July 10, 2012

Kembalikan nostalgia usung rumah


Jarak 100 meter merupakan jarak yang agak jauh untuk kerja-kerja memindah dan mengusung rumah untuk dipindahkan ke tapak baru kerana ia memerlukan kekuatan fizikal dan kesefahaman semua yang terlibat.

KUBANG PASU 9 Julai - Aktiviti bergotong-royong mengusung rumah untuk dipindahkan ke tapak lain, yang cukup akrab dengan kehidupan berjiran suatu ketika dahulu barang kali kini sudah kian dilupakan.

Selain membantu meringankan beban pemilik rumah, aktiviti sedemikian mampu mengeratkan silaturahim sesama jiran apabila seluruh penduduk kampung bersatu-padu dan bekerjasama menjayakannya.

Perkara yang sama cuma diterapkan oleh penduduk Kampung Pasir, Mukim Naga di sini dengan mengembalikan nostalgia lebih 30 tahun lalu melalui aktiviti 'berderau' atau bergotong-royong mengusung sebuah rumah penduduk baru-baru ini.

Utusan 10 Jul 2012


Usung rumah 100m

JITRA: Seramai 70 penduduk berpadu tenaga mengadakan aktiviti berderau atau gotong-royong mengusung memindahkan sebuah rumah papan berusia 40 tahun ke tapak lain sejauh 100 meter di Kampung Pasir, Naga, dekat sini, semalam.

Lebih menarik, tradisi usung rumah di kalangan masyarakat Melayu itu turut disertai pelbagai peringkat usia dari 20-an hingga 70-an dan kali terakhir dibuat di kampung itu pada 1980-an.

Mereka mula mengusung rumah itu pada jam 8.40 pagi dengan mengambil masa 10 minit saja.

Pemilik rumah, Hanafi Saad, 73, berkata, hasratnya memindahkan rumah yang akan diserahkan kepada anak kelimanya, Halim Hanafi, 42, di belakang tapak asal rumahnya tercapai dengan bantuan penduduk kampung yang cukup bersemangat.

Katanya, pemindahan itu berikutan pembinaan rumah barunya di tapak asal rumah berkenaan yang dimulakan sejak April lalu, dijangka siap menjelang Syawal.

“Hasrat berderau untuk mengusung rumah ini baru dimaklumkan kepada penduduk kampung dua hari lalu, namun hari ini (semalam) ramai yang turun membantu.

“Saya gembira melihat penduduk kampung dan saudara-mara begitu bersemangat mengusung serta memindahkan rumah ini selain menyemarakkan semula budaya yang kini hampir pupus ditelan zaman,” katanya.

Hanafi berkata, walaupun penat, usaha mengusung rumah secara bergotong-royong itu berjalan lancar.

Katanya, amalan itu menjadi tradisi penduduk kampung sekitar 1960-an dengan mengusung antara dua atau tiga rumah dalam sebulan, malah jaraknya juga lebih jauh mencecah satu kilometer serta mengambil masa sehari.

“Rumah ini banyak kenangan, malah dibina dengan hasil wang dikumpul mengusahakan sawah bersama isteri, Halijah Saad, 70 selepas kami berkahwin dan semua enam anak kami membesar di sini.

“Ketika itu rumah yang diperbuat dari kayu meranti itu hanya bernilai RM3,000,” katanya.

Dalam pada itu, Halim yang bekerja sebagai pekerja rendah am di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, di sini berkata, dia bercadang mengecat dan menambah beberapa bahagian rumah itu selepas ini.

Katanya, buat masa ini, rumah itu dijadikan penginapan hujung minggu memandangkan dia tinggal di kediaman perumahan kakitangan UUM.


“Saya gembira ayah memberikan rumah ini kepada saya kerana ia banyak mengimbas kenangan semasa zaman kanak-kanak dan sangat bermakna buat kami sekeluarga.

“Saya berhasrat tinggal di sini selepas bersara dan menjaga rumah ini sebaik mungkin,” katanya, Sementara itu, penduduk, Mohd Syafiq Ahmad, 22, berkata, dia teruja menyertai aktiviti itu kerana boleh merasai sendiri pengalaman yang sebelum ini sekadar cerita daripada generasi terdahulu.

“Walaupun berat, semangat kerjasama penduduk kampung dan tradisi mengusung rumah ini wajar diteruskan supaya tidak pupus dan dapat dirasai generasi masa depan,” katanya.

myMetro 7 Jul 2012


Pindah Rumah Dengan Cara Mengusung Masih Diamal Di Perlis

Menteri Besar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bintong Datuk Seri Dr Md Isa Sabu turut mengikat buluh pada rumah papan milik Ramli Ismail, sebelum diusung dan dipindahkan di tempat lain di Kampung Wang Belimbing, Perlis baru-baru ini. - Foto BERNAMA

APABILA Ramli Ismail mahu memindahkan rumah papannya, beliau menghebahkan hasratnya kepada penduduk Wang Belimbing.

Jumaat lepas, beliau memaklumkan hasratnya di masjid dan memberitahu rakannya di penduduk itu apabila menemui mereka termasuk berkunjung dari rumah ke rumah.

Hari ini, lebih daripada 250 penduduk kampung berkumpul seawal 7 pagi bagi memindahkan rumahnya yang terletak di pinggir bukit secara mengusungnya beramai-ramai ke lokasi baru sejauh kira-kira 10 meter dari tapak asal.

Usaha itu turut disertai Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bintong Rusli Mat Hussin.

Md Isa turut membantu memasang buluh pada bahagian bawah rumah bertiang itu untuk memudahkan kerja-kerja mengusung rumah.

Kegiatan usung rumah secara tradisional ini masih dipraktikkan di Perlis.


Md Isa bersama lebih 250 penduduk kampung berkumpul seawal jam 7 pagi bagi memindahkan rumah papan itu yang terletak di pinggir bukit ke lokasi baru sejauh kira-kira 10 meter dari tapak asal.

Ramli, 44, yang ditemui Bernama berkata, rumah berusia lebih 40 tahun itu dibeli daripada seorang penduduk tempatan dengan harga RM600 untuk diduduki salah seorang anaknya.

Ramli yang bekerja sendiri itu bersyukur kerana kegiatan seumpama itu telah merapatkan hubungan penduduk tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Selepas selesai kerja mengusung rumah, orang ramai disajikan dengan jamuan yang disediakan secara gotong royong oleh penduduk.

Katanya, kegiatan gotong royong dan mengusung rumah di Wang Belimbing sentiasa segar dan Jumaat lalu, sebuah rumah penduduk kampung itu telah diusung secara bergotong-royong.

Selain rumah, mereka turut mengusung sebuah jelapang padi secara bergotong royong di lokasi yang sama.

Sebelum ini kegiatan usung rumah pernah berlangsung di Kampung Katong dalam kawasan dewan undangan negeri Pauh serta Kampung Jarak dalam kawasan dewan undangan negeri Bintong.- BERNAMA

mStar 8 Feb 2010




0 comments:

Post a Comment