March 6, 2012

Budak diculik angkara dendam

ROSELYN (kanan) dan Lima menunjukkan gambar Nurul Nadirah dan patung kegemaran kanak-kanak itu semalam.

JOHOR BAHRU - Angkara dendam, seorang kanak-kanak disyaki menjadi mangsa penculikan ketika dia keluar rumah untuk membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit berhampiran kediamannya di Flat Seri Delima Jalan Suri, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini Khamis lalu.

Nurul Nadirah Abdullah, 5, sehingga kini masih belum ditemui meskipun polis telah menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia di antara 36 dan 40 tahun bagi membantu siasatan sebaik mendapat laporan yang dibuat ibu mangsa, Roselyn Alan, 25, pada hari kejadian.

Nurul Nadirah atau lebih mesra dipanggil Dirang dilaporkan hilang pada pukul 11 pagi ketika anak kedua daripada tiga beradik itu telah diberi wang RM4 dan sekeping nota untuk membeli dua bungkus mi segera dan telur.

Bagaimanapun, mangsa masih tidak pulang selepas hampir sejam menyebabkan Roselyn dan suami, Lima Medang, 25, pergi mencari Nurul Nadirah di kedai runcit tersebut tetapi dimaklumkan bahawa kanak-kanak itu telah beredar pulang sejurus membeli barang-barang yang dimahukannya.

Menurut Roselyn, dia kini bimbang mengenai keselamatan anaknya itu walaupun polis telah membuat tangkapan dan memaklumkan mengenai penemuan sepasang selipar milik anaknya berserta mi segera dan telur di dalam kawasan kelapa sawit berhampiran flat empat tingkat terbabit.

"Ada jiran ternampak anak saya telah dilarikan oleh sepasang suami isteri dan seorang lelaki yang tinggal di rumah kosong yang telah dilelong di depan kediaman kami.

Kosmo
6 Mac 2012


3 individu ditahan kes budak hilang

Nurul Nadirah Abdullah

JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan polis berkaitan kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah ketika keluar membeli mi segera di sebuah kedai runcit di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam di sini, 1 Mac lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 36 hingga 40 tahun itu diberkas hasil maklumat penduduk yang curiga dengan kehadiran mereka di rumah kosong berkenaan sejak Disember lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua suspek ditahan pada hari yang sama selepas polis menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak berusia 5 tahun itu, Nurul Nadirah Abdullah.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga suspek dalam usaha mengesan mangsa yang masih gagal ditemui.

“Sejak dilaporkan hilang, polis sudah pergi ke 20 lokasi sekitar Pasir Gudang dan bandar raya ini, tetapi masih gagal menemui kanak-kanak itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam atau balai polis berhampiran,” katanya, semalam.

“Kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan dan polis sedang berusaha mengesan kanak-kanak itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Kelmarin, seorang suri rumah, Roselyn Alan, 25, membuat laporan polis selepas anak keduanya itu tidak pulang ke rumah selepas diminta membeli mi segera di sebuah kedai runcit di flat berkenaan.

Sumber Utusan dan myMetro
6 Mac 2012


Ibu percaya anak diculik masih hidup

JOHOR BAHRU 6 Mac - "Firasat saya kuat mengatakan dia (Nurul Nadirah) masih hidup meskipun sudah enam hari dia hilang".

Demikian luahan Roselyn Alan, 25, ibu Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu dipercayai diculik.

Menurut Roselyn, dia sekeluarga masih menaruh harapan yang tinggi anak kedua daripada tiga beradik itu ditemui secepat mungkin dalam keadaan selamat.

"Sehingga hari ini, masih belum ada sebarang maklumat terbaharu tentang kehilangannya.

"Tetapi kami sekeluarga tetap berdoa agar dia dapat ditemui semula," katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar semalam melaporkan kehilangan Nurul Nadirah disyaki diculik ketika keluar ke kedai berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima Jalan Suri, Bandar Seri Alam di sini kira-kira pukul 11 pagi Khamis lalu.

Utusan
7 Mac 2012


‘Pulangkan Dirang’

PASIR GUDANG: “Saya akui leka melayari facebook (fb) tanpa menyedari Dirang yang keluar membeli mi segera belum pulang hingga suami bertanyakan di mana anak,” kata Roselyn Alan, 25, ketika ditemui di rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, anaknya, Nur Nadirah Abdullah yang lebih mesra dipanggil Dirang, lima tahun, hilang sejak Khamis lalu ketika membeli mi segera di kedai runcit berhampiran flat berkenaan.
Katanya, Dirang baru bangun tidur dan mengadu lapar serta mahukan mi segera.

“Saya memberikan RM4 bersama nota bertulis ‘mi segera dua bungkus dan telur RM2’ sebelum memintanya ke kedai runcit berhampiran.

“Selepas itu, saya melayari fb menyebabkan leka dan tidak teringatkannya langsung.

“Bagaimanapun, saya tersentak apabila suami, Lima Medeng, 25, bertanya di mana Dirang selepas menjenguk ke bawah dan gagal menemui anak kedua kami,” katanya.

myMetro
7 Mac 2012


Kes Kehilangan Nurul Nadirah: Polis Dapat Petunjuk

JOHOR BAHARU: Polis percaya dapat menyelesaikan kes kehilangan kanak-kanak perempuan di Bandar Seri Alam, di sini dalam masa terdekat selepas mendapat petunjuk baru yang diyakini dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata satu pasukan siasatan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Amer Awal dan dibantu Bukit Aman ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan kes kehilangan kanak-kanak terbabit, Nurul Nadirah Abdullah, 5.

"Berdasarkan bukti kukuh, kanak-kanak itu dipercayai masih hidup. Polis telah membuat pemeriksaan di 23 lokasi di negeri ini dan Kuala Lumpur termasuk di sarang penagih dadah. Dengan bukti dan petunjuk baru itu, kita percaya dapat menyelesaikan kes tersebut dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sagu hati perkhidmatan Tabung Amanah Warisan Polis kepada bekas polis zaman darurat, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Khamis.

Kehilangan Nurul Nadirah atau dikenali sebagai Dirang selepas dia keluar ke kedai berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Jalan Suri, Bandar Seri Alam, di sini, kira-kira pukul 11 pagi, Khamis lepas telah mendapat perhatian ramai termasuklah pihak korporat yang turut membantu menyebarkan maklumat mengenainya.

Berikutan itu, polis menahan reman dua lelaki dan seorang wanita berusia 36 hingga 40 tahun sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan.

mStar
8 Mac 2012


‘Mana adik, kenapa tak balik?’

PASIR GUDANG: “Mana adik, kenapa tak balik?” Itu pertanyaan Mohd Hafis Abdullah, 6, abang Nur Nadirah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dirang, 5, kepada ibunya, Roselyn Alan, 25, setiap hari sejak kehilangan adik kesayangannya itu, awal bulan ini.

Roselyn berkata, sejak kehilangan Dirang anak sulungnya kelihatan murung dan sering bertanya di mana adiknya kerana terlalu rindu.

Menurutnya, kedua-dua anaknya itu rapat dan tidak pernah berpisah sejak kecil, malah sering bermain dan ke sekolah bersama.

“Dirang bukan seorang adik bagi Hafis, tetapi teman sepermainan dan rakan baik, malah mereka ke sekolah tadika berhampiran bersama setiap hari.

“Sejak kehilangan Dirang, saya terpaksa berbohong kepada Hafis mengatakan adiknya itu berjalan-jalan untuk menyedapkan hatinya yang bertanya setiap hari,” katanya. Menurutnya, kehilangan Dirang memberi kesan mendalam kepada anak sulungnya itu sehingga kesihatannya merosot hilang selera makan dan enggan ke sekolah.

Katanya, sejak Dirang hilang Hafis hanya merenung foto dan memegang permainan adiknya itu setiap masa.

“Keadaan itu menyebabkan kami risaukan kesihatannya kerana dia hilang selera makan dan asyik menangis akibat rindukan adiknya,” katanya.

myMetro
9 Mac 2012


Tak sangka teguran guris hati

PASIR GUDANG: “Saya tidak sangka teguran diberikan mengguris hati pasangan terbabit apabila dikaitkan dengan kehilangan Dirang,” kata Milnah Jul, 52, nenek Nur Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang hilang sejak 1 Mac lalu.

Pasangan itu yang juga jiran mangsa ditahan polis bersama seorang lelaki dipercayai rakan mereka pada hari sama kehilangan kanak-kanak itu di kawasan berhampiran rumah mangsa.

Milnah berkata, mereka sekeluarga tidak mengenali pasangan terbabit kerana mereka baru berpindah pada Disember lalu.

“Sebelum ini, saya mendengar khabar angin segelintir penduduk di sini memberitahu keburukan suspek.

“Ramai menasihatkan kami supaya berhati-hati dengan mereka, malah difahamkan sejak berpindah ke sini, banyak kejadian pelik berlaku membabitkan kes kecurian motosikal, kereta dan wayar kabel. “Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak ambil peduli dan tidak mahu campur dalam urusan itu,” katanya ketika ditemui di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini, semalam.

myMetro
9 Mac 2012


Bapa Dirang ditahan

PASIR GUDANG: Polis menahan bapa kandung Nur Nadirah Abdullah, 5, bagi membantu siasatan kehilangan kanak-kanak perempuan itu sejak 11 hari lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, bapa kandung Nur Nadirah atau Dirang ditahan di sekitar bandar Seri Alam di sini, Khamis lalu, bagi membantu siasatan.

“Sebelum ini, kami menahan tiga suspek berusia 20-an hingga 30-an pada hari Dirang hilang pada 1 Mac lalu.

“Hasil soal siasat, kami menahan bapa kandung Dirang di sekitar bandar Seri Alam, di sini, pada jam 7 malam Khamis lalu, bagi membantu siasatan.

“Kini, jumlah keseluruhan tangkapan dilakukan bagi membantu siasatan ialah empat individu.

“Berikutan itu, sesiapa ada maklumat berhubung kehilangan Dirang diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung tangkapan bapa Dirang.

Bapa kanak-kanak itu sudah bercerai dengan ibu Dirang, Roselyn Alan.

Roslan berkata, kerjasama masyarakat diperlukan kerana polis mahu kanak-kanak itu ditemui secepat mungkin dalam keadaan selamat.

“Polis memuji usaha pihak swasta seperti RHB Bank yang turut membantu mengesan Nur Nadirah. Saya harap lebih ramai pihak tampil membantu mencari kanak-kanak itu,” katanya.

Sementara itu, Roselyn, 25, berkata usaha mengesan anaknya terus dijalankan anggota keluarga dibantu penduduk setempat.

“Selain di sekitar Masai dan Johor Bahru, keluarga kami di Kuala Lumpur dan Sabah turut berusaha mengesan Dirang dengan mengadakan solat hajat memohon kesejahteraan dan keselamatan Dirang.

“Saya juga menjemput penduduk Flat Seri Delima sama-sama membaca yasin dan melakukan solat hajat sebagai ikhtiar,” katanya.

Jiran, Razali Husin, 36, berkata penduduk masih bimbang dengan kejadian itu dan mengehadkan aktiviti harian, terutama pada waktu malam.

“Saya juga bimbangkan keselamatan lima anak saya berusia antara dua hingga 14 tahun dengan memantau setiap aktiviti mereka setiap hari,” katanya.

myMetro
11 Mac 2012


Kasihan kenang nasib Dirang

JOHOR BAHRU - Isteri Sultan Johor, Tuanku Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah menasihatkan masyarakat di negeri ini supaya lebih berhati-hati dan sentiasa memantau pergerakan anak masing-masing khususnya ketika berada di luar rumah.

Titah baginda, masyarakat perlu peka dengan persekitaran sekeliling di kawasan kediaman masing-masing bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini seperti kehilangan kanak-kanak, Nurul Nadirah Abdullah, 5, di rumahnya di Flat Seri Delima Jalan Suria, Bandar Seri Alam di sini, Khamis lalu.

