May 27, 2016

Ribut kuat landa 10 kampung

Marliana (kanan) hanya mampu melihat kereta yang digunakan untuk berniaga rosak teruk akibat dihempap pokok.

SUNGAI DUA - Dentuman kuat di luar rumah rupanya memusnahkan kereta milik seorang peniaga selepas pokok samak yang ada berhampiran rumah di Kampung Tok Adam, di sini menghempap kenderaan itu, awal pagi semalam.

Marliana Saari, 40, berkata, ketika kejadian angin kuat disusuli dengan hujan lebat berlaku di kampung berkenaan.

“Angin memang kuat masa tu, kebetulan saya berada di dapur, mula dengar bunyi seakan ranting pokok jatuh, saya tidak sangka apa-apa yang buruk berlaku.

“Lama kelamaan angin semakin kuat, saya terdengar bunyi yang kuat, hati saya mula berdebar, bila saya lihat ke luar tingkap, pokok tersebut sudah menghempap kereta,” katanya.

Katanya, ketika kejadian dia bersama empat anak berada dalam rumah sementara suami saya, Rosli Salleh, 49, belum pulang dari tempat kerja.

“Saya memang ada terfikir nak ubah kereta masa tu, tapi dengan angin yang kuat tambahan keadaan di luar gelap, bimbang juga akan keselamatan diri,” katanya.

Menurutnya, kereta tersebut merupakan pemberian abang iparnya kepada dia dan suami.

“Kereta ini satu-satunya kereta yang kami ada, dan saya gunakan untuk berniaga.

“Bila dah jadi macam ini, terpaksa guna motosikal roda tiga sajalah, kalau nak diikutkan kerosakan kereta tersebut agak teruk, dan memerlukan kos yang banyak untuk membaikinya,” katanya.

Kejadian ribut semalam turut menyebabkan beberapa rumah dan kedai di kawasan  Tasek Gelugor dan Kepala Batas musnah.

Dalam kejadian yang sama, seorang warga emas, Zaharah Salleh, 80, panik apabila bumbung rumah yang dihuni bersama seorang anak lelakinya rosak diterbangkan ribut.

Zaharah berkata, ketika kejadian dia berada di tingkat atas rumah papan dua tingkat itu.

“Mak cik tak dapat buat apa-apa, masa tu mak cik sedang bersiap nak tidur, angin kuat diikuti dengan hujan lebat.

“Angin yang kuat secara tiba-tiba membawa terbang sebahagian bumbung rumah, nasib baik anak mak cik ada, dia yang membawa mak cik menyelamatkan diri di tingkat bawah rumah kami,” katanya.

Sementara itu, Adun Sungai Dua, Muhammad Yusoff Mohd Noor berkesempatan menziarahi mangsa ribut pagi semalam.

Menurutnya, kejadian tersebut melibatkan hampir 10 kampung di Sungai Dua.

“Antara kampung yang terlibat termasuk Kampung Kolam, Permatang Tok Jaya, Pekan Darat, Kampung Tok Adam dan beberapa kampung yang lain.

“Kerosakan yang dialami melibatkan beberapa rumah dan kedai milik penduduk,” katanya.

Katanya, buat masa ini tindakan susulan akan dilakukan dan dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Urus Zakat dan Pejabat Daerah.

Lawatan itu turut disertai beberapa kakitangan daripada pejabat JKM Seberang Perai Utara.

Wartawan Sinar Harian
27 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment