May 25, 2016

Sah Sungai Batu tamadun tertua


Kawasan tapak peleburan besi, pelabuhan dan lokasi ritual yang ditemui hasil kerja-kerja penggalian di Kompleks Arkeologi Sungai Batu mendapati ia berusia lebih 2,000 tahun.

SUNGAI PETANI – Kompleks Arkeologi Sungai Batu yang menjadi sebahagian daripada Tamadun Kedah Tua di sini akhirnya diiktiraf dan disahkan secara rasmi sebagai tamadun terawal dan tertua di negara ini sekali gus mengalahkan candi Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia.

Tapak Arkeologi Su­ngai Batu, Lembah Bujang itu disahkan oleh pakar berusia lebih 2,000 tahun, manakala candi Borobudur yang dibina pada abad ke-9 berusia sekitar 1,200 tahun dan Angkor Wat pada abad ke-12 berusia 900 tahun.

Acara bersejarah itu diabadikan melalui penyerahan plak pengisytiharan oleh pakar arkeologi daripada Universiti Oxford, Profesor Dr. Stephen Oppenheimer kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mokhtar Saidin (gambar kecil).

Ia berlangsung pada majlis penutupan Festival Kedah Tua 2016 di sini yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid yang mewakili Menteri Besar Kedah.

Menurut Mokhtar lebih bermakna, pengiktirafan itu diperakui lima pakar arkeologi mewakili lima tamadun utama dunia iaitu Mesopotamia, Indus, Mesoamerica, China dan Greek-Rom menandatangani plak pengisytiharan itu.

“Malangnya pakar arkeologi Mesir, Dr. Zahi Hawas, tidak hadir ke Persidangan Antarabangsa Kedah Tua menyebabkan kita tidak berjaya mendapatkan beliau untuk menandatangani plak itu.

“Beliau sepatutnya hadir sebagai pakar tamadun Mesir, tetapi tidak dapat dihubungi pada saat akhir. Sekiranya ada keperluan untuk kita ke Mesir dan dapatkan tandatangannya, kita akan ke sana,” kata Mokhtar kepada Bernama semalam.

Kosmo 24 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment