August 3, 2016

Lima lagi mayat ditemui

Mohamad Fahd Rahmat
Fahd@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tiga lagi mayat mangsa bot karam di perairan Batu Layar Kota Tinggi, Johor, ditemui petang ini, menjadikan lima mayat terbaru ditemui sejak awal pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, dua mayat pertama dijumpai kira-kira 500 meter dari lokasi bot dilaporkan karam pagi tadi sebelum mayat ketiga dijumpai nelayan berhampiran Pulau Kerengga di Sungai Punggai, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian pada 12.30 tengah hari.

"Satu lagi dijumpai kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD PERKASA kira-kira 2.9 batu nautika dari lokasi kejadian pada 4.30 petang.

"Yang terakhir dijumpai kira-kira 6.45 petang di perairan Tanjung Penawar, tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Penemuan lima mayat itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa setakat ini ialah 14 orang, termasuk seorang bayi.

ARKIB
25 Julai 2016


Bayi antara sembilan korban bot karam
BERNAMA

Kota Tinggi: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki mangsa bot pancung karam yang dinaiki pendatang asing tanpa izin warga Indonesia di Pantai Batu Layar, dekat sini, ditamatkan sepenuhnya pada 5 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, angka korban dari kejadian bot karam itu adalah sembilan iaitu dua lelaki, enam wanita dan seorang bayi.

"Mayat terakhir ditemui ialah wanita yang dijumpai terdampar pada 4.10 petang, satu kilometer dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mereka yang terselamat pula seramai 34 orang, 26 lelaki dan lapan perempuan, kini ditempatkan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Setia Tropika Johor Bahru, untuk tindakan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Mohd Fadhli Ismail berkata, SAR ditamatkan berikutan tiada petunjuk baru mengenai mayat mangsa akan ditemui selain kemungkinan mangsa yang terselamat melarikan diri.

"Kita sudah memantau kawasan persisiran pantai seluas dua kilometer dan didapati tidak terdapat petanda positif.

Kita juga percaya ada di antara mangsa sudah melarikan diri sebaik dapat menyelamatkan diri kerana takut dicekup pihak berkuasa," katanya di pusat operasi pencarian di sini, hari ini.

Mohd Fadhli bagaimanapun berkata, pasukan penyelamat masih diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu jika ada mayat ditemui.

Pperasi SAR membabitkan kira-kira 40 anggota anggota penguatkuasa pelbagai agensi, tertumpu kira-kira lima batu nautika persegi dari lokasi bot itu karam.

ARKIB
24 Julai 2016


0 comments:

Post a Comment