“Masyarakat pada hari ini sudah banyak berubah. Kita perlu lebih berhati-hati dengan anak-anak ketika mereka berada di luar rumah termasuklah ketika bermain di taman permainan. Sebelum berlaku sesuatu, baik lebih berjaga-jaga.

“Masyarakat khususnya jiran dan keluarga perlu peka dengan persekitaran. Sebagai seorang ibu, kejadian seperti ini yang amat saya takutkan. Kasihan bila mengenang nasib keluarga Nurul Nadirah apabila baca berita ini di akhbar,” titah baginda.

Baginda bertitah kepada pemberita ketika ditemui selepas berkenan mengadakan kunjungan ke rumah Nurul Nadirah atau lebih dikenali sebagai Dirang di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai serta Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin.

Dalam kunjungan berkenaan, Tuanku Raja Zarith Sofia yang menzahirkan rasa simpati sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat dan bertanya khabar kepada keluarga kanak-kanak terbabit termasuk ibu bapa Dirang, Lima Medeng, 25, dan Roselyn Alan, 25, serta abangnya, Mohd Hafis Abdullah berusia enam tahun sambil menghulurkan sumbangan bantuan.

Titah baginda, kunjungan berkenaan bertujuan untuk memberi suntikan semangat dan sokongan kepada keluarga Dirang dalam bersama mencari serta berdoa kepada ALLAH sehingga kanak-kanak terbabit ditemui semula.

“Saya mahu keluarga ini sedar bahawa masih ramai masyarakat di luar sana yang sentiasa memberi sokongan dan prihatin terhadap nasib mereka. Ucapan setinggi terima kasih kepada pihak polis kerana bertungkus-lumus menyiasat kes ini.

“Apa yang kita harapkan agar doa yang dipanjatkan kepada ALLAH akan dimakbulkan sekali gus Dirang akan kembali kepada pangkuan keluarganya,” titah baginda.

Abang Dirang tidak tahu adiknya hilang

Sementara itu, keluarga Dirang masih terus menanti dengan penuh harapan agar kanak-kanak itu ditemui kembali.

Roselyn berkata, dia bersama keluarga serta jiran setempat sentiasa mengadakan majlis bacaan Surah Yassin dan doa selamat pada setiap malam.

“Setakat hari ini, tiada perkembangan terkini yang dimaklumkan oleh polis kepada saya. Saya bersama keluarga dan jiran masih meneruskan usaha dengan membaca Yasin dan berdoa sejak Dirang hilang.

“Saya juga tidak menerima sebarang mimpi atau petunjuk daripada ALLAH. Saya sekeluarga masih terus menanti dengan penuh harapan agar Dirang akan kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Roselyn berkata, anak lelakinya yang juga abang Dirang, Mohd Hafis Abdullah berusia enam tahun sentiasa bertanyakan­ perihal ketiadaan Dirang di rumah.

“Hafis selalu bertanya kepada saya, di mana adiknya. Saya hanya sekadar menjawab bahawa Dirang keluar pergi berjalan-jalan.

“Ada saatnya apabila potret dan poster Dirang dipaparkan di kaca televisyen, Hafis akan bertanya mengapa Dirang ada dalam televisyen. Dia tidak tahu bahawa adik perempuannya hilang,” katanya.

Menurutnya, persoalan yang diajukan oleh Hafis adalah disebabkan keakraban dua beradik itu setiap hari tidak kira ketika berada di dalam mahupun di luar rumah.

“Selalu kalau pergi ke mana-mana mereka akan bersama. Tidak kira mahu pergi ke kedai atau taman permainan.

“Cuma pada hari kejadian­, Hafis tidur dan tidak dapat menemani Dirang untuk ke kedai,” katanya.

Selain itu, Roselyn berkata, nasib yang menimpa atas keluarganya juga mendapat perhatian daripada masyarakat luar antaranya pemimpin setempat, agensi kerajaan dan swasta, syarikat perbankan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Jabatan Kebajikan Masya­rakat (JKM) sendiri ada hadir memberikan kaunseling kepada saya sekeluarga. Malah terdapat beberapa bantuan diberikan.

“Beberapa pihak juga ada yang menelefon untuk memberikan kata-kata simpati dan semangat. Ada juga yang datang membantu mengagihkan poster di segenap pelosok,” katanya.

Bekas suami bapa penyayang

Dalam masa yang sama, Roselyn menyifatkan suspek keempat yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan sebagai seorang bapa penyayang.

Mengulas lanjut menge­nai lelaki terbabit, Roselyn berkata, individu itu yang juga bekas suaminya mempunyai pekerti baik kini masih dalam tahanan sejak hari Khamis lalu bagi membantu siasatan polis.

Menurutnya, dia bersama bekas suaminya berusia 30-an yang menetap di Selangor itu bercerai pada 2008 secara baik tanpa sebarang persengketaan.

“Sejak berpisah, kami sentiasa berhubung dan tidak wujud langsung pertikaian mengenai penjagaan kedua-dua anak kami.

“Malah, dia sering bertanya khabar melalui telefon dan menemui anak kami jika mempunyai masa lapang,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan suami baru pada 2010 sebelum melahirkan Ainul Suhada yang kini berusia dua bulan.

Roselyn berkata, sejak kehilangan Dirang, bekas suaminya ke negeri ini bagi mengesan anak kedua mereka selain memberi keterangan membantu siasatan polis.

“Dia datang ke sini kerana ingin membantu mencari anak kami selepas saya memaklumkan Dirang hilang pada 1 Mac lalu.

“Pada masa sama, dia ingin memberi keterangan kepada polis kerana saya difahamkan, seorang daripada ketiga-tiga suspek yang ditahan sebelum ini mengaitkan bekas suami dalam kehilangan anak kami, sedangkan mereka langsung tidak mengenalinya.

“Saya percaya bekas suami tidak terlibat dan yakin kecekapan polis menjalankan tugas bagi mengesan kehilangan Dirang,” katanya.

Orang ramai diminta bantu kes Dirang

Sementara itu, Ketua Polis daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zai­nuddin menggesa orang ramai membantu mencari kehilangan Dirang.

Katanya, kerjasama orang awam amat diperlukan bagi membantu polis menyelesaikan kes kehilangan kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini, tiada tangkapan terbaru dilakukan pihaknya yang masih menjejak petunjuk terbaru kehilangan kanak-kanak itu.

“Pihak kami minta orang awam turut sama bersama-sama kami mengesan kanak-kanak ini dan jika mempunyai maklumat boleh menghubungi kami atau datang sendiri ke balai polis berhampiran.

“Kita juga masih menjalankan siasatan bagi mengesan kedudukan kanak-kanak ini dan kami turut sama membantu dalam operasi mencari di setiap lokasi terbaru yang dimaklumkan ahli keluarga mangsa,” katanya.

Sinar Harian
12 Mac 2012


Dirang dibunuh


JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah, dari kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam pada 1 Mac lalu terjawab apabila polis mengesahkan dia mati dibunuh.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, mayat rentung yang ditemui berhampiran kediaman berkenaan pada 8 Mac lalu dikenal pasti sebagai mayat Nadirah atau lebih mesra dipanggil Dirang.

“Kami menemui satu mayat rentung di Nusa Damai di sini, pada 8 Mac lalu dan siasatan di lokasi kejadian berjaya menemui serpihan tulang.

“Kami juga berjaya mendapatkan sampel deoxyribonucleic asid (DNA) daripadanya. Ia dihantar ke makmal dan hasilnya mendapati ia sepadan dengan DNA ibu mangsa,” katanya, di sini, semalam.

Menurut Roslan, siasatan awal mendapati rangka berkenaan adalah milik manusia dewasa, tetapi selepas siasatan lanjut dijalankan, ia sebenarnya milik kanak-kanak malang itu.

“Berikutan pengesahan DNA itu, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berbanding sebelum ini yang disiasat atas aduan orang hilang.

“Semua empat individu termasuk bapa kandung mangsa yang ditahan sebelum ini akan dilanjutkan tempoh tahanan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut Roslan, pihaknya juga belum dapat memastikan motif sebenar kejadian.

Roslan berkata, berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian, mayat yang ditemui pada 8 Mac lalu itu rentung teruk hingga menyukarkan pihaknya membuat pengecaman.

Sebelum ini, penemuan serpihan rangka manusia di dalam kawasan ladang kelapa sawit Nusa Damai pada 8 Mac lalu menggemparkan penduduk sekitar kerana menyangka ia milik Dirang.

Rangka manusia yang awalnya disangka dewasa dibakar hingga rentung itu ditemui di dalam sebuah lubang oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada polis.

Siasatan awal polis mendapati serpihan rangka manusia berkenaan sudah dibakar lebih dari lima hari hingga menyukarkan proses untuk mengenal pasti identiti dan jantinanya.

myMetro
13 Mac 2012


Ibu meraung ratapi pemergian Dirang

PASIR GUDANG: Suasana sayu menyelubungi rumah Nurul Nadirah Abdullah apabila ibunya, Roselyn Alan, meraung sebaik mengetahui kematian anak kesayangannya, daripada polis kira-kira jam 6.45 petang selepas keputusan ujian DNA diperoleh.

Roselyn, 25, menangis tanpa henti dengan sesekali memanggil nama Dirang menyebabkan anggota keluarga dan jiran mangsa turut menitiskan air mata.

Ibu saudara mangsa, Merlinda Budin, 22, tidak menyangka mimpi melihat mangsa menangis dengan tangan diikat dan mulut ditutup pita pelekat dalam sebuah pondok yang sedang terbakar di ladang kelapa sawit, akhirnya menjadi kenyataan apabila dimaklumkan mengenai kematian Dirang.

“Dalam mimpi itu saya melihat dengan jelas Dirang menangis dengan keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dalam sebuah pondok yang sedang terbakar. Malah dalam mimpi itu, Dirang berulang kali memanggil saya supaya dikeluarkan daripada api.

“Saya cuba menyelamatkannya sebelum terjaga. Saya memaklumkan mimpi kepada Roselyn dan kami berusaha mencarinya di lokasi seperti dalam mimpi tetapi tidak menemuinya,” katanya.

Merlinda tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku terhadap Dirang kerana pada hari kejadian dia terserempak dengan anak saudaranya itu.

“Ketika bertembung dengan Dirang saya sempat bertanya hendak ke mana tetapi dia tidak menjawab tetapi hanya tersenyum dan berjalan ke arah kedai. Saya pula terus pulang.

“Bagaimanapun, saya mula berasa tidak kena apabila ibu Dirang mundar-mandir di bawah flet sebelum memaklumkan Dirang tidak pulang selepas ke kedai pada waktu pagi,” katanya.

Sementara itu nenek Dirang, Milnah Jul, 52, berkata sebelum polis datang, Roselyn terus mencari anaknya apabila penemuan rangka di kebun sawit Khamis lalu dikatakan bukan anaknya.

“Dia senang hati apabila mayat itu dikatakan bukan Dirang, tetapi apabila menerima berita jam 6.45 petang tadi Roselyn tidak dapat menerima berita kematian Dirang.

“Saya tidak menyangka Dirang diperlakukan sekejam itu sehingga kanak-kanak kecil itu dibunuh dan dibakar. Saya tidak tahu apa salah Dirang. Saya harap binatang yang melakukan perkara ini mendapat balasan sewajarnya,’ katanya.

Terdahulu, Roselyn ketika ditemui tengah hari, berkata dia menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang wanita yang tidak dikenali mengugut akan membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sehingga RM30,000.

“Antara SMS yang saya terima: “Kalau kau mahu anak kau, aku mahu wang RM10,000 di Taman Tengku Anis masa jam 12 tengah hari, kalau tidak anak kau mati”, "Kalau kau tak datang pada hari Ahad anak kau akan dijual di Thailand,” katanya.

Roselyn berkata, ugutan itu diterima pada malam Rabu lalu daripada seorang wanita yang mendakwa menyimpan anaknya itu dan meminta wang tebusan RM30,000 dihantar ke Taman Tengku Anis, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, selepas wanita itu mematikan telefon, beliau cuba menghubunginya tetapi tidak berjawab sehinggalah beliau menghantar SMS supaya wanita itu menghantar gambar anaknya sebagai bukti dan mendengar suara Dirang.

“Wanita itu membalas SMS dengan meminta menjelaskan wang terlebih dulu sebelum menunaikan permintaan saya. Keesokannya, saya sekali lagi menerima SMS daripada nombor sama meminta saya menyediakan wang RM10,000 di tempat yang sama pada jam 12 tengah hari atau anak saya akan mati.

“Saya cuba menghubunginya sekali lagi tetapi tiada jawapan sehinggalah Jumaat lalu, saya mendapat satu lagi SMS meminta membawa wang tunai RM10,000 dan menghantarnya pada Ahad ke taman sama. Wanita itu juga mengugut akan menjual Dirang kepada sindiket kanak-kanak di Thailand,” katanya.

Roselyn berkata, susulan daripada panggilan telefon dan SMS itu, beliau memaklumkannya kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes anaknya untuk tindakan lanjut.

Berita Harian
13 Mac 2012


‘Kenapa kasi mati anak aku’

PASIR GUDANG: “Kenapa kasi mati anak aku.” Itu reaksi Roselyn Alan, 25, selepas menerima panggilan telefon daripada polis yang mengesahkan rangka yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai pada 8 Mac lalu, adalah mayat anaknya, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang.

Difahamkan, Roselyn menerima panggilan telefon itu pada jam 6.40 petang sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibunya, Milnah Jul, 56, yang baru pulang selepas keluar mencari Dirang di kawasan berhampiran.

Hampir sejam Roselyn menangis sebelum pengsan, manakala suaminya, Lima Medeng, 25, pula merenung ke luar tingkap sambil mengalirkan air mata.

Roselyn dan Lima gagal ditemu bual semalam kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.

Milnah berkata, dia terkejut dan sedih dengan berita itu.

“Saya terkejut selepas Roselyn memaklumkan rangka itu adalah Dirang. Sebelum ini, kami sekeluarga lega selepas polis memaklumkan ia bukan Dirang.

“Tidak sangka hari ini (semalam) kami menerima berita menyedihkan,” katanya sebak ketika ditemui di kediaman Roselyn di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam di sini, semalam.

myMetro
13 Mac 2012


Dirang dibunuh pada hari hilang

JOHOR BAHRU – Nyawa Nurul Nadirah Abdullah yang lebih mesra dipanggil Dirang, diragut secara kejam apabila mangsa dipercayai dicekik sampai mati sebelum mayat kanak-kanak malang itu dimasukkan ke dalam lubang dan dibakar di kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini.

Satu sumber berkata, seorang daripada empat suspek yang ditahan mengaku membunuh Dirang, 5, dengan cara mencekik mangsa sebaik sahaja kanak-kanak itu diculik ketika keluar dari rumah seorang diri di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini. Ketika itu mangsa hendak pergi ke kedai.

Selepas mangsa sudah tidak bernyawa, mayat Dirang dibawa ke kawasan rumah terbengkalai kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa dan dibakar.

Sumber itu memberitahu, suspek yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa mendakwa dia bertindak demikian kerana dendam selepas pernah dihina dan dipandang rendah oleh nenek mangsa.

“Dirang terus dibunuh dan dibakar pada hari dia hilang pada 1 Mac,” kata sumber itu.

Kosmo
14 Mac 2012


‘Mak sayang Dirang tak?’

PASIR GUDANG - Kehilangan Nurul Nadirah Abdullah (Dirang), yang berusia 5 tahun, 1 Mac lalu sudah terjawab. Kelmarin polis mengesahkan serpihan rangka manusia hangus yang ditemui di Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai, Masai, 8 Mac lalu adalah milik Dirang.

Lalu, berita malang ini disampaikan kepada ibu Dirang, Roselyn Alan, 25. Sedih, geram segala keruan bergabung mengakibatkan Roseylin pengsan beberapa kali selepas mendapat perkhabaran yang disampaikan polis kepadanya itu.

Suasana kesedihan yang membelenggu dan keadaan Roseylin yang tidak mengizinkan, menggagalkan misi wartawan Sinar Harian untuk mendekatinya pada hari tersebut. Tetapi semalam, Roseylin tampil mencurah rasa. Ikuti suara hati ibu muda ini.

“Mak sayang Dirang tak?” Ibu mana yang tidak sayangkan anaknya Dirang? Walau DNA sudah mengesahkan mayat rentung itu anak mak, buah hati mak... mak seperti tidak percaya. Jauh di sudut hati mak masih mengharap itu bukan mayat Dirang. Bukan anak mak. Mak mahu Dirang pulang. Mahu peluk Dirang. Cium Dirang.

Dirang tahu...Hangat rangkulan Dirang, kucupan Dirang sebelum keluar dari rumah dan kemudian hilang, bagai masih terasa. Dirang...Dirang ingat tak? Setiap kali kita tidur bersama, Dirang tidak pernah tidak memeluk mak. Erat. Kejap!

Tapi selepas ini mak tidak dapat lagi merasainya. Tiada Dirang yang akan membelai rambut mak. Tiada Dirang yang merengek-rengek kecil di telinga mak. Tiada Dirang yang melontarkan ucapan manja “Mak sayang Dirang tak?’ Mak akan merindui segalanya.

Dirang...Sebelum kehilangan Dirang 1 Mac lalu, itu jugalah ucapan terakhir yang keluar dari mulut Dirang untuk mak. Mak sayang Dirang! Amat sayang! Terlalu sayang! Kasih mak pada Dirang tidak ada galang gantinya. Mak yakin Dirang tahu semuanya itu.

Dirang...Sejak Dirang lahir seingat mak, Dirang tidak pernah menyusahkan keluarga. Dirang anak yang baik. Tidak cerewet. Pandai berdikari. Dirang selalu bantu mak. Tolong mak jaga adik. Kalau adik Ainul Suhada nangis, Dirang cepat menghampir. Pujuk adik. Cium adik. Kalau mak nak mandikan adik, Dirang pantas pilih baju warna merah jambu untuk adik pakai. Tidak payah disuruh, Dirang melakukannya dengan segera.

Dirang...Pasti adik pun rindukan Dirang. Pasti adik tercari-cari mana kakak kesayangannya...

Dirang... anak mak suka melukis kan? Hari tu Dirang ada minta mak belikan buku untuk Dirang melakar. Maafkan mak sayang... mak belum sempat memenuhi permintaan Dirang itu. Maafkan mak nak!
Namun mak yakin... di sana, di sisi TUHAN, Dirang akan dapat yang lebih baik. Yang lebih hebat daripada apa yang Dirang harap.

Dirang tahu? Bila Dirang hilang, mak pergi cari Dirang di sana sini. Pagi, petang, siang dan malam mak keliling bandar cari Dirang. Berharap Dirang muncul segera. Sejak Dirang hilang, mak tidak lalu makan. Mak tidak dapat tidur. Hati mak terlalu bimbang. Mak takut Dirang diapa-apakan. Terlalu takut. Apalah yang dilakukan pembunuh itu pada Dirang? Mak tak sanggup memikirkannya.

Maafkan mak Dirang. Waktu Dirang disakiti mak tidak mampu membantu. Jeritan Dirang melaung nama mak tidak sampai ke telinga ini. Gagal memukul gegendang memberi syarat. Tidak dapat mak sahut.
Membayangkannya mak terasa terlalu sakit, Dirang. Badan mak seperti sama didera. Tubuh mak seperti sama dibakar.

TUHAN, kenapa begitu kejam pembunuh itu? Kenapa mesti dia sakiti anak saya? Kenapa dia mesti bunuh Dirang? Jika dia minta duit, saya bukan kaya. Malah tidak bekerja. Musuh pun tiada.

Sinar Harian
14 Mac 2012


Umpan makanan

JOHOR BAHRU: Mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang, mungkin diumpan makanan kegemaran atau barangan permainan oleh individu tertentu sebelum dilarikan dan ditamatkan riwayatnya.

Pegawai Bahagian Kaunseling dan Psikologi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Noriz Wanti Ahmad, berkata kanak-kanak berusia lingkungan empat hingga enam tahun seperti Nurul Nadirah atau mesra dengan panggilan Dirang mudah mematuhi arahan seseorang termasuk yang tidak dikenali untuk mengikut mereka sekiranya diumpan barangan kegemaran.

“Ia berlaku kerana faktor usia, kanak-kanak pada usia berkenaan tidak mampu membezakan antara perkara baik dan buruk selain mungkin tidak pernah menerima pendedahan daripada penjaga supaya berhati-hati apabila dihampiri individu tidak dikenali.

“Namun, apabila menyedari mereka berada di tempat yang kurang selesa dan selamat berikutan berjauhan daripada keluarga, kanak-kanak boleh mengalami trauma. Jika ia berterusan maka ia mampu memberi kesan kepada psikologi mereka apabila dewasa kelak,” katanya, semalam.

Noriz mengulas berkaitan kes Dirang yang ditemui meninggal dunia selepas hilang sejak 1 Mac lalu.

myMetro
14 Mac 2012


Datuk harap tengkorak bukan milik cucu

SERI ALAM: “Ketika menjenguk ke dalam lubang sedalam kurang semeter itu, saya ternampak tengkorak manusia. Jantung saya berdegup kencang dan berharap ia bukan tengkorak Dirang,” kata Alan Aidip, 49, yang juga datuk kepada mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5 tahun atau mesra dipanggil Dirang ketika ditemui di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam di sini, semalam.

Dirang disahkan dibunuh selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan terhadap rangka ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai 8 Mac lalu itu, sepadan dengan DNA ibunya, Roselyn Alan, 25.

Menurut Alan, pada mulanya, dia lega apabila polis memaklumkan rangka berkenaan bukan Dirang sebaliknya milik seorang dewasa.

“Bagaimanapun, saya hampir pengsan apabila dimaklumkan kelmarin bahawa ujian DNA mengesahkan rangka itu milik Dirang,” katanya.

myMetro
14 Mac 2012


Dirang tak beli gula-gula

PASIR GUDANG: “Saya tidak sangka perubahan Dirang yang ketara ketika datang kedai pada 1 Mac lalu petanda dia akan pergi meninggalkan kami selamanya.

“Malah, saya hairan apabila Dirang tidak membeli gula-gula dengan baki wang seperti kebiasaan,” kata pemilik kedai runcit di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam di sini, Razali Hussin, 36, ketika ditemui, semalam.

Kedai runcit berkenaan adalah lokasi terakhir dikunjungi Nurul Nadirah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dirang.

Menurut Razali, sebelum kehilangannya, Dirang datang ke kedainya untuk membeli mi segera dan lima biji telur pada jam 11 pagi.

“Selepas Dirang menunjukkan sekeping nota pesanan ibunya, saya sempat bergurau dan memesan agar segera pulang ke rumah supaya telur itu tidak pecah.

“Bagaimanapun, saya hairan kerana Dirang tidak menggunakan baki 20 sen untuk membeli gula-gula seperti biasa sebaliknya terus beredar,” katanya.

Menurut Razali, selepas mendapat tahu keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) kelmarin, dia berasa terkejut dan sedih, malah tidak percaya Dirang dibunuh kejam.

myMetro
14 Mac 2012


Bapa kandung Dirang dibawa ke rumah mayat HSA

Milnah Jul, 52, memeluk bekas menantunya yang juga bapa kandung Nurul Nadirah ketika dibawa polis bagi pengecaman jenazah di rumah mayat di Hospital Sultan Aminah Johor Baharu, Johor, pada Rabu. Nurul Nadirah yang juga dikenali sebagai Dirang hilang pada 1 Mac lalu dan ditemui mati dibakar di sebuah tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai pada 8 Mac lalu. -foto BERNAMA

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, dipercayai bapa kandung kanak-kanak yang mati dibunuh sebelum mayatnya dibakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, dibawa ke rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, pagi tadi.

Suspek, yang berpakaian baju lokap dan bergari, tiba di pekarangan rumah mayat HSA dengan diiringi tiga anggota polis kira-kira jam 10 pagi.

Jenazah Nurul Nadirah atau panggilan manja Dirang, disembahyangkan di rumah mayat itu dan dibawa menaiki van jenazah untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masai, kira-kira jam 11.45 pagi.

Jenazah diiringi ibunya Roselyn Alan, datuk, bapa tiri dan abang Dirang.

Sinar Harian
14 Mac 2012


Jenazah Dirang selamat dikebumikan


BAPA kandung Nurul Nadirah menyiram air di atas pusara anaknya sambil diperhatikan Roselyn (dua dari kiri) dan Alan (kanan) di Masai, Johor Bahru semalam.

PASIR GUDANG -- Jenazah kanak-kanak mangsa bunuh dan bakar Nurul Nadhirah Abdullah, 5, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai, di sini kira-kira 1.30 tengah hari ini.

Keadaan hujan renyai-renyai dengan cuaca mendung mengiringi pengebumian kanak-kanak itu, seolah-olah turut sama menangisi pemergian Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang, yang menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh manusia berhati haiwan.

Selain ibu mangsa Roselyn Alan, 25, bapa tirinya Lima Medang, 25, dan kaum keluarga terdekat, hampir 100 orang terdiri daripada jiran dan masyarakat setempat yang simpati dengan nasib insan kerdil yang tidak berdosa itu turut sama menghadiri pengebumian itu.

Ada dalam kalangan mereka tidak dapat menahan sedih dan turut menitiskan air mata apabila melihat keadaan Roselyn yang menangis pilu apabila talkin dibacakan oleh Imam 1 Masjid Nur Hidayah, Jalan Tasek Bandar Seri Alam, Abdul Rahman Ismail.

Dirang ditemui mati dalam keadaan rentung terbakar dalam sebuah lubang di kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, di sini pada 8 Mac lalu.

Dia sebelum itu dilaporkan hilang pada 1 Mac ketika keluar membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit di kawasan flat kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Terdahulu, Roselyn yang memakai baju dan tudung berwarna merah jambu, tiba bersama ibunya, Milnah Jul, 52, dan anggota keluarga lain di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Baharu kira jam 9.50 pagi untuk melihat kali terakhir jenazah anaknya.

Roselyn kemudian ditemani ibunya masuk ke bilik mayat kira-kira 20 minit sebelum keluar dalam keadaan menangis dan tidak bermaya.

Selepas Roselyn keluar, seorang lelaki berusia 30-an berpakaian baju lokap dan bergari dipercayai bapa kandung mangsa memasuki rumah mayat HSA dengan diiringi tiga anggota polis.

Dia sebelum itu dilihat tiba lebih awal, namun menunggu dalam kenderaan polis sementara menanti giliran untuk menziarahi kali terakhir jenazah anak perempuannya itu.

Setelah hampir 10 minit, lelaki berkenaan kemudian keluar dalam keadaan sugul sebelum dibawa beredar dengan menaiki kenderaan polis.

Jenazah Dirang dituntut oleh keluarganya kira-kira 11.45 pagi selepas selesai urusan memandi dan mengkafan dilakukan oleh Majlis Agama Islam Johor.

Jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Al Muhajirin Masai sebelum dibawa menaiki van jenazah menuju ke tanah perkuburan.

Sinar Harian
14 Mac 2012


Seperti separuh nyawa disedut

“SAYA dapat tahu Dirang disahkan mati melalui jiran yang mendengar berita itu di TV. Saya tiba-tiba jadi geram. Perasaan marah membelenggu fikiran bila menerima khabar tentang nasib yang menimpa Dirang.

Betapa tergamak si pembunuh bertindak kejam. Memanglah hati si pembunuh sudah hitam! Sampai sanggup membakar anak sekecil itu.

Hari ini (semalam) apabila baca akhbar untuk mendapatkan cerita yang lebih jelas, air mata saya menitis. Entahlah... saya seperti sudah tidak tahu untuk berkata apa-apa.

Saya sudah kering perkataan untuk menzahirkan rasa simpati kepada ibu bapa yang senasib de­ngan saya. Itu sebenarnya.

Cuma apa yang mampu saya luahkan hanyalah selaut kasihan. Pasangan Roselyn Alan dan Lima Medeng memang menerima tamparan hebat lantaran anak disayangi­ diperlakukan sebegitu rupa oleh manusia yang tidak berhati perut.

Kasihan... saya harap mereka tabah menerima dugaan ini. Ingatlah, Dirang seorang kanak-kanak yang tidak berdosa. Yakinlah dengan janji ALLAH, tempat Dirang adalah di syurga.

Dulu anak saya, Awie (Asmawi) hilang ketika pulang dari sebuah kafe siber.

Bermula saat itu kehidupan kami seisi keluarga diselubungi mendung. Sedih. Sehingga kini awan keperitan masih belum berarak pergi dari hati.

9 Mac lalu genap empat tahun Awie lenyap tiada khabar. Perbagai persoalan bermain di fikiran bila mengenang di mana dan apakah nasib Awie.

Pencarian dan penantian keluarga Dirang berakhir juga walau takdirnya begini. Tapi nasib Awie tidak diketahui sehingga kini. Entah hidup, entahkan mati.

Kalau Awie masih hidup tentu sudah besar. Dia hilang waktu berusia 11 tahun. Kini sudah 15.

Kehilangan anak sememangnya seperti separuh nyawa disedut. Apatah lagi dengan kejadian seperti menimpa Dirang itu.

Kepada ibu bapa Dirang... bersabarlah. Jaga kesihatan. Jaga diri, fizikal dan mental. Ingat kepada ALLAH. Berdo­alah semoga pembunuh itu mendapat pembalasan.”

Sinar Harian
14 Mac 2012


‘Kami tak putus harap’

KUANTAN: “Kami harap, apa yang berlaku ke atas Dirang (Nurul Nadhirah Abdullah) tidak berlaku ke atas anak kami walaupun hingga kini, anak kami itu belum ada khabar berita,” kata G Chandramohan, 26, yang masih lagi tertanya-tanya nasib anaknya, Nisha, dua tahun, yang dilaporkan hilang pada 4 Jun 2010 dan belum ditemui hingga kini.

Harapan serupa turut diluahkan Lee Chee Keong, 35, bapa Lee Xin Ru, dua tahun, yang hilang sejak 21 September 2010 dan insiden menyayat hati yang berlaku ke atas Dirang membuatkan Chandramohan dan Lee tidak senang duduk.

“Sekurang-kurangnya mereka (keluarga Nurul Nadhirah) tahu apa yang terjadi kepada kanak-kanak itu sedangkan saya masih tidak mengetahui nasib Nisha. Walaupun isteri saya bakal melahirkan anak kedua kami bulan depan, namun ia tidak dapat menggantikan Nisha dan kami tetap merindui keletahnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, walaupun polis sudah menghentikan gerakan mencari anak sulungnya itu, dia dan isterinya, Wong Lai Lan, 23, masih tetap meneruskan usaha mencari Nisha.

Nisha dilaporkan hilang selepas dibawa bersiar-siar oleh nenek saudaranya, J Balasaraswaty, 54, yang mempunyai masalah mental pada 4 Jun dari rumahnya di Taman Bukit Bendera, Mentakab.

Sementara itu, Lee pula masih menaruh harapan agar Xin Ru atau lebih dikenali sebagai Lulu, akan kembali semula kepadanya dalam keadaan yang selamat.

Katanya, dia percaya Lulu dilarikan oleh seorang wanita yang mempunyai ikatan kekeluargaan, namun sehingga kini kehilangannya tidak dapat dikesan.

myMetro
14 Mac 2012


Ibu bermimpi Dirang datang

PASIR GUDANG – Ibu kanak-kanak mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih mesra dipanggil Dirang, bermimpi anak kesayangannya itu hadir dalam mimpinya, malam kelmarin.

Roselyn Alan, 25, berkata, dalam mimpi itu, Dirang tidak berpakaian lengkap tetapi hanya memakai seluar biru, datang memeluk dan menciumnya.

Ibu malang itu memberitahu, Dirang berpesan supaya jangan menangisi pemergiannya lagi kerana dia ‘sudah tenang di sana’.

Katanya, Dirang datang kepadanya dan bertanya: “Mak cari saya?

“Saya cakap kenapa kau (Dirang) tidak balik?’ kata Roselyn.

Menurut Roselyn, selepas itu, Dirang memberitahunya: “Mak jangan menangis kerana saya sudah ok di sini” sambil memeluk dan menciumnya sehingga dia terjaga kira-kira jam 3 pagi.

Roselyn yang masih tidak mampu menahan hiba, menceritakan kisah mimpinya yang memilukan itu kepada wakil media di kediamannya selepas urusan pengebumian jenazah Dirang, di sini, semalam.

Jenazah Dirang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Masai kira-kira jam 1.30 petang, dalam keadaan hujan renyai dan cuaca mendung sejak awal pagi.

Keadaan itu seolah-olah menangisi pemergian kanak-kanak malang itu yang menjadi mangsa pembunuhan kejam manusia berhati binatang.

Kesedihan dengan linangan air mata dalam kalangan keluarga, saudara-mara, jiran dan rakan-rakan, menyelubungi suasana di kawasan tanah perkuburan itu.

Selain Roselyn, bapa tirinya, Lima Medang, 25, dan kaum keluarga terdekat, hampir 100 orang terdiri daripada jiran dan masyarakat setempat yang simpati dengan nasib insan kerdil yang tidak berdosa itu turut sama menghadiri pengebumian itu.

Ada dalam kalangan mereka tidak dapat menahan sedih dan turut menitiskan air mata, apabila melihat keadaan Roselyn yang menangis pilu apabila talkin dibacakan oleh Imam 1 Masjid Nur Hidayah, Jalan Tasek Bandar Seri Alam, Abdul Rahman Ismail.

Roselyn berkata, dia merancang untuk berpindah ke tempat lain, tetapi masih belum tahu lokasi sebenar dan kini dia perlukan masa kerana masih trauma dengan kejadian memilukan itu.

“Sebelum ini, saya memang ada merancang hendak berpindah rumah, tetapi keadaan suami ketika itu masih belum bekerja.

“Kami akan berpindah ke tempat lain selepas ini kerana tidak mahu lagi terbayang-bayang dengan kenangan bersama Dirang,” katanya.

Katanya, Dirang begitu gemar menonton cerita kartun Upin dan Ipin dan Barbie.

“Saya selalu marah pada dia kerana setiap hari bangun dari tidur, dia terus memasang cerita kartun Upin dan Ipin dan Barbie, tetapi sekarang tidak ada lagi Dirang yang berulang-kali menonton cerita itu,” katanya.

Sinar Harian
15 Mac 2012


Suspek pernah ugut nenek Dirang

PASIR GUDANG – “Siap la kau nanti.. ingat aku takut berperang dengan kau...!”

Itu antara jeritan dan ugutan salah seorang daripada empat suspek yang ditahan kepada nenek mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5.

Ibu mangsa, Roselyn Alan, 25, memberitahu ibunya, Milnah Jul, 56, pernah bergaduh dengan salah seorang suspek yang ditahan kerana menegur tentang kecurian kabel dan tindakan suspek memukul seorang budak yang tinggal di sini, Disember tahun lepas.

“Selepas pergaduhan itu, kami hidup macam biasa dan bertegur sapa apabila berjumpa, tetapi tidak menyangka dia tergamak melakukan tindakan sekejam itu.

“Saya mahu suspek (yang membunuh anaknya) dikenakan hukuman yang setimpal kerana saya yakin dia adalah pelakunya kerana ramai penduduk di sini yang nampak perbuatannya melarikan Dirang,” katanya.

Roselyn percaya bekas suaminya tidak terlibat langsung dalam perkara itu kerana mereka berpisah cara baik dan bekas suaminya terlalu sayangkan anak-anaknya.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk pihak polis dan jiran-jiran yang membantu sehingga anak saya ditemui semula walaupun dalam keadaan seperti itu.

“Sebagai ibu, saya reda dan menerima takdir ALLAH yang menetapkan dia meninggal dalam keadaan begitu,” katanya.

Sinar Harian
15 Mac 2012


Polis kesan wanita hantar ibu Dirang SMS ugut

KOTA BHARU - Polis Kelantan telah mengesan individu yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan dan meminta wang 'tebusan' daripada ibu Allahyarham Nurul Nadirah Abdullah, kanak-kanak yang dibunuh dan dibakar selepas diculik awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, pihaknya kini sudah menjalankan siasatan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis Johor.

Menurutnya, setakat semalam tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan serta gerakan memburu suspek berkenaan giat dijalankan bagi membantu siasatan.

“Kita tidak mengetahui sama ada SMS ini satu mainan atau benar-benar daripada suspek, Ini kerana semua siasatan dilakukan oleh polis Johor. Bagaimanapun, kita akan memberikan segala maklumat diperlukan untuk mengesan individu yang menghantar SMS terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang meminta bantuan polis Kelantan untuk mengesan suspek yang menghantar SMS tersebut.

Sebelum ini, ibu kanak-kanak malang itu, Roselyn Alan menerima SMS ugutan yang meminta beliau menyerahkan RM10,000 di Taman Tengku Anis, Kota Bharu jam 12 tengah hari, jika tidak anaknya akan mati.

Roselyn Alan dilaporkan menerima panggilan dan SMS daripada seorang wanita tidak dikenali dari Kelantan, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya telah berhubung dengan polis negeri itu bagi membantu menyiasat kes tersebut.

"Kita minta bantuan polis Kelantan untuk cekup individu itu, kesan dia dan bawak dia ke Johor," katanya.

Roselyn sebelum ini dilaporkan menerima panggilan telefon dan SMS daripada seorang yang tidak dikenali mengugut untuk membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sebanyak RM30,000.

Kelmarin, polis mengesahkan mayat rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai dekat sini pada Khamis lalu sebagai Nurul Nadhirah setelah mendapat keputusan hasil ujian asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia.

Nurul Nadhirah hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit di kawasan kediamannya.

Sinar Harian
15 Mac 2012


Reman dilanjut, puas hati hasil DNA

SENAI – Polis berpuas hati dengan hasil ujian makmal dan pemeriksaan rekod pergigian yang mengesahkan ia merupakan milik Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang dilaporkan hilang sejak 1 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, ujian yang dilakukan itu adalah sebahagian daripada butiran untuk melengkapkan kertas siasatan.

Jelasnya, polis berkemungkinan akan memohon lanjutan tahanan reman ke atas tiga individu yang berakhir Jumaat ini.

”Setiap hari tempoh tahanan reman diberikan mahkamah akan digunakan sepenuhnya untuk melengkapkan kertas siasatan yang kukuh dari segi bukti.

“Ini penting kerana kes ini dianggap sebagai kes berprofil tinggi dan kita tidak mahu gopoh hingga ada butiran yang mungkin tidak cukup atau tertinggal,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya Roslan, individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan sehingga kini masih kekal empat orang dan tidak ada tangkapan terbaru dilakukan.

Justeru katanya, orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu polis.

Bagaimanapun, Roslan enggan mengulas lanjut mengenai laporan yang mendakwa Dirang mati akibat dicekik kerana jelasnya ia akan menjejaskan siasatan.

“Kes ini menarik minat orang ramai dan dengan tersebarnya laporan sedemikian, ia boleh menyebabkan berlakunya andaian yang tidak sepatutnya.

“Diharapkan semua pihak bersabar dan beri masa pihak polis menjalankan siasatan dengan mendalam.

“Banyak perkara perlu diperhalusi termasuk laporan pakar patologi yang akan memberikan keterangan di mahkamah ketika proses perbicaraan nanti,” katanya.

Sinar Harian
15 Mac 2012


‘Jangan terus hukum Roselyn’

SERI ALAM: “Semua itu tidak benar,” tegas Milnah Jul, 52, yang menolak cemuhan dan hukuman dijatuhi segelintir pihak kononnya kelalaian anaknya, Roselyn Alan, 25, melayari laman sosial facebook (fb) sebagai punca cucunya dilarikan sebelum dibunuh.

Milnah yang bersedih dengan kematian Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang berkata, masyarakat tidak sepatutnya menghukum atau menyalahkan Roselyn yang trauma dengan kejadian itu, sebaliknya mendapatkan maklumat sebenar berkaitan apa yang berlaku.

Dia turut menafikan dakwaan Roselyn mengabaikan Dirang apabila asyik melayari fb sehingga tidak menyedari kehilangan cucunya.

“Ketika Dirang ke kedai, saya sedang membasuh pakaian, manakala Roselyn sibuk menguruskan bayinya, Ainul Suhada Abdullah yang berusia dua bulan. Dia hanya melayari fb melalui telefon bimbitnya sambil menyusukan Ainul.

“Saya kesal kerana ada pihak yang menyalahkan Roselyn seolah-olah tidak menjaga Dirang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam di sini, semalam.

Sebagai individu yang turut mengasuh dan menjaga Dirang, Milnah menerima kejadian itu sebagai suratan takdir kerana memang tidak menyangka ada individu yang sanggup memperlakukan cucunya sekejam itu.

Katanya, keluarganya tinggal di flat berkenaan sejak 2003 dan mereka merasakan tidak ubah seperti berada di kampung sendiri berikutan majoriti penghuninya berasal dari Sabah.

myMetro
15 Mac 2012


Suspek kes Dirang warga tempatan

DATUK Seri Hishammuddin Hussein berkata, suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang adalah warga tempatan.

Menteri Dalam Negeri berkata, berikutan penangkapan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin polis dapat menyelesaikan kes pembunuhan kejam dan mengejutkan negara itu.

Beliau berkata, suspek yang ditahan itu juga tidak mempunyai sebarang pertalian saudara dengan keluarga mangsa.

“Dalam kes Nurul, saya mahu mengesahkan beberapa suspek ditahan polis dan semua suspek warga negara itu kini disiasat polis.

“Polis pastikan pelaku kes ini diheret ke muka pengadilan dan tiada siapa pun terlepas,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang menghargai kerjasama semua pihak berkata, kejadian itu ternyata mencetuskan kemarahan orang ramai dan menyifatkan masyarakat negara ini mampu mencapai perpaduan dengan mengenepikan kepentingan politik dan pertimbangan peribadi.

“Ada beberapa perkara pokok kita tidak boleh kompromi berlandaskan politik, kaum atau agama dan dalam kes ini kami lihat kemarahan orang ramai terhadap apa yang berlaku.

“Semua pihak tanpa mengira latar belakang atau ideologi politik menyalurkan kerjasama menyalurkan maklumat kepada polis sehingga tertangkapnya beberapa suspek,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap lebih banyak kerjasama sama seumpama itu ditingkatkan, sekali gus membantu kerajaan menurunkan kadar jenayah.

Harian Metro semalam melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, polis tidak menolak kemungkinan dendam peribadi terhadap keluarga Dirang menjadi motif di sebalik penculikan dan pembunuhan kejam kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini, empat suspek termasuk tiga ditahan beberapa jam selepas laporan kehilangan Dirang dibuat neneknya, 1 Mac lalu. Dirang dilaporkan hilang selepas ke kedai runcit di tingkat bawah blok perumahan bersebelahan dengan kediamannya untuk membeli mi segera dan telur dengan membawa RM4 dalam kejadian jam 10 pagi.

myMetro
15 Mac 2012


'Dirang tulis nama guna dakwat merah'

PASIR GUDANG – Guru Tadika Permata Islamiah selama ini tidak menyedari nama mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, bertulis menggunakan dakwat warna merah dalam buku pendaftaran.

Nor Shaima Aldam, 25, berkata, keselu­ruhan 19 kanak-kanak sesi petang ditulis dalam buku pendaftaran menggunakan pen berwarna biru, tetapi agak pelik nama mangsa, yang mesra dengan panggilan Dirang bertulis dengan dakwat merah.

Menurutnya, selepas mendapat perkhabaran kanak-kanak tadikanya hilang dan ditemui dibakar, dia membuat semakan untuk memastikan nama penuhnya dan terkejut kerana dalam banyak-banyak nama, hanya nama Dirang tertulis dengan dakwat merah.

“Selama ini kami tidak menyedari hanya nama Dirang ditulis menggunakan dakwat merah. Patutnya ditulis dengan dakwat biru seperti kanak-kanak lain.

“Ia seolah-olah menjadi petanda murid kesayangan kami itu akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Seorang lagi guru, Mariam Sarian, 47, berkata, Dirang seorang murid yang periang dan pintar walaupun baru berusia lima tahun sehingga keletahnya lebih menyerlah daripada murid yang setahun lebih tua daripadanya.

Menurutnya, walaupun orangnya kecil molek, tetapi suaranya paling kuat setiap kali sesi berselawat kerana hobinya memang cenderong pada perkara begitu.

“Dirang ke sekolah bersama abangnya, Mohamad Hafis, tetapi Dirang lebih dikenali di tadika kerana abangnya pendiam,” katanya.

Sinar Harian
16 Mac 2012


Sangka hidup

JOHOR BAHRU - Kematian tragis Nurul Nadirah Abdullah yang masuk hari keempat semalam masih lagi dirasai ahli keluarga dan sahabat handai, namun abang mangsa tetap menyangka yang adiknya itu masih hilang.

Ibu kanak-kanak itu, Roselyn Alan, 25, memberitahu, anak sulungnya, Mohd. Hafis, 6, masih menganggap adiknya hilang dan tidak tahu mengenai kejadian sebenar yang menimpa Nurul Nadirah, 5, atau lebih mesra disapa Dirang.

"Mohd. Hafis cakap dengan saya jangan menangis nanti Dirang balik. Kata-kata itu membuatkan saya lebih sedih kerana dia masih tidak tahu apa yang telah berlaku ke atas adiknya," cerita Roselyn.

Kosmo
16 Mac 2012


Bekas Tentera Ditahan Kerana Ugut Ibu Dirang Melalui SMS

KOTA BARU: Polis menahan seorang bekas anggota tentera yang dipercayai membuat ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) terhadap ibu Dirang, kanak-kanak berusia lima tahun yang dibunuh dan dibakar di Masai, Johor.

Lelaki berumur 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Pulai Chondong, Machang dekat sini kira-kira 3 pagi Jumaat.

Dia dipercayai telah menghantar SMS untuk mengugut Roselyn Alan, 25, bagi membuat pembayaran sebanyak RM10,000 kononnya bagi mendapatkan semula Dirang yang dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli makanan di sebuah kedai berhampiran rumahnya.

Khamis lalu, kanak-kanak itu disahkan dibunuh dan dibakar selepas ujian DNA mengesahkan mayat rentung yang ditemui di Nusa Damai, Masai adalah mayat Dirang atau nama sebenarnya Nurul Nadirah Abdullah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata polis menemui tiga buah telefon bimbit di rumah suspek dan siasatan lanjut mendapati sebuah daripada telefon tersebut telah digunakan bagi menggugut Roselyn.

Sebelum ini polis Johor telah meminta kerjasama polis Kelantan bagi mengesan suspek yang dipercayai berada di Kelantan.

"Lelaki itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini dan kita akan menyerahkan kes ini kepada polis Johor untuk tindakan selanjutnya," kata Jalaluddin kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata suspek merupakan duda yang mempunyai dua orang anak dan bekerja sebagai buruh binaan setelah dipecat dari tentera kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah di mahkamah.

Dia ditahan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 kanun yang sama kerana membuat ugutan jenayah, yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata suspek dipercayai cuba mengambil kesempatan dari kes kanak-kanak itu terhadap keluarga mangsa semasa membuat ugutan berkenaan. - BERNAMA

16 Mac 2012


Ibu Dirang Bimbang Bekas Suami Mungkin Dihantar Pulang Ke Filipina

JOHOR BAHRU: Roselyn Alan telah menerima dia tidak lagi berpeluang melihat anaknya Nurul Nadirah Abdullah namun kebimbangannya kini adalah bapa kanak-kanak itu mungkin akan dihantar pulang ke negara asal, Filipina.

Jika perkara tersebut berlaku, ia akan memberi tamparan hebat kepada seorang lagi anaknya, Mohd Hafiz yang berusia enam tahun.

Anaknya, Nurul Nadirah Abdullah yang juga dikenali sebagai Dirang dibunuh dan mayatnya dibakar sehingga rentung, yang dilaporkan mengenai kehilangannya pada 1 Mac ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit di kawasan rumahnya.

Roselyn, 25, berkahwin dengan suaminya warga Filipina di Sabah pada tahun 2005 namun bercerai selepas tiga tahun.

"Saya berharap dia tidak akan dihantar pulang kerana ibu bapanya sudah meninggal dunia dan dia tidak mempunyai ahli keluarga lain di Filipina," katanya, mengenai lelaki yang ditahan kerana disyaki sebagai salah seorang suspek dalam Nurul Nadirah yang berusia lima tahun.

"Dia sering berjumpa dengan Dirang, dan abangnya dari Rawang untuk meraikan hari lahir mereka dan membeli mereka permainan," kata Roselyn, sambil menambah bekas suaminya itu sering berkunjung setiap dua bulan.

“Dia tahu Dirang suka makan kek. Dia selalu belikan kek kesukaan Dirang setiap kali datang melawat anaknya,” katanya, yang menggambarkan bekas suaminya sebagai bapa penyayang.

“Saya yakin dia tidak bersalah. Tidak kira dianggap sekejam mana pun oleh orang lain terhadapnya, saya tidak fikir dia akan menyakiti anaknya sendiri,” katanya, sambil memberitahu masih sedih akan pemergian Nurul Nadirah namun menerimanya sebagai ketentuan takdir.

mStar
16 Mac 2012


Bapa Dirang diusir ke Filipina, tak terlibat kes bunuh

JOHOR BAHRU - Polis Johor hari ini mengesahkan bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah tidak mempunyai sebarang kaitan dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak berusia lima tahun itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan sudah diberikan supaya bapa kanak-kanak itu diusir ke negara asal.

"Ayah Nurul tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kes ini. Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan Timbalan Pendakwa Raya adalah supaya dia diusir ke negara asal dan pihak imigresen akan lakukan.

"Dia (bapa Dirang) berasal daripada Filipina dan tidak mempunyai apa-apa dokumen diri sejak sekian lama," kata beliau kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Bapa kandung Nurul Nadirah, Utoh ditahan polis bagi membantu siasatan kes kanak-kanak terbabit di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini pada 8 Mac lalu.

Dia sebelum ini ditahan reman hingga Isnin ini mengikut Seksyen 15 (1)(D) Akta Imigresen.

Nurul Nadhirah, 5, ataupun dikenali sebagai Dirang ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac lalu. Kanak-kanak itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 1 Mac lepas ketika keluar membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit di kawasan flat kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Berikutan kehilangan mangsa, polis menahan tiga orang jiran mangsa yang merupakan penagih dadah dan bapa kandung mangsa untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan menunjukkan penjenayah yang disyaki membunuh dan membakar Dirang sudah pun dicekup dan kini ada dalam tahanan polis.

"Kini yang tinggal adalah tiga suspek warganegara tempatan berusia 30-an. Mempunyai rekod terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau hasil siasatan dilakukan. Polis akan memohon perintah tahanan reman ke atas dua lelaki dan seorang wanita rakyat tempatan yang ditahan sebelum ini, di Mahkamah Majistret di sini esok," katanya.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata, seorang lelaki ditahan di Machang, Kelantan berhubung isu menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan untuk mendapatkan wang tebusan.

"Tangkapan sudah dibuat di Kelantan seperti mana yang kita tahu ibu Dirang, Roselyn Alan ada menerima SMS daripada individu yang meminta wang daripadanya.

"Seorang lelaki dicekup polis dan tiga telefon bimbit dimiliki dirampas. Salah satu daripada tiga telefon bimbit ini digunakan untuk menghantar SMS terbabit," katanya.

Sinar Harian
16 Mac 2012


Kes Dirang: Bekas suami pesan jaga Hafis

PASIR GUDANG - "Jaga Hafis baik-baik, jangan sesekali tinggalkan dia sendirian," demikianlah pesan Handry Yongot, 30-an, bapa kandung mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, kepada bekas isterinya agar menjaga anak lelaki mereka, Mohamad Hafis, 6, dengan baik.

Menurut ibu Nurul Nadirah, Roselyn Alan, 25, amanat itu disampaikan sebanyak dua kali oleh Handry sewaktu kali terakhir dia bertemu bekas suaminya itu di Tanah Perkuburan Pekan Masai sewaktu upacara pengebumian Allahyarham Nurul Nadirah yang turut dikenali dengan nama manja, Dirang, Rabu lepas.

"Handry juga pesan pada suami saya supaya bawa Hafis ke mana sahaja kami pergi kerana dia tidak mahu pisang berbuah dua kali," katanya.

Kata Roselyn, hubungan bekas suaminya dengan Hafis dan Dirang sangat rapat kerana sewaktu tinggal di Kuala Lumpur, dia kerap bertemu dengan anak-anaknya itu.

"Jika benar Handry akan diusir pulang ke Filipina, saya merayu agar dia dan Hafis dapat ditemukan walaupun seketika agar mereka dapat mengubat kerinduan masing-masing," ujarnya.

Dalam pada itu, Roselyn juga merayu pihak bertanggungjawab agar tidak mengusir bekas suaminya yang juga bapa kandung mangsa ke Filipina.

Katanya, Handry yang mula dikenali sekitar tahun 1995 memang berasal dari Sabah dan mempunyai keluarga di sana.

"Handry tidak mempunyai pengenalan diri kerana dibesarkan oleh keluarga ibu saudaranya selepas ibu bapanya meninggal dunia ketika dia masih bayi.

“Saya rayu pihak bertanggungjawab agar tidak mengusirnya ke Filipina kerana bakal menimbulkan masalah kerana dia tidak tahu berbahasa Inggeris dan tidak mempunyai keluarga di sana.

“Lagipun dia baru kehilangan anak kesayangannya, dan macam mana nanti dia hendak bertemu lagi dengan anak tunggalnya di sini sekiranya diusir ke Filipina,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, Handry memang dikenali sebagai suami dan bapa yang sabar dan penyayang, tetapi jodoh mereka tidak panjang apabila perkahwinan yang dibina sepanjang lima tahun berakhir dengan perceraian.

“Masa mula-mula berjumpa di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, dia (Handry) berpesan supaya sentiasa membawa Hafis ke mana sahaja dan tidak membiarkan anak lelakinya itu tinggal sendirian.

“Hubungan kami masih baik sebagai kawan demi anak-anak. Saya rayu kasihanilah dia (Handry) agar tidak diusir ke Filipina kerana dia seorang yang baik,” katanya.

Sementara itu, suami Roselyn, Lima Medeng, 25, memberitahu, jika diberi peluang dia mahu bertugas di Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) agar tidak perlu berpindah jauh ke Sarawak.

"Saya ada cuba memohon untuk bekerja di LPJ sebelum ini, tetapi dimaklumkan rakan-rakan tiada kekosongan.

"Jika ada rezeki saya dapat kerja di sini, kami sekeluarga tidak jadi pulang ke Sarawak untuk memulakan hidup baru. Bagaimanapun kami akan tetap berpindah dan tidak akan tinggal di flet ini agar tidak dihantui kenangan bersama Dirang," katanya.

Sinar Harian
18 Mac 2012


Tiga suspek kes bunuh Dirang positif ambil dadah

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret, di sini semalam membenarkan perintah tahanan reman terhadap tiga suspek yang dipercayai terbabit dengan pembunuhan Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang, dilanjutkan sehingga Jumaat ini.

Tiga suspek termasuk seorang wanita yang berusia 30 hingga 40 tahun itu dibawa dengan van polis tiba di pekarangan mahkamah jam 9.45 pagi.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah, Nuriza Mustaffa selepas mendengar permohonan pihak polis.

Ketika tiba di mahkamah, semua suspek memakai baju lokap dengan seluar pendek paras lutut hanya menundukkan kepala bagi mengelak muka mereka dirakam jurugambar media yang menunggu di perkarangan mahkamah seawal jam 8 pagi.

Ketiga-tiga suspek disahkan positif dadah Methamphetamine dan syabu, selain dua daripadanya turut mempunyai rekod jenayah lampau kes penyalahgunaan dadah dan mencuri.

Pada mulanya ketiga-tiga suspek direman dua minggu bermula 2 Mac lalu di bawah Akta Dadah Berbahaya susulan siasatan membabitkan kehilangan Dirang selepas dilaporkan keluar membeli mi segera di kedai blok bawah Flet Sri Delima, yang ketika itu diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Bagaimanapun, selepas ujian DNA mendapati rangka manusia yang ditemui terbakar di sebuah tapak pembinaan terbengkalai, Nusa Damai yang pada 12 Mac lalu disahkan milik kanak-kanak malang terbabit, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata suspek akan dihadapkan ke mahkamah selepas kertas siasatan dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya.

Berita Harian
18 Mac 2012


Reman tujuh hari lagi


SAMBUNG REMAN... tiga suspek utama kes pembunuhan Dirang di Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret, di sini, semalam meluluskan permohonan lanjutan reman seminggu lagi terhadap tiga suspek utama kes bunuh dan bakar kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, sehingga 23 Mac ini.

Pendaftar Mahkamah Rendah, Nuriza Mustaffa melanjutkan tempoh tahanan reman itu bermula semalam bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut, selain mengumpul bukti berhubung kes terbabit.

Ketiga-tiga suspek, termasuk seorang wanita, berusia 30-an serta 40-an yang dikawal ketat anggota polis memakai baju lokap berwarna oren tiba di perkarangan Mahkamah Majistret menaiki kenderaan polis jam 9.45 pagi bagi mendapatkan perintah reman berkenaan.

Perkarangan mahkamah dipenuhi wakil media daripada pelbagai organisasi yang menunggu kehadiran mereka.

Mereka berjalan sambil menundukkan muka bagi mengelak wajah dirakam.

Ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, berkata, dia sekeluarga mengharapkan siasatan dan hukuman dapat dijatuhi terhadap penjenayah yang melakukan perbuatan kejam terhadap anaknya.

“Dirang hanya anak kecil yang tak tahu apa-apa. Dia langsung tak bersalah. Perlakuan penjenayah terbabit sungguh tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, lanjutan tahanan reman itu dibuat bagi membolehkan pihaknya mengumpul bahan bukti sebelum menyerahkan kertas pendakwaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Bapa kandung Dirang, warga negara Filipina yang ditahan sebelum ini, dijangka dihantar pulang ke negara asalnya, esok.

“Saya bersama anggota polis yang lain komited dan berjanji akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memberi keadilan sepatutnya kepada Dirang sekeluarga,” katanya.

Pada 1 Mac lalu, Dirang dilaporkan hilang ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar, 12 Mac lalu.

Kematiannya disahkan melalui ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dijalankan terhadap rangka manusia yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai 8 Mac lalu, yang sepadan dengan DNA Roselyn.

Ketiga-tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita ditahan polis pada hari Dirang dilaporkan hilang, manakala bapa kandung kanak-kanak berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan pada 8 Mac lalu.

Kelmarin, bapa kandung Dirang disahkan tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam itu.

myMetro
18 Mac 2012


Jaga Mohd. Hafis baik-baik - Hendry

HENDRY (kanan) memangku Mohd. Hafis sambil diperhatikan Milnah di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - "Saya harap dia (Roselyn) jaga Mohd. Hafis baik-baik, hanya dia zuriat yang saya masih ada.

Demikian kata Hendry Yongot, 35, bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang yang mati dengan tragis apabila mayatnya ditemui rentung dalam lubang di sebuah kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai baru-baru ini.

Hendry yang berasal dari selatan Filipina ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan sebelum dibebaskan selepas didapati tidak terbabit dalam kejadian itu.

Namun, dia diperintahkan dihantar pulang ke negara asal kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Meskipun masih bersedih dengan kehilangan Dirang yang disifatkan sebagai anak yang manja, dia lega kerana suspek kes itu berjaya ditahan polis.

"Perasaan saya ketika ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Sebaik diberitahu ibu mertua Dirang hilang, saya terus ke sini dari Rawang bagi membantu mencarinya sebelum ditahan polis," katanya ketika ditemui di Jabatan Imigresen Johor di sini semalam.

Kosmo
21 Mac 2012


Bapa kena usir

JOHOR BAHRU: “Jika ini ketentuan Allah, saya terima seadanya. Sebagai bapa, saya terkilan kerana tidak sempat meluangkan lebih banyak masa dengan arwah Dirang (Nurul Nadirah Abdullah), 5, serta abangnya, Mohd Hafis, 6, dan kini dihantar pulang ke Filipina.

“Saya berharap anak saya mangsa terakhir pembunuhan kejam sebegini dan sebagai bapa, saya tidak maafkan mereka yang melakukannya,” kata Handry Yongot, 35, bapa kandung Dirang ketika ditemui di Pejabat Jabatan Imigresen Johor di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Setia Tropika, di sini, semalam.

Menurut Handry, cukuplah hanya mereka sekeluarga menanggung kesengsaraan akibat pembunuhan kejam itu dan dia berharap tiada lagi jenayah seumpama itu di Malaysia.

“Hati saya hancur apabila diberitahu Dirang dibunuh kejam dan tidak mungkin saya dapat menggambarkan perasaan itu kepada orang lain.

“Saya tidak faham mengapa ada manusia kejam. Saya terkilan kerana tidak dapat menjaga Dirang ketika dia masih hidup,” katanya menceritakan perasaannya ketika diberitahu Dirang dibunuh dan dibakar di ladang sawit berhampiran Nusa Damai Masai, dekat sini, awal bulan ini.

myMetro
21 Mac 2012


Kemuka rayuan kepada polis

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Johor tidak dapat meluluskan permohonan Handry Yongot, 35, bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, menetap di negara ini kerana ia di luar bidang kuasa mereka.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul berkata, rayuan seharusnya dikemukakan kepada polis berikutan kes lelaki warga Filipina itu di bawah pengawasan agensi itu. “Perkara ini sudah menjadi kes polis kerana tiada dokumen sah dan keputusan polis muktamad berdasarkan siasatan dilakukan mereka.

“Jika dia mahu buat rayuan, dia perlu kemukakan kepada polis dan bukannya di imigresen,” katanya pada sidang media di Bangunan Kementerian Dalam Negeri di Setia Tropika, di sini, semalam.

Menurut Masri, pihaknya hanya dipertanggungjawabkan menghantar lelaki terbabit ke negara asalnya, namun ia bukan dilakukan secara tergesa-gesa.

“Memang sudah menjadi keperluan menghantar dia pulang ke Filipina, bagaimanapun tertakluk kepada Kedutaan Filipina sendiri.

“Kes ini kami rujuk Kedutaan Filipina dan menunggu dokumen perjalanan daripada pihak sana (Filipina).

“Buat sementara ini, kami menghantar dia ke Depoh Tahanan Imigresen di Pekan Nenas, Pontian sementara menunggu waktu dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Masri berkata, bagaimanapun, pihaknya menyenaraihitamkan Handry buat sementara waktu daripada memasuki negara ini.

Katanya, mengikut prosedur Jabatan Imigresen, seseorang yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah disenaraihitamkan kemasukannya ke negara ini dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun.

“Selepas tempoh itu, dia bebas ke Malaysia tanpa larangan dengan syarat mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.

myMetro
21 Mac 2012


Budak hantar SMS ugutan

JOHOR BAHRU 25 Mac - Negara baru-baru ini dikejutkan dengan kisah tragis kanak-kanak Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang ditemui dibunuh dan dibakar di sebuah rumah terbengkalai di Nusa Damai, Masai pada 8 Mac lalu.

Kes Nurul Nadirah yang lebih dikenali sebagai Dirang itu menjadi tumpuan sehingga ada pihak yang bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan meminta wang tebusan kepada ibu kanak-kanak itu, Roselyn Alan, 25.

Namun, polis hari ini mengesahkan SMS ugutan tersebut sebenarnya dihantar oleh dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Berikutan usia kanak-kanak itu, kes ugutan tersebut terpaksa ditutup kerana ia tidak menjadi satu kesalahan seperti diperuntukkan Seksyen 83 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia difahamkan, kanak-kanak terlibat mengambil kesempatan menghantar SMS ugutan itu kepada Roselyn selepas membaca laporan akhbar berhubung kehilangan Dirang.

Utusan
26 Mac 2012


Buruh kontrak didakwa bunuh Dirang

JOHOR BAHRU - Seorang buruh kontrak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak Nurul Nadirah Abdullah,5, atau Dirang, awal bulan ini.

Tertuduh, Muidin Maidin,24, didakwa membunuh Dirang di sebuah ladang kelapa sawit di Bandar Seri Alam kira-kira jam 11 pagi hingga 7 malam pada 1 Mac 2012.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pada prosiding hari ini, tertuduh mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Isa Mohamed, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Mei bagi sebutan semula kes berkenaan sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M Vinodharan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, keluarga Dirang, turut hadir ke mahkamah bagi mengikuti prosiding yang dijalankan.

Ibunya, Roselyn Alan,25, hadir bersama Milnah Jul, 56, dan saudara terdekat hadir kira- kira jam 9.30 pagi.

Sinar Harian
26 Mac 2012


Keluarga Dirang diganggu

PASIR GUDANG – Keluarga mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang mendakwa berasa terancam sejak kematian kanak-kanak itu.

Ibunya, Roselyn Alan, 25, berkata, kehidupan mereka sekeluarga tidak tenteram berikutan beberapa insiden seperti cubaan samun dan dikejar individu tidak dikenali.

“Sejak dua hari lalu, rumah yang kami diami cuba dipecah masuk kira-kira jam 1 pagi. Ketika itu, kami semua sedang lena tidur, namun adik ipar terdengar bunyi penjenayah cuba memecah masuk melalui bumbung.

“Pada mulanya, kami sangka ia bunyi burung yang berjalan di siling, tetapi penjenayah itu cuba pecahkan siling menyebabkan ibu bertindak mengambil batang besi lalu mengetuk pintu dengan kuat, menyebabkan penjenayah itu melarikan diri,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan isterinya, Bibi Zakiah Meraslam di rumah mereka di Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini, semalam.

Roselyn memberitahu, ia merupakan kejadian pertama cubaan pecah rumah dialaminya sejak hampir setahun setengah mereka sekeluarga menetap di situ.

Jelasnya, atas dasar keselamatan, mereka sekeluarga telah berpindah ke blok lain di situ.

“Kami bukan tidak mahu pindah tempat lain, tapi berasa selesa di sini kerana terdapat ramai saudara-mara yang tinggal di flet ini,” katanya.

Ibu tiga anak ini juga mendakwa, adik bongsu lelakinya, Mohd Hakim Alan, 14, dikejar tiga individu tidak dikenali dalam tiga kejadian berasingan.

Roselyn percaya kejadian yang berlaku ada kena mengena dengan kes kematian Dirang.

Sementara itu, menceritakan detik-detik cemas dialaminya, Mohd Hakim berkata, kejadian pertama dia dikejar ialah ketika hendak ke kafe siber berdekatan rumah.

“Ketika itu lebih kurang jam 1 tengah hari, saya hendak ke kafe siber, kemudian ada lelaki cuba mendekati sambil memanggil saya dekat dengannya. Dia kemudian bertanya saya anak siapa.

“Tidak mengendahkan lelaki itu, saya kemudian bertindak melarikan diri lalu dikejar,” katanya.

Mohd Hakim berkata, insiden yang sama turut berlaku selang beberapa hari lalu dan mendakwa lelaki itu menaiki kereta Kancil berwarna merah sentiasa mengekorinya.

Roselyn berkata, dia akan membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku kerana khuatir akan keselamatan mereka sekeluarga.

Sinar Harian
26 Mac 2012


Penganggur Didakwa Bunuh Dirang

JOHOR BARU: Seorang penganggur, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan membunuh seorang kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah (Dirang) disebuah ladang kelapa sawit, 1 Mac lalu.

Muidin Mydin,24, menundukkan kepalanya selepas pertuduhan membunuh Dirang di sebuah ladang kelapa sawit pada pukul 11 pagi hingga 7 malam pada 1 Mac dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Isa Mohamed.

Muidin Maidin,24, (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Baru atas tuduhan membunuh Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang pada 1 Mac lalu.

Bagaimanapun, tiada kenyataan direkodkan.

Muidin yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mohd Isa kemudian menetapkan 4 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang lelaki yang ditahan bersama-sama Muidin untuk membantu siasatan berhubung pembunuhan Nurul Nadirah, dihukum penjara sebulan dan dua tahun pengawasan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan penyalahgunaan dadah.

Razmin Mosum, 34, yang juga seorang buruh mengaku melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Masai, kira-kira pukul 8.40 malam, 2 Mac lepas.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan dua tahun pengawasan. Mohd Isa memerintahkan hukuman penjara terhadap Razmin berjalan serentak dari tarikh tangkap, pada 2 Mac lepas.

Pendakwaan terhadap Muidin dan Razmin dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M.Vinodharan.

mStar
27 Mac 2012


Wanita dibebaskan

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin mengesahkan pembebasan seorang wanita yang juga suspek kes pembunuhan Nurul Nadhirah Abdullah atau Dirang, 5.

“Benar wanita itu dibebaskan pagi semalam. Hanya dua lelaki yang direman bersamanya didakwa di mahkamah.

“Kami sudah berusaha kumpulkan bukti dan akhirnya terpulang kepada mahkamah untuk mengadili dua suspek itu,” katanya enggan mengulas lanjut.

Beliau dihubungi untuk mendapatkan pengesahan itu kerana wanita terbabit dilihat membeli ubi di kedai berhampiran kediaman keluarga Dirang di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini, semalam.

Kelibat wanita terbabit yang direman sejak 1 Mac lalu dan sepatutnya berakhir 30 Mac ini, dilihat jiran keluarga Dirang.

myMetro
27 Mac 2012


‘Saya ikut gerak naluri kesan cucu’

Johor Bahru: Datuk kepada Nurul Nadirah, 5, atau Dirang yang mati dibunuh pada 1 Mac tahun lalu, Alan Alip, 49, menyatakan dia mengikut nalurinya untuk mengesan cucunya di kawasan bangunan terbengkalai di Jalan Riang 1, Taman Nusa Damai di sini, sebelum menemui tengkorak manusia.

Alan yang berasal dari Sabah berkata, pada hari kelapan kehilangan Dirang, dia yang tinggal di Taman Pulau Indah, Klang, Selangor, datang ke rumah keluarga Dirang bagi membantu mengesan cucunya itu.

“Saya turut ke surau Flat Delima untuk bersolat serta meminta bantuan jemaah lain bagi mencari cucu saya itu.

“Pada hari penemuan, saya bersama empat jemaah berjalan kaki untuk mengesan Dirang,” katanya.

Alan yang bekerja sebagai pembakar besi buruk berkata, dia tidak pasti berapa lama dia berjalan kaki kerana tidak memakai jam tangan ketika itu.

“Kami berkumpul di Flora Height dan dari situ saya nampak dua bangunan terbengkalai lalu kami ke sana,” katanya.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman turut mempersoalkan bagaimana Alan boleh pergi mengesan Dirang di lokasi itu.

Alan menyatakan dia hanya mengikut nalurinya bagi mengesan Dirang di situ.

“Saya tergerak hati untuk mencari Dirang di situ. Dapat atau tidak terpulang kepada Allah. Saya melihat dinding yang mempunyai kesan hitam seperti dibakar.

“Saya ternampak lubang sedalam tiga kaki (0.9 meter) di tanah di sebelah dinding,” katanya.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin Jaafar, sama ada dia nampak tengkorak dalam lubang itu, Alan mengakuinya.

“Ya betul, saya nampak tengkorak. Saya tidak pasti ia tengkorak siapa terus membuat laporan polis,” katanya.

myMetro 27 Feb 2013


Badan, kaki Dirang bercerai

JOHOR BAHRU – Perbicaraan hari ketiga kes pembunuhan Dirang di Mahkamah Tinggi di sini semalam diselubungi perasaan pilu apabila seorang saksi menunjukkan tayangan slaid memaparkan imej rangka kanak-kanak itu ketika ditemui di dalam lubang sedalam 0.36 sentimeter.

Lubang itu ditutup dengan papan lapis.

Saksi ke-15 perbicaraan terhadap Muidin Maidin, 25, yang dituduh membunuh Dirang atau nama sebenarnya Nurul Nadirah Abdullah, 5, Dr. Mohd. Aznool Haidy Ahsorori, 41, dalam keterangannya memberitahu, dia menemui tengkorak bersaiz kecil, serpihan kulit kepala, sedikit rambut dengan wajah si mati dalam keadaan mendongak ketika pergi ke tempat kejadian pada pukul 12.15 tengah hari 8 Mac 2012.

Pakar Perubatan Forensik, Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah di sini itu juga memberitahu, kaki si mati bercerai dengan badan dan terdapat ruang pembukaan dada dan abdomen yang terkoyak akibat kepanasan haba yang dahsyat.

“Kedudukan mangsa menyerupai seorang petinju yang mana bahagian atasnya terdapat kesan tayar terbakar, rupa parasnya juga musnah akibat kebakaran itu. Semasa pemeriksaan itu juga, satu subang di bahagian telinga kiri turut dijadikan bahan eksibit,” jelasnya.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan supaya paparan slaid yang menunjukkan imej rangka Dirang tidak dipaparkan untuk tontonan umum selepas mendapati ibu Dirang, Roselyn Alan, 26, dan ahli keluarga lain yang hadir mula menangis teresak-esak hingga menimbulkan suasana hiba.

Menyambung keterangannya, Mohd. Aznool memberitahu, terdapat kesan lebam pada rahang kiri dan kanan mangsa dan ia disebabkan oleh faktor kecederaan dan tekanan.

Kosmo 28 Feb 2013


Spesimen tanah sepadan: Saksi

JOHOR BAHRU - Spesimen tanah terdapat di motosikal milik tertuduh, Muidin Maidin, 25, sepadan dengan sampel tanah tempat Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang ditemui dibakar.

Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Ahli Kimia Seksyen Kriminalistik, Jabatan Kimia Malaysia cawangan Johor, Noor Dina Ali yang merupakan saksi pendakwaan ke-17 dalam keterangannya, semalam mengesahkan kesepadanan melalui warna dan pembahagian tanah.

Menurutnya, sampel tanah berwarna jingga yang terdapat di lokasi mangsa ditemui dibakar pada 8 Mac lalu sepadan dengan sampel tanah diambil pada bahagian dalam depan dan belakang madgat motosikal jenis Honda JJK 3269 milik tertuduh.

“Sampel tanah berkenaan telah diuji menerusi kaedah analisis tanah yang melihat kepada keadaan fizikal, tekstur dan warna tanah. Malah ia juga diuji melalui analisis kimia yang melihat kepada ketumpatan tanah dengan menggunakan alkohol dan bromoform,” katanya.

Saksi berkata, uji kaji terhadap sampel tanah berkenaan dibuat sebanyak dua kali iaitu kali pertama bagi menentukan padanan tanah berkenaan manakala kali kedua bagi membuat pengesahan mengenai hasil uji kaji yang pertama.

Ketika ditanya mengenai sampel tanah yang hanya diambil di bahagian madgad motosikal berkenaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar, Noor Dina menjawab, tidak terdapat tanah di bahagian lain kenderaan itu.

“Keadaan itu berkemungkinan disebabkan motosikal berkenaan telah dicuci menyebabkan tiada sampel tanah di bahagian lain selain dalam kedua-dua madgad itu,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Dina turut memberitahu mahkamah pihaknya tidak menjumpai sebarang kesan atau tanda hidrokarbon dan bendasing pada sampel tanah yang diambil dari lokasi mangsa dibakar.

Selain Noor Dina, sebanyak dua orang saksi dari Jabatan Kimia Malaysia cawangan Johor dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang masuk hari keempat iaitu Ahli Kimia Seksyen Toksikologi, Amimah Mahmud dan Pegawai Sains, Adrieanne Reeza Alwi.

Lebih 20 saksi disenaraikan pihak pendakwaan dalam perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman dan perbicaraan bersambung Isnin ini.

Sinar Harian 1 Mac 2013


Pakar sahkan DNA Muidin ada pada vagina Dirang

JOHOR BAHRU - Seorang pakar sains mengesahkan, analisis terhadap profil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) Muidin Maidin, 26, lelaki berketurunan Sulu sepadan dengan calitan spesimen daripada vagina dan dubur Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang yang mati dibunuh dan dibakar tahun lalu.

Bagaimanapun, Pegawai Sains dari Jabatan Kimia Cawangan Negeri Johor, Adrieanne Reeza Alwi yang juga saksi ke-18 kes pembunuhan kejam itu gagal memastikan sama ada mangsa telah dirogol atau tidak oleh buruh kontraktor tersebut.

"Profil (DNA) berkenaan ditemui pada dua putik kapas yang ditandakan sebagai E31 dan E32 yang diambil daripada kanak-kanak itu.

"DNA itu juga menunjukkan sel yang diperoleh bukan jenis spermatozoa dan air mani sebaliknya kemungkinan daripada sel kulit, air liur dan air peluh.

"Antara satu kemungkinan DNA boleh berada dalam vagina seseorang mungkin disebabkan peneterasi tanpa ejakulasi, ia juga boleh terhasil menerusi sentuhan membabitkan sel kulit, peluh atau air liur," katanya di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman.

Dalam kes tersebut, Muidin, 27, dituduh membunuh kanak-kanak itu di ladang kelapa sawit, Jalan Suria, 47, Bandar Seri Alam, Masai antara pukul 11.30 pagi pada 1 Mac dan 12 malam pada 2 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Perbicaraan semalam memasuki hari kelima dan dijangka 30 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Hakim Abdul Halim.

Sementara itu, Adrieanne yang berpengalaman lapan tahun dalam kajian DNA memberitahu, analisis terhadap perbandingan ujian DNA darah milik seorang wanita yang dikenali sebagai Roselyn Alan, 27, juga sepadan dengan anaknya, Dirang.

Menjawab satu soalan yang diajukan peguam tertuduh, Mohd. Daud Ismail semasa pemeriksaan balas, pegawai sains itu menjelaskan, untuk uji kaji tersebut, hanya sampel ibu mangsa yang dianalisis memandangkan beliau tidak memperolehi sampel darah bapa mangsa, Henry Yondot.

Perbicaraan bersambung pada 20 Mac ini dan Abdul Halim serta barisan pendakwaan dan pembelaan akan dibawa ke lokasi Dirang dibunuh pada hari tersebut iaitu di sebuah rumah terbengkalai di Bandar Seri Alam, Masai.

Kosmo 5 Mac 2013


Pembunuh Dirang menangis

MUIDIN ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Tangisan Muidin Maidin, lelaki yang membunuh dan membakar budak perempuan, Dirang, 5, sebaik dihukum ke tali gantung tidak dapat memadam perlakuan kejam lelaki itu yang berpunca akibat dendam kesumat terhadap nenek si mati.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman memutuskan hukuman mandatori itu selepas mendapati keterangan pembelaan Muidin, 26, gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Abdul Halim ketika menjatuhkan hukuman itu menyifatkan Muidin sebagai penjenayah paling kejam, berbahaya dan tidak layak bersama masyarakat kerana bernafsu binatang.

“Asid deoksiribonukleik (DNA) kamu didapati ada pada anus dan vagina si mati. Dia seorang insan kerdil (berusia 4 tahun ketika itu) tidak mengerti apa-apa.

“Kamu telah menekup si mati hingga lemas dan tak bernyawa, kemudian kamu cuba lupuskan dia dengan cara membakarnya.

“Kamu fikir kamu bijak, tapi berkat solat hajat, doa dan harapan daripada rakyat negara ini akhirnya Allah memberi jalan hingga jasad Dirang ditemui.

“Kematian Dirang sangat kejam dan tragis. Hanya ada satu hukuman untuk kes ini dan dengan itu mahkamah memutuskan kamu digantung di leher sampai mati,” tegas beliau.

Kosmo 29 Jun 2013


Pembunuh Dirang dihukum mati

Muidin Maidin tidak dapat mengawal emosi apabila menendang jurufoto Utusan Malaysia ketika dibawa keluar oleh anggota polis dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, semalam - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU 28 Jun - Seorang buruh kontrak dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh kanak-kanak, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang, tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Muidin Maidin, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Muidin dituduh membunuh kanak-kanak itu di ladang kelapa sawit Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai di sini antara pukul 11.30 pagi, 1 Mac dan 12 tengah malam, 2 Mac 2012.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Halim berkata, tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah menerusi kandang saksi itu gagal memberi penjelasan yang munasabah selain pembelaannya itu bersifat penafian semata-mata.

‘‘Perbuatan kamu (tertuduh) ini amat kejam, tidak berperikemanusiaan serta tidak bertamadun. Bagaimana kamu tergamak melakukan perbuatan itu terhadap seorang kanak-kanak yang masih kecil.

‘‘Bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) digabungkan dengan bukti cebisan kain pelikat tertuduh yang dijumpai pada mangsa, sampel tanah yang sama pada motosikal tertuduh dengan tanah tempat kejadian dan keterangan saksi menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan tersebut.

‘‘Profil campuran DNA yang dijumpai dalam kemaluan dan dubur mangsa hanya melibatkan mangsa dan tertuduh. Kebarangkalian DNA itu disumbangkan oleh tertuduh dan si mati adalah 700 trilion,’’ katanya.

Beliau berkata tidak timbul soal konspirasi pihak tertentu meletakkan sampel darah tertuduh pada mangsa kerana kehadiran DNA itu di dalam dubur dan kemaluan si mati hanya dapat diwajarkan dengan perlakuan atau perbuatan yang aktif.

Menurut beliau, pembelaan tertuduh bahawa dia tidak pernah berdendam dengan keluarga si mati hanya penafian semata-mata.

Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac tahun lalu, ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar pada 12 Mac tahun lalu.

Misteri kehilangan Dirang terjawab apabila laporan Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan DNA ke atas mayat rentung yang dijumpai di sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac tahun lalu adalah milik mangsa.

Sementara itu, beberapa ahli keluarga Dirang termasuk ibu, Roselyn Alan, 27; bapa tiri, Lima Medeng, 27; datuk, Alan Alip, 50, dan nenek, Milnah Jol, 58, yang sentiasa mengikuti prosiding kes sebak dan menitiskan air mata sebaik sahaja keputusan dibacakan.

Muidin yang kelihatan sugul turut dilihat menitiskan air mata.

Dia bagaimanapun bertindak agresif sebaik sahaja dibawa keluar dari mahkamah apabila cuba menendang beberapa jurufoto malah kamera milik jurufoto Utusan Malaysia, Amin Farij Hasan turut menjadi mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Johor, Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Daud Ismail, Mohamad Abd. Kadir dan Goh Tse Han.

Seramai 35 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan telah dipanggil sepanjang prosiding kes berlangsung.

Utusan 29 Jun 2013








0 comments:

Post a Comment