October 13, 2016

Ratapan ibu

Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

Kota Bharu: Sayu hati melihat seorang ibu yang hanya mampu duduk di tepi jalan dan menangisi pemergian anak kesayangannya yang maut dalam kemalangan di Baung, Pengkalan Chepa, di sini, malam kelmarin.

Wanita berusia 40-an itu hanya diam melayani perasaan sambil ditenangkan saudara-mara yang mengiringinya.

Anak wanita itu, Amer Akmal Mohd Zuhairie, 21, meninggal dunia selepas kereta Perodua Myvi dipandu terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dalam kejadian jam 11.30 malam.

Disebabkan parah di kepala, dia meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Muhammad Firdaus Mohd Suhaimi, 20, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan cedera ringan.

Mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk pengebumian.

Usaha untuk menemu bual wanita terbabit tidak berjaya berikutan dilihat masih terkejut dan menangis teresak-esak melihat jenazah anaknya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, ketika kejadian, mangsa bersama rakannya dalam perjalanan dari arah Kota Bharu ke Pengkalan Chepa.

Beliau berkata, apabila tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai cuba mengelak kenderaan yang tidak dikenal pasti, namun kenderaannya terbabas sebelum melanggar tiang elektrik.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang hadapan cedera ringan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

myMetro Jumaat, 7 Oktober 2016


0 comments:

Post a Comment