May 26, 2016

Setengah jam tahan sakit akibat tersepit

Keadaan hadapan lori yang membawa muatan mineral remuk teruk selepas merempuh bahagian belakang lori treler muatan plat besi 26 tan

REMBAU – Seorang pemandu lori membawa muatan air mineral terpaksa menahan sakit hampir setengah jam akibat tersepit selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 226.1, Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia lingkungan 20-an berjaya dikeluarkan oleh orang awam setelah khidmat lori penunda digunakan bagi menarik lori treler yang dirempuh kenderaan dipandu mangsa.

Menurut pemandu lori treler yang ingin dikenali sebagai Chua, 50-an, dia dalam perjalanan menghantar muatan plat besi dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Baharu sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari belakang lori.

"Saya terkejut, malah lori treler saya juga tertolak ke kiri jalan kerana rempuhan kuat itu. Saya terus memberhentikan kenderaan dan melihat mangsa tersepit serta menjerit meminta tolong.

"Dia (mangsa) tak boleh keluar ikut pintu sebab depan lori remuk teruk... tak lama lepas kejadian ada lori penunda lalu dan terus bantu tarik lori treler saya. Barulah orang awam dapat keluarkan dia yang tersepit di bahagian kaki,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kemalangan berkenaan membabitkan treler membawa muatan plat besi, lori muatan air mineral dan juga sebuah motosikal.

Menurutnya, pemandu lori muatan mineral gagal mengawal kenderaan lalu merempuh lori treler yang berada di laluan paling kiri.

"Nahas itu menyebabkan muatan air mineral bertaburan di lorong kecemasan dan lorong paling kiri sehingga menyebabkan sebuah motosikal terjatuh kerana gagal mengelak air mineral yang bertaburan.

"Penunggang motosikal bagaimanapun hanya cedera ringan," katanya.

Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment