August 3, 2016

Culik, bunuh kerana cemburu

Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sepasang kekasih ditahan polis awal pagi semalam di Taman Indahpura, Kulai dekat sini, selepas disyaki terbabit dalam kes culik dan bunuh seorang jurutera pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira 3 pagi semalam bagi membantu siasatan kes jurutera di sebuah syarikat cari gali minyak di Singapura itu yang dilaporkan hilang di rumahnya di Taman Dato' Chellam di sini, 26 Jun lalu.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek berjaya ditahan sebelum seorang daripadanya memandu arah polis ke tempat mereka menanam mayat mangsa berusia 31 tahun itu.

"Kira-kira jam 6 petang semalam, dengan dipandu arah oleh seorang daripada suspek, polis menuju ke lokasi mangsa ditanam kerana dibunuh selepas dibawa lari kekasih terbabit.

"Mayat mangsa ditanam di kawasan belukar di KM25.9, tepi Lebuhraya Link Kedua arah utara," katanya.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, dalam kejadian itu, tiada wang tebusan diminta daripada keluarga mangsa dan siasatan awal mendapati motif culik dan bunuh itu adalah kerana dendam dan cemburu.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 22 dan 32 tahun itu akan ditahan reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat tidak menolak kemungkinan kes berpunca akibat cinta yang mana suspek lelaki cemburu dengan mangsa yang cuba memikat kekasihnya.

"Siasatan masih dijalankan dan kita masih mengesan sekiranya ada suspek lain yang terbabit dalam kejadian ini," katanya.

ARKIB
2 Julai 2016

0 comments:

Post a Comment