December 26, 2012

Tebing jalan runtuh, 8 kereta tertimbus

Jengkaut dan lori digunakan dalam kerja-kerja mengalihkan runtuhan tanah di Kampung Air Putih dekat Kilometer 139 Jalan Jerangau-Jabor, Kemaman, semalam.

KEMAMAN - Lapan buah kereta tertimbus apabila tebing jalan masuk utama Jabor-Jerangau ke Jalan Air Puteh di kilometer 139 di sini runtuh, berikutan hujan lebat berterusan di kawasan itu, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Che Suza Che Hitam berkata tebing jalan setinggi 12 meter itu runtuh kira-kira 3.30 pagi ini lalu menghempap kenderaan-kenderaan terbabit yang diletakkan di kawasan berkenaan.

"Kita khuatir kemungkinan ada orang yang tidur di dalam kereta yang tertimbus itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Che Suza berkata jalan itu tertimbus sepanjang kira-kira 50 meter dan pihaknya telah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membantu kerja-kerja membersihkan kawasan yang tertimbus menggunakan jentolak.

Katanya kejadian itu berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan pergerakan tanah di kawasan itu.- Bernama

26 Dis 2012


‘Simpan duit beli baru’



TOLAK TANAH...kerja membersih tanah yang runtuh giat dilakukan di Kampung Air Putih.


KEMAMAN: “Nampaknya, saya kena simpan duit untuk beli kereta baru kerana Perodua Viva saya mungkin tidak boleh digunakan lagi,” kata Rafliza Hussin, 25, pemilik sebuah daripada lima kenderaan yang ditimbus tanah runtuh di Kilometer 139 Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran persimpangan masuk Kampung Air Putih, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, lima kereta dan sebuah lori ditimbus tanah yang runtuh dari tebing setinggi kira-kira 20 meter akibat hujan lebat melanda kawasan itu sejak dua hari lalu.

Rafliza yang bertugas sebagai juruteknik sebuah syarikat penapisan minyak di Melaka berkata, dia sedang bercuti dan tiba di kampung jam 6 petang kelmarin.

Menurutnya, dia menyedari kejadian itu apabila dimaklumkan jiran kira-kira jam 5 pagi semalam.

“Saya tidak dapat meletakkan kereta di kawasan rumah keluarga saya kerana jalan masuk ke kampung kami dinaiki air sehingga paras pinggang.

“Berikutan itu, saya dan beberapa penduduk meletakkan kenderaan di tepi tebing berkenaan, kira-kira dua kilometer dari kampung kerana lokasi itu sering menjadi tempat kami meletak kenderaan ketika banjir.

myMetro 27 Dis 2012


Enam kereta ranap ditimbus tanah runtuh


Roflizal Husin (dua dari kiri) melihat keretanya yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Air Puteh, Kemaman, Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR



KEMAMAN 26 Dis. - Enam buah kereta yang diletakkan penduduk di tepi tebing sebuah bukit bagi mengelak daripada banjir, ranap selepas tebing setinggi 20 meter itu tiba-tiba runtuh dan menimpa kenderaan terbabit di Kilometer 139, Jerangau-Jabor awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu pada mulanya mencemaskan orang ramai kerana dibimbangi kemungkinan terdapat individu yang tidur di dalam kereta mereka, bagaimanapun kebimbangan itu terjawab apabila pihak berkuasa mengesahkan tiada mangsa tertimbus.

Operasi yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah Daerah, polis serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya mengeluarkan kereta pertama kira-kira pukul 7 pagi dan terakhir pukul 3 petang ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Suza Hitam ketika dihubungi mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku berhampiran simpang masuk ke Kampung Air Putih.

Difahamkan, keenam-enam buah kereta berkenaan diletakkan di tepi tebing tersebut kerana jalan yang menghubungkan dua buah kampung iaitu Kampung Air Putih dan Kampung Telandas dinaiki air kira-kira 0.5 meter.

Menurut seorang mangsa, Roflizal Husin, 25, yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat minyak dan gas di Melaka, dia meletakkan keretanya di situ kerana bimbang ditenggelami air setelah rumah keluarganya di Air Putih dilanda banjir.

"Saya pulang ke kampung pukul 6 petang semalam dan semasa sampai di kawasan berkenaan, saya lihat banyak kenderaan diletakkan di situ.

"Jadi saya ambil keputusan untuk turut tinggalkan kereta kerana yakin tempat itu yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah keluarga selamat tetapi lain pula yang berlaku," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Kemaman, Ir. Hasmi Ahmad berkata, pihaknya memantau tempat kejadian dan menganggarkan memerlukan kos sebanyak RM2 juta untuk menyelenggara cerun berkenaan semula.

Katanya, punca kejadian tanah runtuh berkenaan disebabkan hujan lebat berterusan sehingga mengakibatkan struktur tanah menjadi lembut.

Seorang penduduk, Nizam Awang, 33, berkata, sebelum ini kampung berkenaan sering dilanda banjir namun, belum pernah berlaku bencana seburuk itu.

Menurutnya, dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila kira-kira empat jam sebelum kejadian tanah runtuh itu, air banjir yang menenggelami rumahnya membawa bersama banyak tanah dan pasir.

"Namun ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa sehingga dimaklumkan tentang kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira dua kilometer dari kawasan penduduk," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Lubuk Lesung, Ibrahim Abas pula memberitahu, sejak banjir yang melanda kira-kira empat hari lalu, kira-kira 1,200 penduduk di sekitar kawasan berkenaan terjejas dan telah dipindahkan ke pusat pemindahan berdekatan.

Ujarnya, daripada jumlah itu, kira-kira 700 orang daripada Kampung Telandas dan bakinya dari Kampung Air Putih.

Utusan 27 Dis 2012


0 comments:

Post a Comment