May 25, 2016

Terlantar setelah terlibat kemalangan


Azhar yang terlantar setelah terlibat dalam kemalangan dan kini terpaksa bergantung hidup dengan bantuan orang di sekelilingnya

BATU PAHAT - “Sebelum ini kehidupan kami seperti biasa sahaja, namun ianya berubah sekelip mata setelah suami, Azhar Md Yassin, 51, terlibat dalam kemalangan,” kata Norizah Baharom, 47.

Menurutnya, dia bersama lima anaknya yang masih bersekolah di peringkat menengah dan rendah itu hilang tempat bergantung kerana sebelum ini hanya suaminya sahaja bekerja.

Katanya, keadaan berubah setelah suaminya lumpuh akibat kemalangan yang berlaku pada 16 April lalu, ketika dalam perjalanan untuk menghantar anaknya ke kelas tambahan.

"Suami disahkan separuh lumpuh, tidak mampu bergerak seperti sebelumnya. Kini hanya terlantar di atas katil, malah lebih memilukan dia perlu mendapatkan bantuan daripada saya dan anak-anak untuk bergerak serta menguruskan diri.

"Kami juga terbeban dengan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan termasuklah barangan keperluannya seperti perlu membeli susu khas, lampin dan pakai buang. Malah suami juga perlu melakukan rawatan susulan termasuklah di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di Johor Bahru.

"Selain itu, bebanan juga bertambah termasuklah urusan harian. Kami sekeluarga turut berasa sedih kerana tempurung kepalanya dikeluarkan buat sementara, selain suami juga hilang pendengarannya dan hanya bergantung kepada susu dimasukkan melalui hidungnya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Parit Penghulu, Parit Sulong.

Bagaimanapun, bebanan keluarga itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dan juga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan memberikan bantuan sewajarnya.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Cawangan Batu Pahat, Suhara Mustaffa berkata, berdasarkan siasatan pihaknya mendapati Azhar sememangnya layak mendapatkan pampasan daripada Perkeso kerana dia dikategorikan Orang Berinsuran (OB).

"Antara bantuan segera akan diberikan ialah katil, lampin pakai buang, kerusi roda, urine bag dan ripple mattres selain tuntutan bayaran bagi pembelian susu khas digunakan OB ini.

"Pihak Perkeso juga akan melakukan rujukan dengan jemaah doktor untuk proses pembayaran Pencen Ilat terhadap OB, kerana melalui siasatan awal dia sememangnya layak mendapatkan pencen berkenaan.

"Ini kerana OB ini pernah bekerja dan majikannya telah mencarum sekitar tahun 1989 hingga 2013," katanya.

Wartawan Sinar Harian
24 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment