May 28, 2016

Wanita maut tersepit, kereta berlanggar lori

Lori membawa cecair kimia remuk setelah bertembung dengan sebuah Toyota Vios di Kampung Jemapoh. - Foto Bomba

SYAIRAH ABDUL LAJIS

KUALA PILAH – Seorang wanita maut setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir di selekoh Kampung Jemapoh di sini hari ini.

Kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dan sebuah lori tangki membawa cecair kimia.

Insiden itu berlaku jam 7.15 pagi itu menyebabkan wanita yang berada di ruang penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya pula seorang lelaki mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut saksi enggan dikenali, kenderaan jenis Toyota Vios dipercayai hilang kawalan di selekoh kampung Jemapoh dari arah Kuala Pilah ke Batu Kikir lalu bertembung dengan lori arah bertentangan hingga menyebabkan wanita itu tersepit.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah yang diketuai oleh Mohd Arifin Isa bersama enam anggota bergegas ke lokasi dan berjaya mengeluarkan mangsa tersepit dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sinar Harian
28 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment