May 26, 2016

Tak sempat masak bubur

Eh Mek menunjukkan keadaan kedai kopi berusia 16 tahun yang musnah dalam kebakaran tersebut.

Hazelen Liana Kamaruddin

PASIR MAS - Sepasang suami isteri hanya mampu berputih mata apabila kedai kopi milik mereka yang berusia lebih 16 tahun musnah dalam kebakaran, tengah malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.20 tengah malam itu menyebabkan pasangan tersebut mengalami kerugian lebih RM60,000, sekali gus hilang sumber pendapatan.

Teng Eh Mek, 56, berkata, semasa kejadian, dia dan suami, Wee Sun Yat, 65, tidak berada di tempat kejadian kerana keluar menghantar cucu pulang ke rumah, yang terletak tidak jauh dari kedai kopi tersebut.

“Saya dan suami tahu mengenai kebakaran ini apabila dihubungi seorang rakan. Kami bergegas ke tempat kejadian dan mendapati bomba sedang giat mengawal kebakaran.

“Saya dan suami hanya mampu lihat dari jauh, tanpa sempat berbuat apa-apa. Semua barang dalam kedai termasuk dokumen penting seperti pasport, hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Jalan Dato Hamid, Pohon Celagi.

Menurut Eh Mek, lebih mengecewakan, dia tidak sempat memasak bubur nasi untuk cucunya yang berusia enam bulan kerana beras diletakkan di dalam kedai turut terbakar.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, El Taraff Mohd Zachariah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu kira-kira jam 12.27 tengah malam.

Katanya, seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengawal kebakaran.

“Kebakaran melibatkan 20 peratus bahagian dapur dan dapat dikawal sepenuhnya pada jam 12.45 tengah malam,” katanya.

Sinar Harian
25 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment