January 17, 2012

Patah rahang dibelasah suami berang

Marah isteri alih telefon bimbit dicaj

KANGAR: Hanya kerana mengalihkan telefon bimbit suaminya yang sedang dicaj, seorang isteri muda patah rahang kanan selain cedera di muka dan badan dibelasah suaminya yang panas baran dalam kejadian di rumah mereka di Taman Hijrah di sini, pagi kelmarin.

Kejadian yang menimpa Yusliza Yusof, 25, itu berlaku kira-kira jam 9.45 pagi kelmarin apabila suaminya yang berusia 26 tahun berang kerana isterinya itu mengalihkan telefon bimbit miliknya yang dicaj di atas katil dalam bilik tidur mereka ke atas meja.

Lelaki itu kemudian bertindak menumbuk isterinya beberapa kali selain membaling muka Yusliza yang juga seorang suri rumah dengan piano mainan anak mereka.

Tindakan suaminya itu menyebabkan rahang kanan wanita berkenaan patah.

Tidak cukup dengan itu, suaminya yang bekerja sebagai atendan lori turut memukul kepala mangsa dengan botol kaca tanpa belas kasihan.

Ibu suspek, Rohhana Sidek, 46, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu memang seorang yang panas baran, malah dia sendiri pernah cedera dipukul anaknya itu.

Katanya, dia tidak menyangka apa yang berlaku ke atasnya sebelum ini menimpa menantunya yang berasal dari Kelantan itu.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku ke atas menantu saya dan membuat laporan polis sebagai pengajaran kepada anak saya kerana perbuatannya sudah melampaui batas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum kejadian suspek memarahi isterinya hingga berlaku pertengkaran menyebabkan dia bertindak ganas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, berikutan kejadian itu polis menahan suspek tidak lama selepas menerima laporan.

Katanya, berdasarkan laporan, mangsa yang tidak tahan dipukul bertubi-tubi merayu dan menangis meminta dilepaskan tetapi suspek terus membelasah mangsa tanpa belas kasihan.

“Siasatan mendapati badan mangsa lebam-lebam akibat dipukul, manakala rahang kanannya patah.

“Mangsa yang tidak tahan dengan serangan itu kemudian berjaya melarikan diri dari rumah dan mendapatkan bantuan orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya.

Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

Berita Harian
17 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment