June 6, 2011

Maut terkena renjatan elektrik alat pemanas air

PEKAN BANGI – Seorang wanita berusia 26 tahun maut setelah terkena renjatan elektrik daripada alat pemanas air ketika hendak mandi di bilik air di rumahnya di Kampung Aman, Pekan Bangi, kelmarin.

Difahamkan, wanita berkenaan yang baru terjaga daripada tidur bangun untuk mandi kira-kira jam 7 pagi dan sebaik menghidupkan alat yang dipasang di dalam bilik air berkenaan, tiba-tiba alat itu mengeluarkan arus elektrik yang menyebabkan renjatan pada mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, kejadian berkenaan hanya disedari keluarga mangsa setelah mendengar jeritan mangsa lalu bergegas ke bilik air berkenaan.

“Sebaik membuka pintu bilik air, mangsa dilihat terbaring dan keluarga mangsa bertindak memberikan rawatan pertolongan cemas untuk menyelamatkan mangsa.

“Setelah beberapa minit rawatan diberikan, mangsa masih gagal memberikan sebarang tindak balas sebelum ahli keluarga menghubungi ambulans untuk diberikan rawatan susulan di hospital,” katanya.

Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Kajang menggunakan ambulans dan disahkan meninggal dunia 10 minit selepas di masukkan ke wad kecemasan.

“Bedah siasat sudah dilakukan ke atas mangsa dan pihak hospital mengesahkan kematian mangsa berpunca kerana renjatan elektrik. Mayat mangsa dituntut keluarga dan upacara pengebumian dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Polis mengklasifikasikan kes kematian berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).

Sinar Harian
6 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment