August 3, 2016

Ibu gantung diri selepas bunuh anak

Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

Kota Samarahan: Seorang ibu dipercayai membunuh dua anaknya sebelum menggantung diri di rumah tidak bernombor di Kampung Baru, Kota Samarahan di sini, malam tadi.

Mayat wanita berusia 37 tahun itu ditemui tergantung dalam tandas rumahnya, manakala dua anak lelakinya masing-masing berusia empat dan tujuh tahun ditemui dalam bilik tidur kira-kira 8 malam.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, polis menerima panggilan daripada penduduk kampung memaklumkan mengenai penemuan dua kanak-kanak dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, polis membuat pemeriksaan di rumah itu dan menemui dua kanak-kanak lelaki di bilik tidur dengan mulut berwarna hitam.

"Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sudah meninggal dunia, manakala adiknya berusia empat tahun dalam keadaan kritikal dan disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Jantung Kota Samarahan.

"Pemeriksaan lanjut menemui mayat seorang wanita tergantung dalam tandas," katanya.

Katanya, polis menemui botol cecair peluntur dalam keadaan penutupnya terbuka berhampiran mayat kanak-kanak berkenaan, disyaki digunakan wanita itu untuk membunuh anaknya.

"Kemungkinan wanita terbabit membunuh anaknya dulu sebelum menggantung diri. Tiada unsur jenayah lain ditemui di lokasi kejadian," katanya.

Mayat dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

ARKIB 20 Julai 2016

0 comments:

Post a Comment