May 21, 2016

Wanita dilanda duka berganda

SHARIFAH HAZIRAH AL-JEFFREY

KUANTAN – Belum reda kesedihan akibat kehilangan ibu mentua lebih sebulan lalu, Lai Yuet Lin, 44, kini terpaksa menerima kenyataan bahawa suaminya, Lee Hee Teok, 45, pula pergi meninggalkannya untuk selama-lamanya, 1 Mei lalu.

Wanita itu tinggal bersama tiga anak perempuan berusia sembilan hingga 16 tahun yang masih bersekolah dan dia kini buntu memikirkan masa depan mereka empat beranak.

Lebih menyedihkan, ibu mentua, Go Chai Tiang, 79, dan suaminya meninggal dunia selepas seminggu sakit dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

“Sebelum ini ibu mentua saya hanya demam dan tiada selera makan, malah doktor kata dia hanya deman biasa ketika dibawa ke hospital.

“Namun, beberapa hari selepas itu, keadaannya bertambah tenat dan akhirnya meninggal dunia pada 10 Mac lalu,” katanya.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, suaminya pula demam dan batuk serta mengalami simptom sama seperti ibunya.

“Bimbang memikirkan keadaan suami, saya segera bawanya ke hospital dan doktor syak dia demam denggi tetapi ujian darahnya negatif dan suami dibenarkan balik.

“Namun, sehari selepas itu, saya bawa dia datang ke hospital semula kerana dia tak boleh bernafas dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), tetapi suami saya tak dapat diselamatkan dan meninggal 1 Mei lalu,” katanya ketika ditemui di sini.

Difahamkan, dua beranak itu disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru, berdasarkan laporan sijil kematian,

Yuet Lin berkata, dia syak kematian suami dan ibu mentuanya disebabkan penyakit bawaan tikus, memandangkan kawasan perumahan mereka menjadi kawasan pembiakan haiwan tersebut.

“Saya bukan doktor untuk sahkan suami dan ibu mertua mengidap penyakit tersebut, tetapi memandangkan keadaan sekeliling dengan longkang yang tak diselenggara, tidak mustahil haiwan itu bawa penyakit.

“Sekarang saya hilang tempat bergantung dan terpaksa mencari pekerjaan bagi menyara anak-anak yang masih bersekolah,” katanya.

Nasib Yuet Lin mendapat perhatian daripada Adun Teruntum, Sim Chon Siang yang mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah drastik membasmi pembiakan tikus di kawasan terbabit.

“Walaupun kematian kedua-dua beranak ini mungkin tiada kaitan dengan tikus, tetapi saya percaya kawasan dan longkang yang kotor ini banyak mengundang pelbagai penyakit,” katanya.

Sinar Harian 20 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment