May 7, 2012

Suami isteri maut, bayi selamat nahas


KUANTAN - Sepasang suami isteri maut manakala bayi mereka yang berusia enam bulan cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 205.31 Lebuhraya Pantai Timur dekat Gambang di sini petang semalam.

Mangsa yang menetap di Kuala Lumpur itu dikenali sebagai Ahmad Hakimi Ahmad Rabudzi, 31, dan isterinya, Siti Rohani Abd. Halim, 26, meninggal di tempat kejadian.

Bayi mereka, Ahmad Uzair hanya cedera ringan walaupun tercampak keluar dari kereta dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Pihak hospital memaklumkan bayi tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami luka-luka kecil.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Kerteh, Terengganu menuju ke Kuala Lumpur.

"Kereta jenis Mitsubishi Lancer yang dipandu Ahmad Hakimi dipercayai terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Pada masa yang sama sebuah kereta yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan cuba mengelak kereta mangsa, tetapi ia juga turut terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri jalan, namun pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

7 Mei 2012


Bayi selamat kemalangan

KUANTAN - Perjalanan pulang sepasang suami isteri ke rumah mereka di Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan di Kertih, Terengganu berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka terbunuh selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 205.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Gambang dekat sini, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 6.30 petang itu, pengatur cara komputer, Ahmad Hakimi Ahmad Rabudzi, 31 dan isterinya, Siti Rohani Abdul Halim, 26 yang bekerja di sebuah bank di Shah Alam meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Lebih memilukan, anak sulung pasangan itu, Ahmad Uzair, 6 bulan mengalami kecederaan parah di kepala selepas tercampak keluar dari kereta setelah terlepas dari pangkuan ibunya sebelum jatuh di permukaan jalan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, tiga sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kertih menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Mohd Hakimi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan dan melanggar pengadang di tengah jalan lalu tercampak ke laluan bertentangan.

“Sebuah kereta dipandu, Kow Hong Seng, 31, dari Lorong Seri Kuantan, di sini, datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan cuba mengelak kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu turut terbabas melanggar besi pengadang di tengah laluan,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.

Mohd Jasmani berkata, bagaimanapun pemandu itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan mereka berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba ke lokasi selepas dihubungi.

“Anak mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan oleh saudara mara yang tiba di tempat kejadian setelah menyedari kemalangan menimpa mangsa itu,” katanya.

Menurutnya, mayat pasangan itu dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa pasangan itu manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 8 Mei 2012


Bayi ‘terbang’ atas jalan



MAUT...bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan. Gambar kecil, Ahmad Hakimi.

KUANTAN: “Menggeletar badan saya apabila melihat bayi lelaki itu menangis atas jalan dengan kepalanya berlumuran darah selepas tercampak keluar daripada kereta,” kata Bakhtiar Md Dom, 33, saksi kemalangan maut di Kilometer 205.3, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Gambang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Ahmad Hakimi Ahmad Rabudzi, 31, dari Batu Kurau, Pekan, dekat sini, yang memandu Mitsubishi Lancer dan isteri, Siti Rohani Abd Ahalim, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah leher dan cedera di kepala.

Bagaimanapun, anak lelaki mereka, Ahmad Uzair berusia enam bulan yang tercampak keluar daripada kereta terselamat walaupun cedera parah di kepala. Bayi itu dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Katanya, ketika kejadian, dia yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kuantan mendapati keadaan di laluan itu kelam-kabut sebelum tergamam apabila melihat kereta mangsa ‘terbang’ ke laluan bertentangan.

“Saya berhenti di tepi jalan untuk membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa, namun gagal kerana mereka tersepit. Kemudian saya terdengar tangisan bayi tidak jauh dari kenderaan itu.

“Sebaik berpaling ke arah jalan, saya lihat bayi terlentang di atas jalan sambil menangis dalam keadaan kepalanya berlumuran darah,” katanya.

Menurutnya, dia mahu mengalih bayi ke tepi jalan tetapi membatalkan hasrat itu selepas mendapatinya mengalami kecederaan parah di kepala.

“Saya kemudian meminta bantuan orang awam untuk mengangkat bayi itu ke HTAA,” katanya.

Sementara itu, rakan sekerja Siti Rohani dikenali sebagai Yati, 30, berkata, mereka berkonvoi selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan setugas di Kerteh, Terengganu, tetapi rakan bersama suaminya bertolak pulang lebih awal.

“Arwah dan suaminya sempat belanja saya makan ikan bakar dan mereka ceria langsung tidak nampak perubahan pelik,” katanya. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Ahmad Hakimi terbabas ke kanan jalan dan melanggar besi penghadang di tengah jalan sebelum terhumban ke laluan bertentangan.

“Ahmad Uzair dipangku ibunya tercampak keluar dan terjatuh atas jalan manakala mayat ibu dan ayahnya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat,” katanya.

myMetro 8 Mei 2012

BACA JUGA DI SINI:
Kisah sebenar menyayat hati disebalik kemalangan maut di Lebuhraya Pantai Timur LPT




1 comment: