May 21, 2016

Tak sempat perkenal bakal suami

Akhma Zuyana bersama bakal suaminya, Mohd Izwan maut dalam kemalangan awal pagi tadi.

AKMALIAH RAZAK

GUA MUSANG - Hajat anggota tentera berpangkat sarjan, Akhma Zuyana Ismail, 34, memperkenalkan bakal suaminya, Noor Izwan Mohd Nor, 29, kepada keluarga tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 14, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, jam 2.15 pagi tadi.

Menurut adik mangsa, Akma Zuknaida Ismail, 29, kali terakhir dia berkomunikasi dengan kakaknya itu pada jam 10.11 malam semalam menerusi aplikasi WhatsApp.

"Arwah memberitahu dalam kumpulan WhatsApp adik-beradik kami supaya semua keluarga berkumpul di rumah, di Paloh 1.

"Dia pulang ke kampung atas dua hajat iaitu memperkenalkan bakal suaminya dan menyerahkan cek insurans arwah adik kami yang meninggal dunia pada September tahun lalu akibat kemalangan di Kajang.

"Malah, dia juga turut berpesan kepada saya agar membuat kek untuknya kerana sudah lama tidak makan kek saya buat," katanya yang memberitahu Allahyarhamah dan bakal suami bekerja di tempat yang sama iaitu Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia, Kementah Jln Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Sinar Harian 21 Mei 2016


Tak sempat sampai kampung

Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

Gua Musang: Anggota tentera wanita maut, manakala teman lelakinya cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan treler muatan balak di Kilometer 14 Jalan Gua Musang - Kuala Lipis, jam 2.15 pagi tadi.

Mangsa, Sarjan Akhma Zuyana, 34, yang bertugas di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur menaiki kereta Proton Persona yang dipandu bakal tunangnya, Noor Izwan Mohd Nor, 29, dalam perjalanan ke kampung mangsa di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu teman lelaki mangsa hilang kawalan sebelum bertembung dengan treler muatan balak dari arah bertentangan.

Katanya, akibat kemalangan itu mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala, teman lelakinya yang cedera menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

"Mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

myMetro 21 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment