August 3, 2016

Ancam bunuh, kerat tubuh pekerja KK-Mart

BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang peniaga bazar Ramadan hari ini didenda RM1,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana melakukan ancaman bunuh terhadap seorang pekerja KK-Mart.

Mohammad Suhaimei Zakaria, 26, mengaku bersalah di depan Majistret Mahyudin Mohammad Som atas dakwaan mengancam membunuh dan mengerat tubuh Maureen Lanying, 29, sehingga menyebabkannya menggeletar ketakutan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di KK-Mart Danau Kota, Wangsa Maju, di sini, kira-kira 8.24 malam, 24 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohammad Suhaimei yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menjaga isteri dan dua anak perempuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana jenayah yang dilakukan menyebabkan mangsa trauma dan menjadi pengajaran kepada Mohammad Suhaimie.

Menurut fakta kes, Maureen mengadu kepada isteri tertuduh bahawa anak mereka mencuri di kedai itu. Mohammad Suhaimei tidak memarahi atau mengajar anaknya mengenai kesalahan itu, sebaliknya mengancam mangsa.

ARKIB
29 Jun 2016

0 comments:

Post a Comment