam keadaan koma.

"Pagi ini keadaan Allahyarham semakin tenat dan menurut laporan doktor, saluran jantung Allahyarham mengalami kerosakan dan mungkin kerana faktor usianya yang sudah lanjut, beliau tidak mampu bertahan,” katanya.

Tambah Aiman sepanjang hayatnya, Allahyarmah begitu aktif mengikuti setiap aktiviti bersama yayasan itu dan kali terakhir mengikuti program Yakeb adalah ketika melakukan kunjungan terhadap bekas kapten skuad Olimpik Munich 1972, Datuk M Chandran di Hospital Kuala Lumpur pada 18 September lalu bersama beberapa bekas pemain Reduan Abdullah, Datuk Khaidir Buyong, Zulkifli Norbit dan Kamarulzaman Yussoff.

“Ketiadaan Allahyarham satu kehilangan besar buat negara dan amat dirasai. Allahyarham terlalu rapat dan begitu aktif bersama Yakeb,” katanya.

Ghani Minhat seorang penyerang hebat yang mewakili negara pada 1956-1963 dan mewakili Selangor pada 1955-1968.

Pada 1959, Persatuan Bolasepak Selangor menganugerahkan gelaran Raja Bola kepada Allahyarham sebagai menghargai sumbangannya kepada negeri itu.

Beliau dianugerahkan Olahragawan Kebangsaan pada 1959 dan Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Sinar Harian 28 Sep 2012


Belasungkawa: 'Raja Bola Malaysia' pernah ditawar aksi di EPL

Tan Sri Abdul Ghani Minhat (kanan) pernah ditawar aksi di EPL - Foto Ehsan www.olympic.org

KUALA LUMPUR - Mungkin ramai tidak tahu, 'Raja Bola' Tan Sri Abdul Ghani Minhat yang meninggal dunia hari ini merupakan pemain Malaysia yang pertama ditawarkan beraksi di Liga Perdana Inggeris pada 1962.

Allahyarham dilamar kelab Cardiff City yang mahu beliau menjadi pemain profesionalnya, namun Allahyarham menolak. Sebaliknya, Abdul Ghani membuat keputusan menjelajah England dan Eropah selama empat bulan.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada 10.34 pagi ini di Institut Jantung Negara di sini, akibat komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada Selasa.

Allahyarham berusia 77 tahun. Beliau meninggalkan balu Puan Sri Tengku Aishah Tengku Ibrahim dan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Abdul Ghani yang dilahirkan pada 23 Dis 1935 di Rantau, Negeri Sembilan mula aktif dalam sukan bola sepak pada 1954 dengan menyertai pasukan Selangor Rangers dan Kelab Polis Depot.

Pada 1957, Allahyarham mula mewakili Malaysia dalam kejohanan Pestabola Merdeka.

Uniknya, perlawanan itu berlangsung di Stadium Merdeka pada malam 30 Ogos 1957 sebelum berlangsungnya upacara kemerdekaan negara pada keesokan hari.Beraksi sebagai 'inside forward' yang licik dan lincah pada sekitar tahun 1960-an, permainan taktikalnya di depan gol sering menggerunkan pihak lawan.

Pada 1962, Allahyarham mengikuti kursus empat bulan di kelab Eintracht Frankfurt di Jerman dan West Ham United di England.

Allahyarham yang mempunyai sijil kejurulatihan dari Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 1969, pernah menjadi jurulatih kebangsaan dari 1971 hingga 1976.

Selain membawa Malaysia menjuarai kejohanan Pestabola Merdeka dari 1958 hingga 1960, Allahyarham pernah mengetuai skuad kebangsaan meraih pingat emas pada Sukan SEAP (kini Sukan SEA) 1961 di Rangoon (kini Yangoon, Myanmar) dan pingat gangsa pada Sukan Asia 1962 di Jakarta, Indonesia.

Walaupun dilahirkan di Negeri Sembilan, namun Allahyarham lebih banyak terlibat dengan arena bola sepak di Selangor sebagai pemain dari 1953 sehingga 1968 sebelum menjadi  jurulatih skuad Gergasi Merah dari 1970 hingga 1972.

Sebagai menghargai sumbangan beliau, Persatuan Bolasepak Selangor  (FAS)  menganugerahkan gelaran "Raja Bola' kepada Allahyarham pada 1959.

Sesuatu yang menarik, Allahyarham pernah menjaringkan 106 gol dalam 15 perlawanan sehingga dianugerahkan gelaran Pemain Bola Sepak Terbaik bagi tahun 1959 dan 1960.

Penglibatan aktifnya dalam dunia bola sepak berakhir pada 1993 dengan menjadi jurulatih kepada skuad Piala Emas Raja-Raja bagi pasukan Selangor.

Allahyarham kemudian menumpukan perhatian kepada perniagaan syarikat elektroniknya di Petaling Jaya.

Allahyarham dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada Jun tahun ini.- Bernama

28 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment